Oleh Kho Thong Eng
4 September 2023, 15:41

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kaizen merupakan dua patah kata bahasa Cina yang dipinjam oleh bahasa Jepun dan bermaksud “pemurnian ke arah peningkatan yang berterusan”.  Amalan kaizen cukup relevan dalam semua bidang kehidupan yang dilanda arus globalisasi dan modenisasi kini, termasuk hal bahasa.

Sesuatu bahasa biasanya dihuraikan oleh kalangan ahli bahasa berdasarkan korpus bahasa dan realiti penggunaan bahasa oleh masyarakat bahasa yang berkenaan. Huraiannya bersifat deskriptif, iaitu menjelaskan segala manifestasi penggunaan bahasa.

Kemudian, huraian deskriptif bahasa yang telah terkumpul diteliti dan dinilai semula oleh ahli bahasa untuk menentukan amalan penggunaan bahasa yang baku untuk kegunaan rasmi, iaitu untuk majlis dan urusan rasmi, pengajaran dan pembelajaran di sekolah, peperiksaan awam, dan sebagainya.  Dengan cara itu, huraian deskriptif bahasa berubah kepada penentuan preskriptif.

Penentuan preskriptif dilakukan oleh sebilangan ahli bahasa dengan memilih bentuk bahasa yang standard atau baku yang dapat difahami oleh semua ahli masyarakat bahasa tanpa mengira kawasan tinggal mereka. Selain itu, bentuk preskriptif membolehkan peperiksaan dijalankan secara adil bagi murid atau pelajar yang berasal dari daerah yang berlainan.

Bentuk bahasa yang baku membolehkan khazanah bahasa, sastera dan budaya difahami dan diwarisi daripada satu generasi kepada generasi lain. Oleh itu, penentuan preskriptif cukup penting untuk memantapkan keupayaan dan menjamin kemandirian sesuatu bahasa.

Walaupun pada asasnya korpus bahasa telah banyak dikumpulkan oleh kalangan ahli bahasa, biasanya korpus bahasa itu tidak bersifat tuntas (exhaustive) dan tidak lengkap kerana ahli bahasa yang berkenaan mungkin terlepas pandang atau tidak berupaya mengumpulkan semua korpus bahasa sekali gus. Hal ini mungkin juga berlaku disebabkan hakikat bahawa korpus sesuatu bahasa sememangnya sentiasa berubah dan bertambah menurut zamannya.

Selain itu, dalam hal penentuan bentuk bahasa yang baku, ada ahli bahasa yang mungkin terlepas pandang kerana tidak mengambil kira semua korpus bahasa yang ada. Hal ini mungkin berlaku kepada sesiapa sahaja kerana kata peribahasa Melayu, “Bumi mana tidak ditimpa hujan”, dan “Tiada gading yang tak retak”.  Maksudnya, setiap ahli bahasa ada kekuatan dan mungkin juga ada kekurangannya yang tersendiri kerana itulah hakikat kejadian setiap manusia.

Ada kalanya, disebabkan limpahan masuk ilmu dan konsep yang baharu, kemungkinan dan keupayaan berbahasa bagi sesuatu bahasa perlu diperluas dan ditingkatkan supaya sesuai dengan tuntutan sezaman. Ada kalanya penentuan preskriptif perlu diubah suai apabila ada data baharu atau penghujahan yang lebih tepat tentang cara penggunaan sesuatu bahasa selepas sesuatu tempoh berlalu.

Hal ini berlaku kerana ahli bahasa yang berkelulusan tinggi bertambah tahun demi tahun, dan perbezaan pendapat antara mereka mungkin mencambahkan celik akal yang baharu tentang cara penggunaan bahasa yang lebih baku dan lebih tepat.  Hal ini sesuai dengan kata peribahasa, “Duduk seorang bersempit-sempit, banyak berlapang-lapang”. Oleh itu, kajian yang lebih kritis dan menyeluruh serta kupasan dan perbincangan yang lebih mendalam perlu dijalankan dari semasa ke semasa.

Contohnya, biasanya dikatakan bahawa penggunaan kata penguat menjadi syarat penentu kata adjektif dan ciri pembeza kata adjektif daripada jenis kata yang lain. Namun demikian, sebenarnya ada kata adjektif yang tidak sesuai atau tidak ditambah penguat. Contohnya ialah frasa *sangat lonjong, *sangat betul, sangat ungu* dan sebagainya.

