21 Ogos 2023, 15:28

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Serdang Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi (FBMK), Universiti Putra Malaysia (UPM) telah menganjurkan Forum Perdana Pengantarabangsaan Bahasa Melayu: Pengukuhan Bahasa Melayu Peringkat Antarabangsa Siri 1, yang berlangsung di Auditorium Rashdan Baba, Bangunan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), UPM pada pukul 8.30 pagi tadi.

Forum tersebut menampilkan empat orang ahli panel yang hebat, iaitu YBrs. Dr. Nazamid Saari, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), UPM; YBhg. Prof. Dr. Sjafri Sairin, ahli panel dari Indonesia; YBrs. Dr. Suraiya Chapakiya, ahli panel dari Thailand; YBhg. Prof. Madya Dr. Lim Beng Soon, ahli panel dari Singapura; dan YBhg. Dato’ Prof. Dr. Abdul Mua’ti@Zamri Ahmad selaku moderator.

Ucapan alu-aluan disampaikan oleh YBhg. Prof. Dr. Hazlina Abdul Halim, Dekan FBMK, UPM.

YBhg. Prof. Dr. Hazlina Abdul Halim, Dekan FBMK, UPM dalam ucapan alu-aluannya menyatakan bahawa forum ini diadakan untuk memartabatkan bahasa dan persuratan Melayu pada peringkat antarabangsa.

Beliau turut merumuskan bahawa bahasa Melayu merupakan wadah di peringkat global untuk perdagangan, keagamaan, pendidikan, lagu dan penceritaan.

Ujar beliau, ahli politik juga seharusnya berperanan dalam memelihara dan memartabatkan bahasa Melayu serta keterlibatan bahasa Melayu di peringkat global melalui universiti.

Bahasa Melayu juga merupakan bahasa penyatuan jurnal wacana pemikir Nusantara yang menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantara untuk memartabatkan bahasa Melayu. Pada masa yang sama, mengangkat penyelidikan di Nusantara.

YBhg. Prof. Dr. Hazlina Abdul Halim turut berharap agar forum seperti ini dapat meningkatkan pembudayaan bahasa Melayu dalam pengajaran dan pembelajaran serta aktiviti seharian, serta pemerkasaan bahasa dan persuratan Melayu pada peringkat antarabangsa.

YBrs. Dr. Nazamid Saari, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), UPM, selaku ahli panel yang mewakili UPM.

Dalam sesi forum tersebut, YBhg. Dr. Nazamid Saari, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), UPM, menyatakan tentang konsep pengantarabangsaan bahasa Melayu dalam konteks di Malaysia. Konsep tersebut adalah apabila bahasa Melayu itu digunakan sebagai wadah perbincangan atau dijadikan sebagai bahasa komunikasi.

Bahasa Melayu ini dari dahulu telah digunakan secara meluas, khususnya dalam penyebaran ilmu, ilmu yang merangkumi agama, dalam dakwah dan sebagainya.

YBhg. Prof. Dr. Sjafri Sairin, ahli panel dari Indonesia.

Ahli panel seterusnya, iaitu YBhg. Prof. Dr. Sjafri Sairin, selaku ahli panel dari Indonesia pula berkata,

Roh Melayu itu adalah simbol kesantunan, kebaikan hati dan bukan sekadar komunikasi. Roh itulah budaya Melayu.

Tambah beliau, jika dilihat secara politik, bahasa Melayu tidak wujud di Indonesia kerana faktor politik kenegaraan yang telah menjadikan kebanyakan pelajar sekolah di Indonesia berbahasa Indonesia, yang pada akarnya adalah bahasa Melayu.

YBhg. Prof. Madya Dr. Lim Beng Soon, selaku ahli panel dari Singapura.

Sementara itu, menurut YBhg. Prof. Madya Dr. Lim Beng Soon, selaku ahli panel dari Singapura, pengantarabangsaan bahasa Melayu di Singapura dilihat apabila bahasa Melayu itu digunakan dalam bidang linguistik dan bahasa juga merupakan komoditi untuk menembusi pasaran melalui penglibatan pengusaha global.

Kita boleh mengantarabangsakan bahasa Melayu kerana bahasa ini penting kepada periuk nasi seseorang itu.

Ujarnya lagi,

Apabila dilihat dalam data ekonomi, baru-baru ini menunjukkan kawasan Nusantara mempunyai perkembangan ekonomi yang paling giat di dunia.

YBhg. Dr. Suraiya Chapakiya, selaku ahli panel dari Thailand menunjukkan majalah Azan, yang merupakan antara usaha mempertahankan bahasa Melayu di Pattani.

Ahli panel seterusnya, iaitu YBhg. Dr. Suraiya Chapakiya, selaku ahli panel dari Thailand pula menyatakan bahawa bahasa Melayu merupakan bahasa ibunda di Selatan Thailand, iaitu di Yala, Pattani, Narathiwat, Songkhla dan Satun.

Di lima wilayah seperti  Yala, Pattani, Narathiwat, Songkhla dan Satun, penutur aslinya ialah penutur Melayu, tetapi sayang, sekarang ini sudah nampak bahasa Melayu dalam kalangan penutur di lima wilayah ini semakin mengurang.

Tambah beliau, sejak dahulu lagi bahasa Melayu digunakan sebagai bahasa keagamaan, khususnya di institusi pondok.

Institusi pondok inilah yang merupakan benteng mempertahankan bahasa Melayu hingga sekarang.

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.