Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangDari segi istilah, terdapat banyak definisi kolokasi yang diberikan oleh pakar bahasa moden. Antaranya termasuklah “dua kata atau lebih yang dilihat sebagai unit leksikal tunggal, dan digunakan berdasarkan kebiasaan dalam sesuatu bahasa”, “kata yang digunakan secara berturutan”, dan “dua atau lebih kata yang digunakan secara tetap dan terikat antara satu dengan lain dan adalah tidak tepat untuk menggantikan satu daripadanya dengan yang kata lain”.
Dengan berdasarkan definisi yang dinyatakan ini, jelaslah bahawa kolokasi ini merupakan set kata yang sering digunakan secara bersama dalam satu susunan untuk membawa makna tertentu. Perbezaan makna kata ini boleh dikenal pasti dalam konteks penggunaannya, iaitu dengan melihat kolokasi kata yang kedudukannya selepas dan sebelum sesuatu kata itu.
Antara kata yang mempunyai pelbagai kolokasi termasuklah kata “jatuh”. Bagi kata “jatuh”, Kamus Dewan Edisi Keempat memberikan 10 makna yang berbeza. Dalam perbincangan ini, lima maksud kata “jatuh” dibincangkan mengikut konteks yang berbeza. Maksud tersebut ialah:
Bagi mengetahui senarai kolokasi ini, penulis menggunakan Korpus Dewan Bahasa dan Pustaka. Dengan berdasarkan hasil carian kolokasi ini, penulis menemukan sejumlah 100 kolokasi bagi kata “jatuh”. Daripada jumlah ini, penulis mengkategorikannya kepada 11 jenis/bentuk yang terdiri daripada maksud yang terdapat dalam Kamus Dewan dan penemuan baharu.
Maksud pertama yang diberikan oleh kata “jatuh” ialah turun ke bawah dengan cepatnya. Proses ini berlaku disebabkan oleh daya tarikan graviti kerana bumi menarik semua objek ke pusatnya. Dengan daya graviti ini, semua objek yang jatuh mengalami proses pecutan. Sila lihat ayat contoh yang berikut:
1(a) Setitik hujan “jatuh” ke tangan Hanim.
1(b) Perlahan-lahan ia melayang “jatuh” ke bumi.
1(c) … patawali dituai dengan cara menarik bahagian batangnya yang “jatuh” berjurai dari bahagian atas ke bawah.
1(d) Air mata ibu “jatuh” berguguran membasahi pipinya.
Kata “jatuh” juga bermaksud jatuh terduduk (terhentak, tersungkur, tertiarap). Keadaan ini biasa berlaku apabila seseorang itu jatuh ke tanah atau jatuh ke aras yang lebih rendah (biasanya lantai) secara tidak sengaja. Sila lihat ayat contoh yang berikut:
1(e) Meli yang berkuda menjadi lumpuh dan dia “jatuh” ke dalam baruh.
1(f) Saya “jatuh” tersungkur
1(g) … Noremah, 10, ketika hujan lebat apabila tergelincir lalu “jatuh” ke
dalam longkang berkenaan.
1(h) Mak Cik Halimah “jatuh” tersungkur.
Di samping itu, kata “jatuh” boleh membawa maksud menjadi kurang (berkenaan harga, nilai, dan lain-lain), turun, dan merosot. Menerusi data yang diperoleh ini, kata “jatuh” boleh diikuti oleh nombor yang melibatkan harga saham. Hal ini dikatakan demikian kerana saham boleh mengalami kejatuhan harga yang mendadak tanpa dijangka yang biasanya berlaku dalam masa satu hari. Sila lihat ayat contoh yang berikut:
2(a) … Darby turun 14 sen kepada RM1.94, MBf Capital “jatuh” 3.5 sen kepada 41.5 sen, ….
2(b) … PBB-foreign turun 12 sen kepada 81 sen, Multi-Purpose “jatuh” 14 sen kepada 40 sen ….
2(c) Pada penutupan, Indeks Komposit (IK) “jatuh” 9.11 mata atau 1.15 peratus kepada 782.63 walaupun ….
Selain itu, kata “jatuh” bermaksud terbenam (berkenaan matahari). Matahari jatuh atau matahari terbenam merupakan waktu ketika matahari berada di bawah garis ufuk di bahagian barat. Warna merah di langit pada waktu matahari terbenam dan matahari terbit terhasil disebabkan oleh kombinasi penyebaran Rayleigh warna biru dan tingkat kepadatan atmosfera bumi. Sila lihat ayat contoh yang berikut:
3(a) … dan menetap di penjuru rumah sebelah matahari “jatuh” nanti.
3(b) … lalu diperbuatkan rumah di luar pintu litung perempuan sebelah matahari “jatuh” itu.
Seterusnya, kata “jatuh” bermaksud tidak dapat dipertahankan (dirampas musuh). Penurunan prestasi satu-satu parti dalam pilihan raya dianggap sebagai kejatuhan parti tersebut. Ayat “Melaka yang jatuh ke tangan Portugis” juga menunjukkan maksud yang sama, iaitu dirampas oleh musuh. Data mendapati bahawa kata “jatuh” juga boleh diikuti oleh kata sendi nama “ke”. Sila lihat ayat contoh yang berikut:
4(a) … perancangan pembangunan ini, takdir menentukan bahawa Terengganu tetap “jatuh” ke tangan Pas.
4(b) … Malaysia akan memastikan asetnya tidak berpindah tangan, ataupun “jatuh” ke tangan pengganas.
4(c) … oleh Belanda pada tahun 1641, Naning sekali lagi “jatuh” ke tangan penjajah yang baharu itu.
Kata “jatuh” juga bermaksud menjadi (sakit). Satu daripada punca sakit ialah sel di dalam tubuh manusia mati lebih banyak dan lebih awal berbanding dengan pembentukan sel baharu secara semula jadi. Pada masa itu, pertahanan tubuh untuk melawan penyakit telah lemah. Untuk menyembuhkannya, banyak mikronutrien daripada makanan, terutamanya sumber tumbuhan dan herba, diperlukan. Sekiranya keadaan sakit ini berlarutan, pesakit tersebut perlu dibawa ke hospital. Sila lihat ayat contoh yang berikut:
5(a) “Warga Australia itu “jatuh” sakit apabila sampai di Pangkor, Isnin lalu dan …
5(b) Dia melawat negara ini sejak 27 April, lalu “jatuh” sakit pada 1 Mei dan dimasukkan ke Hospital …
5(c) Dia tak mahu ibunya pula nanti “jatuh” sakit.
Secara tuntasnya, keunikan akal budi Melayu dan pemikiran Melayu terserlah dengan perincian terhadap sesuatu kata yang berkolokasi dan mempunyai peluasan makna ini. Hal ini dapat digambarkan melalui padanan makna kata yang diambil daripada makna kamus dengan berdasarkan konteks penggunaan. Oleh itu, jelaslah bahawa bahasa Melayu terus berkembang dan tidak jumud.