1 September 2023, 09:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Foto: Mohd Farid Janudin

 

Bahasa Melayu memainkan yang peranan penting dalam sejarah kemerdekaan Malaysia dan juga sebagai medium utama dalam memperkukuh perpaduan negara. Sebelum negara mencapai kemerdekaan, bahasa Melayu digunakan sebagai bahasa perjuangan dan perpaduan antara pelbagai kaum dan etnik yang berbeza.

Semangat bahasa Melayu umpama api perjuangan yang membara, memberikan ilham dan menggerakkan jiwa sang pahlawan kemerdekaan untuk mengangkat panji kebebasan menerusi pidato yang bertenaga, tinta yang membangkitkan nasionalisme dan lagu perjuangan yang megah berkumandang untuk menggerakkan masyarakat agar sentiasa mengikat hati masing-masing agar tidak berpecah belah.

Bahasa Melayu bukan sekadar berfungsi sebagai alat komunikasi bahkan sebagai nyawa perjuangan, menghubungkan rakyat yang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat, etnik, dan budaya dalam satu tekad untuk bersama-sama bergabung tenaga menjadi medan pertemuan bagi menyampaikan wawasan, aspirasi dan membentuk konsensus kebangsaan demi mencapai cita-cita kemerdekaan.

Pendek kata, penggunaan bahasa Melayu yang diangkat sebagai bahasa kebangsaan bukan sahaja membawa makna pada ucapan semata-mata, tetapi lebih ke hadapan lagi sebagai jambatan emas untuk memperkukuh identiti kebangsaan dan mempersatukan kepelbagaian kelompok sosial di Malaysia agar saling menghormati dan bekerjasama antara satu sama lain.

Beberapa dekad belakangan ini, tidak dinafikan penggunaan bahasa Melayu di Malaysia telah terpengaruh oleh pemanfaatan globalisasi dan teknologi. Teknologi yang berkembang pada mulanya seperti cendawan tumbuh selepas hujan kini terus mengukuh ibarat akar mencengkam tanah dan telah memberikan impak yang besar kepada penggunanya sama ada dari sudut positif ataupun negatif.

Sementara itu, situasi ini memerihalkan kepada kita bahawa pengaruh bahasa Inggeris juga semakin meningkat dalam lingkaran kehidupan masyarakat sehingga individu yang tidak menguasai bahasa asing ini kelihatan kolot di tanah air sendiri. Tanpa disedari, berlakunya garis pemisah yang sedikit banyak mengganggu perpaduan antara kita. Pernyataan ini bukanlah untuk menghukum sesiapa tetapi inilah realitinya yang berlaku pada masa kini.

Dalam memaksimumkan potensi bahasa Melayu sebagai pemacu kemerdekaan dan kekuatan perpaduan negara, kita perlu meningkatkan kesedaran tentang peri pentingnya bahasa ini sebagai bahasa kebangsaan. Kita masih boleh mengekalkan keunikan dan kekayaan bahasa Melayu sebagai bahasa yang mencerminkan identiti kebangsaan dan merapatkan saf pelbagai status sosial.

Bagi memastikan bahasa Melayu terus menjadi bahasa kebangsaan yang berdaya saing dan berperanan penting dalam memperkukuh perpaduan negara, usaha berterusan perlu dilakukan untuk menggalakkan penggunaan bahasa Melayu dalam semua aspek kehidupan. Hal ini termasuklah mendapatkan sokongan bagi pembangunan bahasa Melayu dan meningkatkan tahap penggunaannya di media massa, bidang pendidikan, dan pentadbiran kerajaan.

Usaha yang berterusan dengan penuh iltizam dapat memperkukuh peranan bahasa Melayu sebagai pencetus kemerdekaan dan kekuatan perpaduan negara dengan memastikan akses kepada pendidikan berkualiti menggunakan bahasa Melayu. Misalnya, mendorong dan memperkaya penggunaan istilah bahasa Melayu yang khusus untuk bidang tertentu, seperti istilah perubatan, sains, dan teknologi maklumat.

Selain itu, dengan mengintegrasikan bahasa Melayu dalam bidang kritikal ini akan dapat membina perbendaharaan kata dan frasa yang sesuai dengan perkembangan ilmiah. Perkara ini memudahkan pemahaman konsep yang kompleks dalam bahasa Melayu, serta memberikan ruang kepada generasi Malaysia untuk berkemampuan berdiskusi dalam forum yang bersifat global mengenai ilmu sains teknologi. Kesannya, akan menimbulkan minat dan semangat waja kepada generasi Malaysia untuk memastikan bahawa bahasa Melayu terus relevan dengan arus perubahan global.

