Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangBukit Mertajam – Ceramah Umum Jawatankuasa Tetap Bahasa Melayu (JKTBM) mengenai “Peminjaman Kata Asing: Bahasa Melayu Perkasa, Jiwanya Sengsara” berlangsung dengan jayanya di Dewan Aminudin Baki, Institut Pendidikan Guru (IPG) Tuanku Bainun, Bukit Mertajam, Pulau Pinang, semalam.
Sebanyak 220 orang termasuk pelajar Pengajian Melayu dan Pengajian Islam di kampus tersebut mengikuti ceramah oleh mantan ahli JKTBM, iaitu YBrs. Dr. Zaharani Ahmad menerusi program yang dianjurkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) melalui Bahagian Peristilahan dan Leksikologi dengan kerjasama DBP Wilayah Utara dan Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Tuanku Bainun, Pulau Pinang.
YBrs. Dr. Zaharani Ahmad mempunyai kepakaran dan pengalaman luas dalam bidang fonologi dan morfologi bahasa Melayu, serta banyak memberikan sumbangan kebahasaan dan mempunyai iltizam yang tinggi untuk kemajuan bahasa Melayu.
Beliau yang juga mantan Timbalan Ketua Pengarah Dasar, DBP (2013-2016) berkata, kini ada agensi kerajaan yang tidak begitu mengambil berat tentang bahasa sendiri dalam penggunaannya termasuklah penggunaan perkataan Inggeris yang mudah digunakan sekarang ini seperti bajet, koreksional, homestay, viral, fail, central, bank dan lain-lain lagi. Katanya, perkara seumpama ini perlu diberi perhatian yang serius oleh semua pihak sekiranya bahasa Melayu mahu dimartabatkan sepenuhnya.
Menurut Pengarah IPG Tuanku Bainun, YBrs. Kolonel Bersekutu (PA), Mohd Saat Abas ketika berucap di majlis tersebut juga berkata, ceramah begini boleh memberikan ilmu tambahan kepada para pelajar IPG.
Sementara itu, Pengarah DBP Wilayah Utara, Encik Armin Azhari Saleh pula berkata, ceramah ini merupakan satu daripada usaha DBP untuk memperkenalkan dan menyebarluaskan maklumat tentang fungsi, peranan dan tanggungjawab JKTBM. Selain itu, ceramah ini juga bertujuan untuk menyemai rasa kecintaan dan keyakinan terhadap bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan tamadun tinggi dalam kalangan masyarakat.
Antara hasil kerja JKTBM termasuklah menyusun dan menerbitkan beberapa pedoman dan panduan bahasa, khususnya Pedoman Umum Ejaan Bahasa Melayu, Pedoman Umum Pembentukan Istilah Bahasa Melayu, Panduan Penyusunan Kamus Istilah, dan Pedoman Transliterasi Huruf Arab ke Huruf Rumi.