27 Ogos 2023, 22:07

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Ilmu yang terdapat dalam manuskrip Alam Melayu telah terhasil sejak abad ke-13 lagi dengan ilmu yang menyeluruh serta khusus kepada bidang tertentu. Manuskrip yang dihasilkan ini kebanyakan dalam bahasa Melayu dan bertulisan Jawi. Pengaruh kedatangan Islam telah memesatkan aktiviti perakaman atau perekodan ilmu kepustakaan tradisional dalam khazanah yang amat bernilai ini.

Sehubungan dengan itu, Prof. Madya Dr. Salmahjan Noor Muhammad, Pensyarah Kanan Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia (UPM) telah berkongsi mengenai manuskrip Alam Melayu menerusi slot Temu Bual Radio, terbitan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA), baru-baru ini.

Antara ilmu Alam Melayu yang telah dimanfaatkan oleh masyarakat dunia menerusi manuskrip ini termasuklah ilmu perubatan Melayu, iaitu menerusi Kitab Tib, ilmu cucuk tanam dan perdagangan daripada Undang-Undang 99 Perak.

Selain itu, ilmu senjata, iaitu manuskrip Ilmu Bedil, ilmu berkaitan dengan psikologi dan sosiologi manusia Alam Melayu seperti ilmu firasat dan yang berkaitan dengan jodoh seperti kitab Tajul Muluk dan pelbagai lagi kearifan tempatan juga terus digunakan.

Beliau turut berkongsi tentang cabaran bahawa orang ramai seharusnya perlu terus-menerus menggali ilmu manuskrip Alam Melayu ini khususnya dalam tulisan Jawi. Dewan Bahasa dan Pustaka menurutnya ialah pihak yang turut boleh dirujuk dalam hal mendalami sesebuah manuskrip ini.

Hasil translitrasi manuskrip Jawi kepada Rumi akan menghasilkan naskhah dan sudah tentu dapat menyebarkan ilmu tersebut kepada umum.

Para pembaca juga boleh mendapatkan lebih banyak ilmu kepustakaan tradisional ini menerusi manuskrip Melayu di Pusat Kebangsaan Manuskrip Melayu, Perpustakaan Negara Malaysia.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.