Oleh Kho Thong Eng
13 September 2023, 12:38

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kata bahawa merupakan kata hubung pancangan komplemen. Oleh itu, penggunaan kata bahawa dalam ayat menghasilkan ayat majmuk pancangan komplemen. Sila lihat contoh yang berikut:

1a.  Saya mengetahui bahawa dia jujur.

1b.  Saya mengetahui perkara itu.

1c.  Saya mengetahui dia jujur.

Dalam ayat 1a, kata bahawa berada di pangkal klausa komplemen bahawa dia jujur. Dalam hal ini, klausa komplemen bahawa dia jujur berfungsi seperti frasa nama perkara itu (lihat ayat 1b) dan menjadi objek kepada kata kerja transitif mengetahui. Dalam ayat 1c, kata bahawa dalam ayat 1a digugurkan kerana hal sedemikian tidak menjejaskan pemahaman tentang ayat itu.

Klausa komplemen dengan kata hubung bahawa dapat juga menjadi subjek ayat. Sila lihat contoh yang berikut:

2a.  Bahawa dia berwibawa menjadi buah mulut masyarakat.

2b.  Perkara itu menjadi buah mulut masyarakat.

2c. *Menjadi buah mulut masyarakat.

 

3a.  Bahawa baginda berjiwa rakyat diketahui ramai.

3b.  Perkara itu diketahui ramai.

3c.  *Diketahui umum.

Dalam ayat 2a, klausa komplemen dengan bahawa, iaitu bahawa dia berwibawa merupakan subjek asal ayat. Klausa itu boleh diganti secara paradigmatik dengan frasa nama subjek perkara itu (lihat ayat 2b). Tanpa klausa komplemen tersebut, ayatnya menjadi tergantung (lihat ayat 2c).

Dalam ayat 3a, klausa komplemen dengan bahawa, iaitu bahawa baginda berjiwa rakyat merupakan subjek terbitan atau objek dalam ayat. Sama seperti ayat 2a, klausa itu boleh diganti secara paradigmatik dengan frasa nama subjek perkara itu (lihat ayat 3b). Tanpa klausa komplemen tersebut, ayatnya menjadi tergantung (lihat ayat 3c). Satu hal yang harus kita ingat ialah kata hubung bahawa dalam klausa komplemen yang menjadi subjek asal atau subjek terbitan tidak boleh digugurkan.

Ada kalanya klausa komplemen dapat menjadi pelengkap kepada kata kerja tak transitif tertentu. Sila lihat contoh yang berikut:

4a.  *Dia berpendapat.

4b.  Dia berpendapat bahawa kita harus saling membantu.

 

5a.  *Dia beranggapan.

5b.  Dia beranggapan bahawa ketidakadilan telah berlaku.

 

Dalam ayat 4a, kata kerja tak transitif berpendapat tidak dapat menjadi predikat yang sempurna dan lengkap maksudnya. Oleh itu, klausa komplemen seperti bahawa kita harus saling membantu harus menyusulinya sebagai pelengkap (sila lihat ayat 4b).

Dalam ayat 5a, kata kerja tak transitif beranggapan tidak dapat menjadi predikat yang sempurna dan lengkap maksudnya. Oleh itu, klausa komplemen seperti bahawa ketidakadilan telah berlaku harus menyusulinya sebagai pelengkap (sila lihat ayat 5b).

Klausa pancangan dengan kata bahawa dapat juga berfungsi sebagai klausa keterangan hal yang bersifat opsyenal bagi sebilangan kecil frasa adjektif dan frasa kerja tak transitif. Sila lihat contoh yang berikut:

6a.  Dia amat yakin.

6b.  Dia amat yakin bahawa dia akan berjaya.

 

7a.  Dia berasa takut.

7b.  Dia berasa takut bahawa projeknya akan gagal.

 

Ayat 6a dengan pola Frasa Nama + Frasa adjektif sudah lengkap. Oleh itu, klausa pancangan seperti bahawa dia akan berjaya berfungsi sebagai klausa keterangan hal yang bersifat opsyenal (lihat ayat 6b).

Ayat 7a sudah lengkap dengan pola Frasa Nama + Frasa kerja. Oleh itu, klausa pancangan seperti bahawa projeknya akan gagal berfungsi sebagai klausa keterangan hal yang bersifat opsyenal (lihat ayat 7b).

Adakah kata hubung bahawa dapat wujud secara bersebelahan atau berturutan dengan kata hubung lain, seperti kata hubung relatif yang, kata hubung komplemen untuk dan pelbagai kata hubung keterangan? Sila lihat contoh yang berikut:

8a.  Kasut yang dibelinya tidak bermutu.

8b.  Yang dibelinya tidak bermutu.

8c.  Dia tahu bahawa yang dibelinya tidak bermutu.

Apabila inti frasa nama kasut bagi frasa nama kasut yang dibelinya dalam ayat 8a digugurkan, yang terjadi ialah ayat 8b, iaitu kata hubung yang berada di pangkal frasa nama yang dibelinya. Apabila klausa baharu dia tahu dicantum dengan klausa yang dibelinya tidak bermutu dengan kata hubung bahawa, yang terhasil ialah ayat 8c, iaitu kata hubung komplemen bahawa dituruti oleh kata hubung relatif yang.

9a.  Untuk dia lulus adalah sukar.

9b.  Perkara itu adalah sukar.

9c.  Dia tahu bahawa untuk dia lulus adalah sukar.

Dalam ayat 9a, untuk dia lulus merupakan klausa komplemen yang dapat diganti dengan frasa nama perkara itu (lihat ayat 9b). Apabila klausa baharu dia tahu dicantum dengan dua klausa untuk dia lulus adalah sukar dengan kata hubung komplemen bahawa, yang terhasil ialah ayat 9c, iaitu kata hubung komplemen bahawa dituruti oleh kata hubung komplemen untuk.

10a.  Dia dikenakan tindakan kerana cuai.

10b.  Dia sedar bahawa dia dikenakan tindakan kerana cuai.

10c.  Dia sedar bahawa kerana cuai, dia dikenakan tindakan.

 

11a.  Dia akan dikenakan tindakan jika/apabila dia cuai,.

11b.  Dia sedar bahawa dia dikenakan tindakan jika/apabila dia cuai.

11c.  Dia sedar bahawa jika/apabila dia cuai, dia dikenakan tindakan.

Apabila klausa baharu dia sedar dicantum dengan dua klausa dia dikenakan tindakan kerana cuai (ayat 10a) dengan kata hubung komplemen bahawa, yang terhasil ialah ayat 10b. Apabila dua klausa dia dikenakan tindakan kerana cuai disongsangkan, kita mendapati kata hubung komplemen bahawa disusuli oleh kata hubung keterangan musabab kerana (ayat 10c).

Apabila klausa baharu dia sedar dicantum dengan dua klausa dia dikenakan tindakan jika/apabila dia cuai (ayat 11a) dengan kata hubung komplemen bahawa, yang terhasil ialah ayat 11b. Apabila dua klausa dia dikenakan tindakan jika/apabila dia cuai disongsangkan, kita mendapati kata hubung komplemen bahawa disusuli oleh kata hubung keterangan syarat jika atau kata hubung keterangan waktu apabila (11c).

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.