12 September 2023, 10:23

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Keningau – Sebanyak 100 orang peserta yang terdiri daripada pelajar dan pensyarah Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus  Keningau telah menghadiri Bengkel Puisi Tradisional: Apresiasi Syair, anjuran Jabatan Bahasa, IPG Kampus Keningau bersama-sama Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah (DBPCS) semalam.

Bagi menghidupkan puisi lisan warisan masyarakat zaman dahulu, bengkel yang diadakan buat julung-julung kali ini bertujuan untuk memberikan pendedahan dan mencungkil bakat baharu dari Sabah dalam seni dendangan syair.

Menurut pembimbing, iaitu Dr. Shafa’atussara Silahudin, untuk menjadi seorang penyair, seseorang itu mestilah mengetahui serta memahami maksud syair dan fungsi sesebuah syair itu disampaikan.

Dalam slot pengenalan, beliau menerangkan bahawa lebih daripada 60 irama syair didendangkan namun irama yang paling dikenali oleh masyarakat ialah irama Selendang Delima dan Dodoi. Beliau juga memperkenalkan empat buah irama yang berbeza seperti Tok Kenali, Narasi, Dodoi, Batu Belah dan Hiasan. Irama-irama syair ini didendangkan bergantung pada kesesuaian teks yang digunakan.

Slot seterusnya menyaksikan pelaksanaan aktiviti berkumpulan oleh peserta yang terdiri daripada para pelajar dan pensyarah IPG Kampus Keningau untuk mempersembahkan dendangan syair menggunakan teks “Syair Berbuat Jasa”, karya Pendeta Za’ba. Mereka digalakkan memilih mana-mana irama yang telah dipelajari supaya irama-irama tersebut dapat dikuasai.

Setiap peserta yang bersemangat dalam latihan dendangan syair ini menunjukkan bahawa seni persembahan puisi tradisional yang menjadi warisan berzaman ini masih belum ditelan zaman walaupun dunia semakin maju ke hadapan.

Pengarah IPG Kampus Keningau, iaitu Encik Doti Asing berkata,

Hasil daripada bengkel ini tidak boleh berhenti setakat ini. Saya percaya bahawa ini merupakan satu daripada cara untuk memanfaatkan kemahiran dan peluang mengetengahkan bakat siswa dan siswi dalam sebarang pertandingan syair atau dalam program rasmi IPG di Malaysia.

Sehubungan dengan itu, untuk mencapai hasrat tersebut, DBPCS akan terus mendukung dan memberikan sokongan kepada pihak yang komited melaksanakan kegiatan kesusasteraan khususnya sastera tradisional supaya nilai warisan bangsa ini dapat diwarisi dan dihayati oleh generasi akan datang.

Para peserta Bengkel Puisi Tradisional: Apresiasi Puisi tekun mendengar ceramah yang disampaikan oleh Dr. Shafa’atussara Silahudin.
Persembahan dendangan syair oleh para peserta.
Penyampaian cenderamata oleh Pengarah IPG Kampus Keningau, Encik Doti Asing kepada Dr. Shafa’atussara Silahudin, selaku pembimbing bagi bengkel ini.
Penyampaian cenderamata oleh wakil DBPCS, Encik Ahmad Fazly Sahar kepada Pengarah IPG Kampus Keningau.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.