Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangOrang Melayu dahulu sangat teliti, juga sebagai pemerhati dan pengkaji bahasa Melayu. Banyak kisah-kisah atau cerita pendek yang berunsurkan anekdot, iaitu kisah yang ringkas dan biasanya agak lucu tentang sesuatu kejadian dan peristiwa dijadikan teladan. Mereka mencipta cerita yang berselang-seli dengan unsur puisi bagi menarik para pembaca membaca kisah atau peristiwa yang lucu dan yang sering berlaku dalam kehidupan.
Falsafah pemikiran melalui bahasa yang indah, berilmu dan bermakna mungkin disampaikan melalui cerita, kisah pendek, puisi ringkas seperti pantun, sajak, gurindam, syair, bahasa berirama dan seloka. Kesemuanya menggambarkan peristiwa lalu yang menjadi contoh dan teladan, iaitu melalui pemikiran bangsa dan mereka melalui bahasa dan menjadi cerminan dalam kehidupan bangsa pada masa akan datang.
Menurut Kamus Dewan Edisi Ketiga (2002, hlm. 44), anekdot bermaksud kisah ringkas yang biasanya agak lucu tentang sesuatu kejadian atau peristiwa. Hal ini dapat dilihat melalui cerita-cerita binatang yang dikiaskan kepada manusia. Justeru, bahasa juga mempunyai banyak kisah dan cerita lucu dalam masyarakat Melayu. Contohnya, orang yang banyak bercakap dan tidak berhenti bercakap dikatakan seperti gila bahasa.
Cerita lucu juga terdapat dalam masyarakat Melayu. Sebagai contoh, Kisah Musang Berjanggut, Kisah Sang Kancil dan Buaya, Cerita Lebai Malang, Pak Kaduk, Pak Pandir, dan Mat Jenin yang kesemuanya mengandungi unsur lucu lawak jenaka yang disampaikan melalui cerita dan pengajaran. Penciptaan peribahasa juga mempunyai unsur lawak dan lucu tetapi mengandungi pengajaran.
Kebijaksanaan pujangga Melayu mencipta kisah menarik dengan memasukkan unsur puisi yang agak lucu tetapi mempunyai sindiran yang mendalam juga merupakan unsur anekdot yang telah lama ada dalam sastera Melayu berbahasa Melayu. Kisah-kisah ini disusun melalui penceritaan dan diselitkan dengan kias dan ibarat melalui puisi sama ada seloka, gurindam dan pantun.
Melalui penggunaan bahasa jenaka, iaitu menurut pendeta Za’ba yang antaranya termasuklah satu perkataan dua makna kerana membawa maksud jenaka atau bersenda-senda. Kadang-kadang ada juga maksud bersungguh-sungguh. Begitu juga dengan dua tempat berlainan makna yang membawa unsur jenaka seperti melalui teka-teki, pantun dan seloka yang mempunyai unsur lawak, lucu dan sindiran yang tajam.
Contohnya, “Tuan peluk saya, saya peluk tuan. Masuk hujung saya. Sedap hati tuan” yang bermaksud pintu dengan penguncinya dan tuan yang akhir itu bermaksud tuan rumah. Pantun seperti “Oh! Bulan mana bintang?, Atas pucuk kayu ara; Oh! Tuan mana hilang?, Dalam bilik anak dara.” dan “Buai-buai kaduk, Kaduk jalan ke rimba; Merumbai janggut datuk, Boleh buat tali timba.” juga berunsurkan jenaka yang mempunyai maksud tersendiri.
Kehebatan dan kebijaksanaan cendekiawan dan pendeta Melayu dahulu dalam mengukir kata-kata yang mempunyai sindiran makna, makna dua lapis, makna lawak dan lucu dengan susunan bahasa yang rapi dan berirama adalah kebijaksanaan melalui renungan alam kehidupan, masyarakat dan kehidupan.
Melalui cerita anekdot diselitkan unsur peribahasa, simpulan bahasa, perumpamaan, pepatah, dan kata-kata hikmat. Sebagai contoh, akal kancil, hidung tinggi, hilang akal, gila bahasa, kera sumbang, nasi sudah menjadi bubur, mulut tempayan, rabun ayam, bagai bunyi cempedak jatuh, seperti cicak makan kapur, bagai murai dicabut ekor, seperti anjing berebut tulang, seperti ayam berak kapur, seperti duduk dalam duri, seperti rusa masuk kampung, seperti tikus jatuh ke beras, ayam terlepas tangan bau tahi, cakap berdegar-degar tahi sangkut di gelegar, ada sampan hendak berenang, belum duduk sudah berlunjur, orang buta diberi bersuluh, orang mengantuk disorongkan bantal, sudah jatuh ditimpa tangga, seperti kera kena belacan, sarang tebuan jangan dijolok, sudah terhantuk baru tengadah, dan jangan berludah ke langit.
Dengan melihat susunan kata dan bahasanya serta keadaan yang berlaku pun pembaca sudah tersenyum dan itu belum lagi mentafsirkan maknanya yang berlapis-lapis. Semuanya dipetik daripada pengalaman, pemerhatian dalam kehidupan setiap hari dan disusun, kemudian dicipta dengan sarat dan penuh erti. Unsur anekdot melalui kisah yang ringkas dalam kehidupan juga dijadikan peribahasa yang mengandungi unsur lucu tentang sesuatu kejadian atau peristiwa.
Kehidupan masyarakat Melayu dahulu mempunyai banyak masa untuk mendengar cerita. Si pencerita akan bercerita tentang kisah yang yang ringkas dan pendek, biasanya agak lucu untuk menerapkan unsur nilai murni dan pengajaran kepada generasi muda pada ketika itu sebagai panduan kehidupan supaya mereka tidak mengulanginya lagi.
Jika dilihat dan diperhatikan, peristiwa dalam peribahasa biasannya juga diambil daripada kisah dan peristiwa sebenar yang benar-benar berlaku dalam kehidupan masyarakat. Unsur lucu, lawak dan sindiran akan menjadi ingatan kepada si pendengar supaya mendapat nasihat dan pengajaran dalam cerita yang disampaikan. Ada pandangan yang mengatakan bahawa lelucon bukanlah lelucon hingga orang ketawa kerananya dan juga mendapat pengajaran daripada ceritanya.
Justeru, sebagai murid dan pelajar, jadikanlah unsur anekdot yang mempunyai unsur lucu dalam cerita-cerita Melayu ini sebagai pengajaran dan pegangan hidup supaya kita tidak terjebak dalam pelbagai masalah dalam kehidupan bagi kali kedua. Kebijaksanaan inilah yang perlu diambil dan dijadikan teladan serta iktibar dalam kehidupan seperti dalam cerita Lebai Malang, Pak Kaduk dan Pak Pandir.
Tidak hairanlah dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia bagi Kertas 2, Soalan 3: Pengetahuan dan Kemahiran Bahasa, iaitu diberikan tiga peribahasa sama ada membina ayat, mencari makna dan mencari peribahasa yang sama maknanya dengan membawa enam markah bagi soalan tersebut.
Dalam penceritaan ringkas, iaitu anekdot Melayu sejak dahulu lagi ada gagasan pemikiran dan falsafah tentang kehidupan masa lalu dan masa kini melalui bahasa indah yang disampaikan kepada pembaca. Anekdot mengandungi panduan dan pengajaran kepada generasi muda dalam menghadapi apa-apa juga cabaran hidup pada masa depan supaya tidak mengulanginya lagi.