7 September 2023, 11:56

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Generasi kini atau BBNU (budak baru nak up) kala bertemu rakan atau meluangkan waktu santai begitu terpesona merehatkan diri di kafe kopi hipster dan juga di kafe kopi jenama luar negara atau kedai kopi mahal. Itu istilah yang generasi penulis sering ungkapkan kala bercanda bersama dengan teman-teman – kafe kopi yang tumbuh melata khususnya di bandar raya malah bandar baharu.

Kafe kopi ini yang menghidangkan air kopi pelbagai rasa juga mempunyai hiasan dalaman yang digemari oleh mereka. Hiasan dalaman kafe yang indah memikat BBNU untuk mengabadikan memori menghirup air kopi tersebut di laman media sosial masing-masing. Melalui secawan kopi, begitu banyak memori tercipta dan terpateri untuk diceritakan di laman media sosial mereka.

Tidak cukup dengan hanya menikmati secawan kopi yang namanya kadangkala sukar disebut kerana mengekalkan sebutan Inggeris dan Itali, sepotong kek juga wajib dinikmati bersama-sama air kopi. Kek moden pelbagai rasa mentega dan keju, juga pelbagai warna begitu rancak mewarnai laman media sosial masing-masing dengan pelbagai keterangan, simbol dan ulasan daripada pengikut laman media sosial mereka.

Namun begitu, jangan lupa bahawa sebelum wujudnya pelbagai kafe kopi hipster dan jenama terkenal itu, di Alam Melayu ini telah wujud Kedai Kopi Pak Ali dan Kedai Kopi Pak Abu, malah Kedai Kopi Mak Limah juga ada. Di desa yang permai, kedai kopi kayu yang ringkas ini terletak di bawah pokok. Tiada hiasan mewah. Hiasannya hanya flora dan unggas di sekelilinginya. Tanpa penyaman udara dan dengan konsep terbuka. Hembusan bayu segar dari desa ini menyentuh tubuh para pengunjunginya. Mereka bukannya BBNU.

Kedai kopi ini dikunjungi oleh Pak Mat, Pak Mail, Tauke Chong dan Muthu yang baru balik dari bendang, kebun, sungai, laut dan pekan untuk bertemu mesra sesama mereka, menghilangkan penat badan setelah membanting tulang mencari sesuap nasi. Di sinilah pelbagai berita dikongsi dan diceritakan sesama mereka yang tinggal sekampung atau dari kampung seberang. Perkongsian segala maklumat tidak kira berita benar, sahih atau khabar angin diceritakan secara lisan dan begitu rancak disambut dengan hilai tawa dan tindak balas sesama mereka di kala itu. Suasana begitu hangat!

Di Hainan, konsep kedai kopi ini juga sama tetapi bukan menghirup air kopi dan hanyalah air teh. Mengapakah air teh dan bukan air kopi? Satu persoalan juga buat diri penulis. Sebagai tambahan ilmu, bangsa China menggemari teh yang merupakan satu daripada budaya dalam kehidupan mereka. Teh dikaitkan dengan semangat Buddha Asia Timur, iaitu para sami Buddha telah terlibat dalam menyuburkan, menjual dan menyebarkan teh dari tempat asalnya di bahagian selatan China ke negara Asia.

Terdapat pepatah lama China yang menyatakan bahawa “Apabila membuka pintu pada awal pagi, seseorang itu perlu berhadapan dengan tugas untuk menyediakan tujuh keperluan harian, iaitu kayu api, beras, minyak, garam, sos, cuka dan teh. Justeru itu, air teh merupakan minuman utama orang China dan telah menjadi suatu keperluan harian dalam kehidupan masyarakatnya. Pada zaman dahulu, teh berada pada kelas yang tinggi, terutamanya bagi golongan atasan kerana simbolik kesucian serta menunjukkan nilai yang anggun.

Berbalik pula pada Laoba cha di Hainan, yang bermaksud kedai teh datuk. Bukan berpangkat Datuk dan Datin, ya. Ini datuk yang mempunyai cucu. Kedai itu dipanggil sedemikian kerana majoritinya lelaki berusia yang segelintir daripada mereka telah bercucu dan berumur memenuhi kedai teh ini yang sepanjang hari dibuka. Kedai teh ini bukannya dibuka selama 24 jam seperti kedai mamak yang terdapat di Malaysia tetapi mula dibuka seawal pukul 7.00 pagi hingga pukul 7.00 malam atau 10.00 malam.