Selain itu, untuk merapatkan kesenjangan digital, pentingnya untuk menggalakkan penggunaan bahasa Melayu dalam sumber maklumat digital dan platform media sosial. Bahasa Melayu merupakan alat perpaduan dalam menghadapi cabaran globalisasi dan kemajuan teknologi digunakan untuk menggalakkan penggunaannya dalam bidang teknologi dan maklumat, termasuklah pembangunan aplikasi dan laman web dalam bahasa Melayu, serta memberikan kemudahan pencarian maklumat dalam bahasa Melayu. Keadaan ini akan dapat membantu semua lapisan masyarakat menikmati kemaslahatan daripada kemajuan teknologi termasuklah yang kurang mahir dalam bahasa Inggeris. Langkah ini dilihat dapat memantapkan perpaduan bangsa serta menjamin kebahagiaan dan kejayaan semua rakyat Malaysia.

Tindakan untuk mendorong para penulis, penyair, dan penggiat industri kreatif tempatan menghasilkan karya dalam bahasa Melayu merupakan satu daripada cara untuk menggalakkan perkembangan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan “bahasa kreatif”. Pihak bertanggungjawab boleh mengadakan program pembangunan dan sokongan untuk kelompok ini mengembangkan kemahiran dan kecekapan mereka dalam menggunakan bahasa Melayu melalui pelbagai aktiviti seperti penulisan buku, penerbitan cerpen atau karya sastera, dan pertandingan puisi.

Dengan cara ini, akan banyak karya yang diterbitkan dalam bahasa Melayu dan membantu memperkukuh kedudukan bahasa kebangsaan dalam bidang sastera, karya ilmiah, dan kreatif. Hal ini akan memberikan manfaat dalam memperkukuh kekuatan perpaduan negara kerana bahasa Melayu akan menjadi sumber inspirasi bagi membangkitkan semangat nasionalisme dan solidariti dalam kalangan masyarakat Malaysia.

Selain itu, usaha mendorong penggunaan bahasa Melayu dalam sektor perniagaan turut memberikan sumbangan dalam memperkukuh kekuatan perpaduan negara dari aspek ekonomi. Dalam konteks bahasa Melayu sebagai pencetus kemerdekaan dan kekuatan perpaduan negara, kaedah memperkenalkan bahasa Melayu dalam sektor perniagaan yang merangkumi pelbagai aspek seperti pengiklanan, promosi produk, dan melatih pekerja agar mahir dalam bahasa Melayu dilihat dapat membantu menonjolkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan memperluas penggunaannya sebagai bahasa antarabangsa.

Misalnya, menerapkan bahasa Melayu sebagai bahasa utama dalam aplikasi perniagaan digital akan menyediakan peluang untuk menonjolkan bahasa Melayu sebagai bahasa yang fleksibel dan mempromosikan penggunaannya dalam perniagaan antarabangsa. Hal ini merupakan langkah bijak dan strategik kerana dorongan ini dapat menonjolkan identiti perpaduan negara di mata dunia.

Selanjutnya, mewujudkan program persahabatan antara bangsa di Malaysia akan dapat membantu mengukuhkan perpaduan antara warga Malaysia yang bersifat majmuk. Dalam konteks program persahabatan, penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa pertuturan boleh memupuk hubungan lintas budaya dan melatih komunikasi lebih efektif. Program seperti membuat lawatan ke kampung, karnival bahasa, program membaca buku bahasa Melayu adalah antara aktiviti sosial yang bukan sahaja meluaskan ilmu pengetahuan tetapi juga membuka minda antara warga Malaysia yang berbilang bangsa untuk mengenali, saling memahami dan menghormati budaya, adat, dan kepercayaan masing-masing. Program sedemikian akan mampu memupuk semangat patriotisme dan kesedaran akan nilai dan makna bahasa Melayu sebagai pencetus kemerdekaan dan perpaduan negara.

Bahasa Melayu bukan hanya menjadi pencetus kemerdekaan tetapi juga kekuatan perpaduan negara Malaysia. Dalam menghadapi cabaran globalisasi dan teknologi, usaha memperkukuh peranan bahasa Melayu sebagai pengikat bangsa dan wadah identiti kebangsaan adalah penting. Oleh itu, bahasa Melayu harus dipelihara kerana mampu mempersatukan pelbagai lapisan masyarakat Malaysia agar dapat mengatasi cabaran globalisasi yang mendatang dan terus berdiri dengan gahnya sebagai simbol ketamadunan bangsa dan negara.

Selamat menyambut Hari Malaysia.

 

 

Profesor Madya Dr. Salmah Jan Noor Muhammad − Pensyarah Kanan, Jabatan Bahasa Melayu, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia, yang juga Ahli Lembaga Amanah Yayasan Karyawan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.