Selain itu, terdapat kata lain yang dapat berfungsi sebagai adjektif dan diiringi oleh penguat selepas ditambah imbuhan. Contohnya ialah frasa paling terkenal (kenal ialah kata kerja), paling terbilang (bilang ialah kata kerja), paling ternama (nama ialah kata nama), paling terkemuka (ke muka ialah frasa sendi nama), dan sangat berilmu (ilmu ialah kata nama).

Selain itu, ada juga kata lain yang boleh diiringi oleh kata penguat tetapi tidak berfungsi sebagai adjektif. Contohnya ialah frasa sangat memerlukan bantuan, klausa bantuan sangat diperlukan, frasa sangat mengganggu ketenangan jiwa dan frasa amat merugikan kita.

Ada pendapat yang menolak kata tugas daripada yang terbina daripada kata tugas dari dan pada sebagai kata majmuk yang ejaannya sudah mantap tetapi menerima kata nama matahari yang terbina daripada kata nama mata dan hari sebagai kata majmuk. Alasannya ialah kata tugas seperti daripada biasanya dianggap sebagai kata tunggal oleh pengguna bahasa.

Namun begitu, bukankah matahari pun biasanya kita anggap sebagai satu benda dan satu perkataan? Oleh itu, sepatutnya kata tugas seperti daripada dan kata nama seperti matahari sama-sama dijeniskan sebagai kata majmuk dari segi bentuknya tetapi mungkin dianggap sebagai kata tunggal dari segi penggunaannya.

Ada pihak yang beranggapan bahawa kata sendi nama terhadap tidak sesuai digunakan pada kata nama abstrak. Walaupun hal ini ada kalanya benar, ada kalanya kata sendi nama terhadap sesuai digunakan dalam hubungan dengan penderita kesan sesuatu kejadian atau perkara. Contohnya ialah kesan COVID-19 terhadap ekonomi negara, atau kesan rasuah terhadap pembangunan negara dan sebagainya.

Ada pihak yang menyatakan bahasa sebilangan kata kerja dapat berfungsi seperti kata sendi nama. Contohnya ialah kata melalui, menerusi, mengenai dan mengikut. Namun demikian, sepatutnya dinyatakan juga bahawa ada kata kerja transitif yang dapat berfungsi sebagai kata pemeri. Contohnya ialah kata merupakan yang dapat berfungsi sebagai kata pemeri ialah dalam konteks ayat tertentu.

Biasanya dikatakan bahawa kata kerja transitif harus diikuti oleh objek.  Namun demikian, dalam hal kata nama majmuk, ada kalanya kata kerja transitif boleh hadir dengan objek atau tidak diikuti objek. Contohnya ialah bilik menunggu, pertandingan memancing, amalan membaca, aktiviti melukis dan sebagainya.

Berdasarkan beberapa contoh yang dihuraikan di atas, ternyatalah bahawa huraian dan pembakuan bahasa harus dilakukan secara kaizen, iaitu dalam bentuk pusingan demi pusingan yang tidak mengenal hujungnya. Sebagai contoh, huraian awal yang diikuti pembakuan harus dibakukan semula dengan adanya huraian baharu yang seterusnya. Dalam hal ini, ahli bahasa yang mengeluarkan pendapat tertentu sebelum ini tetapi kemudiannya mendapati bahawa pendapatnya kurang tepat boleh juga menyarankan pembetulan dan pembaharuan.

Disebabkan kita melakukan kaizen terhadap tatabahasa bahasa Melayu, buku pegangan rujukan tatabahasa bahasa Melayu harus juga dikemaskinikan secara sistematik secara berkala. Usaha pemurnian tersebut boleh dilakukan oleh penulis asal buku itu sendiri atau dijalankan oleh ahli bahasa yang lain. Contohnya ialah pembaharuan dibuat selepas masa lima tahun atau tujuh tahun sudah berlalu. Dengan cara itu, barulah masyarakat bahasa Melayu dapat dijamu dengan rumus tatabahasa yang semakin tepat melalui peralihan masa.

Jika tidak, kita terpaksa berpegang pada rumus tatabahasa yang ketinggalan zaman dan mengelirukan minda para pengguna bahasa Melayu. Sesungguhnya, harapan kita ialah bahasa Melayu akan terus menjadi bahasa gilang-gemilang yang hidup dan dinamik, bukan tinggal sebagai bahasa lesu yang jumud, statik dan beku.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.