Oleh Kho Thong Eng
18 September 2023, 11:03

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Ayam dan itik ialah dua spesies haiwan ternakan yang dikenali ramai. Dari segi rupa, kedua-duanya bersayap, berbulu dan berkaki dua. Meskipun ada banyak persamaan antara dua jenis haiwan itu, kita masih tidak dapat terus menyamakan kedua-duanya. Cuba kita letakkan kedua-dua haiwan itu di kolam air. Kita pasti mendapati bahawa itik selesa dan seronok bermain air, tetapi ayam meronta-ronta dan cuba seberapa segera untuk berenang ke tepi kolam. Jadi, nampaklah dengan jelas perbezaan antara kedua-duanya.

Analogi di atas kelihatan terlalu biasa dan sederhana. Namun begitu, yang ingin saya katakan ialah kaitannya dengan analisis tatabahasa. Kalau wujud persamaan tertentu antara dua bentuk tatabahasa, kita tidak boleh terus menyamakan kedua-dua bentuk tatabahasa itu kerana mungkin ada juga perbezaan yang kurang ketara, yang hanya menonjol apabila kita membuat analisis dengan telitinya atau selepas kita mengujinya dalam situasi penggunaan tertentu. Sila lihat contoh ayat yang berikut.

1a.  Dia beroleh keuntungan.

1b.  Dia memperoleh keuntungan.

2a.  Dia belajar muzik.

2b.  Dia mempelajari muzik.

Kalau kita membandingkan ayat 1a dengan 1b, dan ayat 2a dengan 2b, kita tentu mendapati kata beroleh dapat berada pada kedudukan yang sama dengan memperoleh, dan begitu juga keadaannya antara belajar dengan mempelajari. Walaupun begitu, persamaan itu tidak membolehkan kita terus menyamakan kedua-dua bentuk itu. Cuba kita pasifkan kedua-duanya. Kita mendapati kata beroleh dan belajar ialah kata kerja tak transitif yang tidak dapat dipasifkan, manakala memperoleh dan mempelajari ialah kata kerja transitif yang boleh diikuti objek dan boleh juga dipasifkan.

Selain itu, apabila kita membandingkan kata kerja tak transitif beroleh dengan kata belajar, kita mendapati bahawa kata kerja tak transitif tak bebas beroleh harus diikuti oleh pelengkap nama seperti keuntungan, manakala kata kerja tak transitif bebas seperti belajar boleh diikuti oleh kata keterangan seperti muzik secara opsyenal. Oleh itu, kita harus membuat perbandingan secara tuntas dan teliti untuk mengenal pasti persamaan, perbezaan dan aspek tambahan yang lain supaya analisis tatabahasa kita jelas dan tepat, bukan songsang dan mengelirukan diri serta orang lain.

Kita tahu ayam berbeza daripada telurnya, iaitu ayam tetap ayam dan bukan telur, manakala telur tetap telur dan bukan ayam. Hal itu merupakan hakikat yang tidak dapat kita pertikaikan. Namun demikian, antara telur dengan ayam tetap ada kaitan yang dapat kita huraikan, iaitu telur ialah benda yang mengandungi lembaga atau bakal anak daripada unggas, serangga, ikan, reptilia dan sebagainya seperti ayam, manakala ayam ialah sejenis makhluk yang mengeluarkan telur. Jadi, apabila kita ingin menjelaskan maksud telur, kita boleh mengaitkannya dengan ayam, dan apabila kita hendak menjelaskan maksud ayam, kita boleh mengaitkannya dengan telur.

Analogi kedua di atas berkaitan dengan pandangan kita tentang ayat dasar, ayat tunggal dan ayat majmuk. Kita memang sedia maklum bahawa ayat dasar, ayat tunggal dan ayat majmuk berbeza, dan tidak dapat disamakan. Ayat dasar atau ayat inti ialah bentuk yang terdiri daripada satu klausa dengan empat pola binaan, iaitu Frasa Nama + Frasa Nama, Frasa Nama + Frasa Kerja, Frasa Nama + Frasa Adjektif dan Frasa Nama + Frasa Sendi Nama.

Selain itu, ayat dasar hanya merangkumi ayat penyata, ayat pasif dan ayat susunan biasa. Ayat tunggal ialah binaan satu klausa yang ditransformasikan daripada ayat dasar dengan struktur yang bervariasi, manakala ayat majmuk ialah binaan dua klausa atau lebih yang ditransformasikan daripada dua ayat dasar atau lebih.

Oleh itu, hubungan antara ayat dasar, ayat dasar dan ayat majmuk bersifat dua hala dari segi hubungannya, iaitu ayat dasar menjadi struktur asas yang dapat ditransformasikan sebagai ayat tunggal dan ayat majmuk, dan semua ayat tunggal dan ayat majmuk terbina daripada struktur yang berkaitan dengan ayat dasar.

Hal ini bererti bahawa dari segi analisis tatabahasa, tidak cukup untuk menyatakan atau menghuraikan ayat dasar, ayat tunggal dan ayat majmuk sebagai struktur ayat yang berasingan dan berbeza, tetapi kita harus juga mengkaji hubung kait antara ketiga-tiga bentuk ayat tertentu. Dengan itu, barulah analisis dan huraian tatabahasa kita lebih tepat, tuntas dan lengkap.

Ayam bukan sebarang ayam. Ayam biasa berbeza daripada ayam seperti ayam serama, ayam sabung atau ayam belanda. Ayam biasa diternak supaya kita mendapatkan telur atau daging daripadanya. Ayam serama pula biasanya dijadikan sebagai haiwan kesayangan dan ayam sabung dipelihara untuk menonjolkan kejaguhannya bersabung. Ayam belanda bernama ayam, tetapi rupanya jelas berbeza daripada ayam biasa. Malahan, ayam biasa berkokok, berkotek atau berketuk, tetapi ayam belanda berkelokok.

Analogi ini berkaitan dengan perbandingan antara struktur ayat, ada kalanya dua bentuk yang berbeza mungkin sama dari segi tertentu tetapi berbeza dari segi lain. Selain itu, mungkin ada hubungan umum (hipernim) dengan unsur khusus (hiponim) antara unsur tatabahasa.

Sebagai perbandingan, kata bilangan dalam bahasa Melayu meliputi enam subgolongan, iaitu kata bilangan tentu atau kardinal, kata bilangan tak tentu, kata bilangan himpunan, kata bilangan pisahan, kata bilangan pecahan dan kata bilangan tingkat atau ordinal. Selain itu, apabila kita menghalusi kata bilangan himpunan, kita mendapati kata bilangan tersebut melibatkan kata ganda yang berawalan, kata tunggal berawalan dan kata tunggal berakhiran. Sila lihat contoh yang berikut:

3a.  Beratus-ratus orang tetamu hadir.

3b.  Ketiga-tiga orang murid menerima hadiah.

3c.  Murid berlima itu berkawan baik.

3d.  Ratusan orang menyokong pemimpin itu.

Berdasarkan kelompok ayat 3 di atas, kita tentu mendapati ada pelbagai unsur persamaan dan perbezaan lagi yang dapat diperkatakan tentang empat contoh ayat dengan kata bilangan himpunan itu.

Ketiga-tiga analogi di atas sekadar tiga contoh yang menjelaskan hubung kait antara unsur tatabahasa dalam bahasa Melayu. Jika kita mahu membuat analisis yang betul, tidak dapat tidak kita harus bersikap terbuka, kritis dan rasional untuk menghasilkan kupasan tatabahasa yang menyeluruh, seimbang, logik dan betul.

 

 

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.