Oleh Kho Thong Eng
23 Ogos 2023, 11:50

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kata ganda ialah kata yang mengalami pengulangan kata dasar, sama ada secara penggandaan semu, penggandaan penuh, penggandaan separa atau penggandaan berima. Kata ganda semu ialah akar kata yang mengalami penggandaan seluruh kata dasar. Sila lihat contoh yang berikut:

1a.  Rama-rama ialah sejenis serangga.

1b.  Budak itu terkial-kial ketika menangis.

1c.  Perbuatannya sia-sia.

1d.  Kadang-kadang dia jatuh sakit.

 

Dalam ayat 1a, terdapat kata nama ganda semu bagi akar kata rama. Hal ini dikatakan demikian kerana bentuk rama dalam kata semu rama-rama ialah morfem terikat yang tidak dapat wujud sebagai kata bebas dalam ayat. Dalam hal ini, kata rama-rama ialah sejenis serangga. Contoh kata nama gandaan semu yang lain ialah kata kura-kura, riang-riang, kupu-kupu, labi-labi dan sebagainya.

Dalam ayat 1b, terdapat kata kerja ganda semu berawalan bagi akar kata kial. Hal ini dikatakan demikian kerana bentuk kial dalam kata adjektif ganda semu berawalan terkial-kial ialah morfem terikat yang tidak dapat wujud sebagai kata bebas dalam ayat. Maksud kata terkial-kial ialah “bergerak-gerak keras”. Contoh kata kerja gandaan semu yang lain ialah kata tersipu-sipu, berpura-pura dan terngiang-ngiang.

Dalam ayat 1c, terdapat kata adjektif ganda semu bagi akar kata sia. Hal ini dikatakan demikian kerana bentuk sia dalam kata ganda semu sia-sia ialah morfem terikat yang tidak dapat wujud sebagai kata bebas dalam ayat. Maksud kata sia-sia ialah “tidak berguna”.

Dalam ayat 1d, terdapat kata adverba ganda semu bagi akar kata kadang. Hal ini dikatakan demikian kerana bentuk kadang dalam kata ganda semu kadang-kadang ialah morfem terikat yang tidak dapat wujud sebagai kata bebas dalam ayat. Maksud kata kadang-kadang ialah “sekali-sekala’’. Contoh kata tugas gandaan semu yang lain ialah kata tiap-tiap, masing-masing dan siang-siang.

2a.  Rumah-rumah di sana besar.

2b.  Mereka duduk-duduk di serambi rumah.

2c.  Kasut di kedai itu mahal-mahal.

2d.  Dia nyaris-nyaris terjatuh.

Dalam ayat 2a, terdapat kata nama ganda penuh rumah-rumah. Dalam ayat 2b, terdapat kata kerja ganda penuh duduk-duduk. Dalam ayat 2c, terdapat kata adjektif ganda penuh mahal-mahal. Dalam ayat 2d, terdapat kata tugas ganda penuh nyaris-nyaris.

 

3a.  Mesin-mesin itu sudah rosak.

3b.  Pekerja-pekerja itu rajin.

3c.  Tuduhan-tuduhan itu tidak berasas.

3d.  Perkataan-perkataan itu baharu.

3e.  Buah-buahan tempatan murah.

3f.  Tali-temali itu kusut.

3g.  Majlis itu gilang-gemilang.

3h.  Setengah-setengah orang tidak minum susu.

Dalam ayat 3a, terdapat kata tunggal ganda penuh mesin-mesin. Dalam ayat 3b hingga 3d, terdapat kata terbitan ganda penuh pekerja-pekerja, tuduhan-tuduhan dan perkataan-perkataan. Dalam ayat 3e, terdapat kata nama ganda penuh berakhiran buah-buahan. Proses yang berlaku ialah kata nama buah mengalami penggandaan penuh untuk menjadi kata buah-buah sebelum ditambah dengan akhiran -an. Dalam ayat 3f, terdapat kata nama ganda penuh bersisipan tali-temali.  Proses yang berlaku ialah kata nama tali mengalami penggandaan penuh untuk menjadi kata tali-tali, kemudian ditambah dengan sisipan -em-. Dalam ayat 3g, terdapat kata adjektif ganda penuh bersisipan gilang-gemilang. Proses yang berlaku ialah kata adjektif gilang mengalami penggandaan penuh untuk menjadi kata gilang-gilang, kemudian ditambah dengan sisipan -em-. Dalam ayat 3h, terdapat kata tugas (kata bilangan pecahan) terbitan ganda penuh setengah-setengah. Dalam hal ini, seluruh kata tengah yang berawalan se- diulang.

 

4a.  Lelaki itu berambut keriting.

4b.  Tetikus itu berwarna hitam.

4c.  Adik-beradik itu sering bergaduh.

4d.  Lama-kelamaan dia akan sedar.

4e.  Dedaunan pokok itu sudah layu.

Dalam ayat 4a, terdapat kata nama tunggal biasa ganda separa lelaki. Dalam ayat 4b, terdapat istilah nama ganda separa tetikus. Proses yang berlaku ialah kata dasar laki dan tikus masing-masing ditambah dengan gandaan le dan te yang mengalami pelemahan bunyi. Dalam ayat 4c, terdapat kata nama ganda separa adik-beradik. Proses yang berlaku ialah kata kerja beradik didahului oleh gandaan kata dasar adik. Dalam ayat 4d, terdapat kata nama gandaan separa lama-kelamaan. Proses yang berlaku ialah kata kelamaan didahului oleh gandaan kata adjektif dasar lama. Dalam ayat 4e, terdapat kata nama ganda separa berapitan dedaunan. Proses yang berlaku ialah kata daun mengalami penggandaan separa untuk menjadi dedaun sebelum ditambah dengan akhiran -an.