Sepanjang kedai teh ini dibuka pada waktu bekerja, pengunjungnya ialah lelaki tua yang berumur mengunjunginya. Mereka menghirup air teh tanpa susu. Mereka berbual bersama-sama rakan sebaya, menghisap rokok dan membaca surat khabar dan majalah. Kini semua datuk sudah mempunyai telefon pintar. Mereka boleh menonton pelbagai berita, filem dan hiburan. Ada juga yang bermain daun terup. Hingar-bingar suara mereka mengindahkan budaya Laoba cha. Menghirup air teh menjadi satu daripada aktiviti rekreasi buat mereka khususnya mereka yang telah pencen.

Jika di kafe hipster, air kopi diminum bersama-sama kek. Di Kedai Kopi Pak Ali pula, kopi diminum dengan Nasi Lemak. Tidak lupa pula kopitiam, yakni kedai kopi hasil asimilasi budaya Melayu dan China. Hanya ada di Malaysia tetapi masih mengekalkan tradisi asimilasi dua budaya ini. Pengunjung biasanya minum air teh tarik atau kopi bersama-sama Nasi Lemak atau telur separuh masak. Uniknya kepelbagaian cita rasa gastronomi di Malaysia. Berbalik pada Laoba cha, air teh diminum bersama-sama roti kukus dan makanan ringan yang dikukus seperti kaki ayam kukus, pau kukus, mi goreng dan kuih-muih yang dikukus.

Laoba cha juga ringkas bentuknya dan terbuka sifatnya. Di sinilah lelaki warga emas di kawasan yang berhampiran akan datang minum secawan teh dengan mesra sesama mereka. Mereka akan berbual-bual dan bercerita. Ada juga yang bercerita sambil berlagu. Ilai tawa menyelubungi suasana laoba cha.

Di Hainan, Laoba cha ini banyak ditemui di bawah pohon kelapa jika anda berkunjung di luar kota. Jika di kota, Loaba cha terletak di deretan kedai yang tersusun. Bau teh memenuhi udara sepanjang jalan. Kedai itu masih kekal hiasan tradisional kayu lama dan barangan lama. Air teh dihidangkan seteko dan bukannya secawan atau segelas. Minum dan nikmatilah sepuas-puasnya. Jika habis, air teh itu boleh ditambah lagi. Boleh juga minum air kelapa jika tidak ingin air teh.

Kini, kala hujung minggu khususnya waktu pagi, Laoba cha dikunjungi oleh setiap lapisan masyarakat dan peringkat umur bersama-sama keluarga. Mereka menikmati air teh bersama-sama bubur nasi dan pelbagai aneka kuih-muih yang dikukus yang mengeratkan keakraban kekeluargaan. Sudah ada pelbagai cita rasa teh sebagai pilihan khususnya untuk generasi muda dan kanak-kanak tetapi teh asli tetap menjadi pilihan.

Hanya di Hainan, ada roti disaluti dengan kaya menjadi juadah pilihan kala bertandang di Laoba cha ini, khususnya di Kota Wenchang. Menurut teman sekerja penulis yang juga telah berumah tangga dengan pemuda dari Hainan, tercetusnya penciptaan roti manis yang disaluti dengan kaya ini datangnya daripada diaspora Hainan yang merantau ke Tanah Melayu sebelum Perang Dunia ke-2 dan mereka pulang semula ke Hainan dan membawa resipi kaya itu ke Hainan dan dikembangkan menjadi satu perniagaan yang dimiliki dan dimajukan daripada satu generasi kepada generasi yang seterusnya.

Roti manis yang disaluti dengan kaya.

Dengan mengubahsuaikannya mengikut cita rasa masyarakat setempat, maka terhasillah asimilasi resipi dari Tanah Melayu yang menjadikan roti manis disaluti dengan kaya ini menjadi hidangan khas yang harus dijamah kala berkunjung di Laoba cha. Hanya di Kota Wenchang, Hainan.

 

 

 

 

 

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.