 

5a.  Mereka bantu-membantu.

5b.  Mereka hormat-menghormati.

5c.  Mereka berlari-lari.

5d.  Dia menjerit-jerit.

5e.  Dia tertanya-tanya tentang hal itu.

5f.   Mereka bersalam-salaman.

5g.  Mereka membisik-bisikkan sesuatu rahsia.

5h.  Dia mengulang-ulangi pertanyaannya.

5i.   Majlis tari-menari sedang diadakan.

Dalam kelompok ayat 5, terdapat pelbagai bentuk kata kerja ganda separa, iaitu bantu-membantu, hormat-menghormati, berlari-lari, menjerit-jerit, tertanya-tanya, bersalam-salaman, membisik-bisikkan, mengulang-ulangi dan tari-menari. Dalam hal ini, hanya kata kerja dasar dijadikan gandaan bagi kata dasar.

 

6a.  Sebaik-baik manusia ada kelemahan juga.

6b.  Majlis besar-besaran itu mendapat sambutan ramai.

6c.  Bajunya kekuning-kuningan.

Dalam kelompok ayat 6, terdapat pelbagai bentuk kata adjektif ganda separa, iaitu sebaik-baik, besar-besaran dan kekuning-kuningan.

 

7a.  Beratus-ratus orang datang.

7b.  Kedua-dua orang adiknya lulus dengan cemerlang.

  1.  Sesetengahorang suka melancong.

Dalam kelompok ayat 7, terdapat kata tugas (kata bilangan himpunan) ganda separa, iaitu kata dasar ratus dan dua diulang. Dalam ayat 8, hanya suku kata se- pada kata tugas dasar (kata bilangan pecahan) setengah diulang.

 

9a.  Segala-galanya selesai.

9b.  Segalanya selesai.

10a.  Pertama-tamanya, kita harus bersemangat juang.

10b.  Pertamanya, kita harus bersemangat juang.

Dalam kelompok ayat 9 dan 10 di atas, terdapat kata ganda separa dengan bentuk yang agak luar biasa, iaitu kata ganda separa suku kata akhir. Contohnya ialah kata segala-gala dan pertama-tama. Dalam hal ini, tiada perbezaan makna antara kata segala-gala dengan kata segala, atau antara kata pertama-tama dengan kata pertama, kecuali unsur penegasan.

 

11a.  Budak-budak itu berjalan di sebelah-menyebelah ayah mereka.

11b.  Di seberang-menyeberang sungai itu ada kampung orang.

Dalam kelompok ayat 11, terdapat kata ganda separa yang agak luar biasa juga, iaitu kata arah sebelah-menyebelah dan kata arah seberang-menyeberang. Dalam ayat 11a, kata terbitan dasar sebelah dalam kata kerja menyebelah digandakan. Dalam ayat 11b, kata terbitan dasar seberang dalam kata kerja menyeberang digandakan.

 

12a.  Kuih-muih itu sedap.

12b.  Suami isteri itu kini cerai-berai.

12c.  Keadaan di pasar itu hiruk-pikuk.

Dalam ayat 12a, terdapat kata nama ganda berima perulangan vokal kuih-muih. Dalam ayat 12b, terdapat kata kerja ganda berima perulangan vokal cerai-berai. Dalam ayat 12c, terdapat kata adjektif ganda berima perulangan vokal hiruk-pikuk.

 

13a.  Gunung-ganang itu tinggi.

13b.  Ramai orang lalu-lalang di jalan itu.

13c.  Pakaian pengemis itu compang-camping.

Dalam ayat 13a, terdapat kata nama ganda berima perulangan konsonan gunung-ganang. Dalam ayat 13b, terdapat kata kerja ganda berima perulangan vokal lalu-lalang. Dalam ayat 13c, terdapat kata adjektif ganda berima perulangan vokal compang-camping.

 

14a.  Saudara-maranya berkumpul di rumahnya.

14b.  Dia berulang-alik dari rumah ke tempat kerja dengan bas.

14c.  Rambutnya kusut-masai.

Dalam ayat 14a, terdapat kata nama ganda berima bebas saudara-mara. Dalam ayat 14b, terdapat kata kerja ganda berima bebas berawalan berulang-alik. Dalam ayat 14c, terdapat kata adjektif ganda berima bebas kusut-masai.

Bagi kata ganda berima, biasanya gandaan morfem terikatnya ialah unsur kedua dalam kata ganda tersebut. Contohnya terdapat pada kata ganda seperti kuih-muih, cerai-berai dan kusut-masai. Namun demikian, ada kalanya gandaannya yang merupakan morfem terikat ialah unsur pertama dalam kata ganda tersebut. Contohnya, terdapat pada kata ganda bolak-balik dan bengkang-bengkok. Selain itu, terdapat juga kata ganda berima yang terbina daripada kedua-dua unsur yang merupakan morfem terikat. Contohnya ialah kata ganda dolak-dalik, porak-peranda, huru-hara, mundar-mandir dan hiruk-pikuk.

Ada kata ganda yang berbentuk berbeza tetapi maksudnya sama. Sila lihat contoh yang berikut:

15a.  Setengah-setengah orang suka melancong.

15b.  Sesetengah orang suka melancong.

16a.  Layang-layang itu terbang meninggi.

16b.  Lelayang itu terbang meninggi.

Dalam kelompok ayat 15, kata tugas terbitan ganda penuh setengah-setengah dalam ayat 15a sama erti dengan kata tugas ganda separa sesetengah dalam ayat 15b. Dalam kelompok ayat 16, kata nama ganda semu layang-layang dalam ayat 16a sama erti dengan kata ganda separa lelayang dalam ayat 16b.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.