Oleh Shamsudin Othman
25 September 2023, 08:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Keterampilan komunikasi seharian manusia sangat bergantung kepada bahasa yang difahami ujarannya. Secara umumnya, manusia memerlukan satu bahasa yang saling melengkapi dalam usaha memberikan tindak balas terhadap sesuatu komunikasi santai yang difahami. Hal ini bermakna, bahasa komunikasi yang difahami itu tidak harus dipersoalkan tahap kegramatisannya, sama ada mudah atau sukar, begitu juga yang tersurat atau yang tersirat.

Konsep komunikasi berkesan adalah apabila sesuatu ujaran dan gerak bahasa tubuh itu dapat memberikan kesan balas dalam penyampaian pertuturan. Situasi ini tentunya menjadi keperluan asas untuk memenuhi matlamat komunikasi. Oleh itu, sebagai usaha mewujudkan kefahaman ketika berinteraksi yang melibatkan bangsa, situasi, latar, dan tahap pemikiran yang berbeza, manusia memerlukan satu bahasa yang dapat mewakili kefahaman interaksi tersebut.

Dalam usaha merangka strategi kefahaman itu, sarjana linguistik telah bersepakat bahawa perlunya satu bahasa yang dapat mewajarkan kefahaman komunikasi tersebut. Sehubungan dengan itu, konsep itu akhirnya dikenali sebagai “bahasa antara”. Hal ini merujuk komunikasi yang difahami dengan menggunakan bahasa gabungan antara bahasa ibunda dengan bahasa sasaran. Contohnya, bahasa ibunda, iaitu bahasa Melayu dengan bahasa sasaran, iaitu bahasa Inggeris atau bahasa kedua yang lain (dalam konteks masyarakat majmuk di Malaysia).

Secara umumnya, bahasa antara merupakan satu bidang penting dalam kajian pemerolehan bahasa. Hal ini khususnya dalam ilmu bahasa yang melihat cara manusia memperoleh pengetahuan tentang tatabahasa. Tatabahasa tersebut pula merangkumi bidang fonologi, morfologi, sintaksis dan semantik, serta rumus yang menentukan kemampuan bercakap dan memahami sesuatu bahasa yang didedahkan untuk kefahaman berkomunikasi.

Perlu disedari bahawa bahasa antara hanya diperlukan pada peringkat peralihan bahasa, iaitu komunikasi asas daripada bahasa pertama kepada bahasa kedua. Oleh itu, konsep bahasa antara itu hanya bersifat sementara, sentiasa berubah-ubah dan dibentuk oleh masyarakat semasa menuju ke arah penguasaan bahasa sasaran atau bahasa transisi.

Penggunaannya lahir daripada persekitaran pemerolehan bahasa dalam bentuk ujaran spontan dengan variabel sosiolinguistik utamanya terhasil daripada ketidakhadiran rakan sebaya yang merupakan penutur asli bahasa sasaran. Sekiranya pemerolehan tersebut tidak dikawal selia, sistem bahasa tersebut akan berkembang menjadi dialek dalam bentuknya yang tersendiri.

Bahasa antara bukanlah perkara baharu dalam bidang sosiolinguistik. Istilah ini telah diperkenalkan oleh Selinker pada tahun 1972 dengan pandangan bahawa setiap manusia perlu memiliki pengetahuan dalam bahasa asing bagi menzahirkan komunikasi berkesan. Selinker turut beranggapan bahawa individu yang dapat mempengaruhi individu lain ialah manusia yang dapat menyampaikan maklumat tambahan secara bersahaja dengan bahasa pertuturan selain daripada bahasa pertama.

Oleh itu, secara mudahnya, bahasa antara merupakan bahasa komunikasi antara dua individu yang bahasa pertamanya (bahasa ibunda) bukan daripada bahasa yang sama. Semestinya dalam perkara ini, contoh bahasa antara yang dekat dengan masyarakat Malaysia ialah bahasa Inggeris. Di negara ini, bahasa Inggeris yang dikategorikan sebagai bahasa pengantar kedua terpenting dapat difahami oleh semua bangsa yang ada di Malaysia.

Kini, bahasa Inggeris dianggap sebagai bahasa pengantara dalam konteks memahamkan konsep yang berkaitan dengan pelbagai bidang, sama ada politik, ekonomi, teknologi, kebudayaan atau keagamaan. Oleh hal yang demikian, bahasa Inggeris diakui dapat menjadi bahasa antara pada masa ini oleh masyarakat antarabangsa.

Para sarjana sosiolinguistik berpandangan bahawa manusia memerlukan satu bahasa yang dapat menjadi pengantara bagi mewajarkan sesuatu komunikasi itu berlaku secara sihat atau bermakna demi keberkesanan komunikasi.

Bahasa antara juga sering dikaitkan dengan penguasaan bahasa kedua dalam konteks perhubungan antara manusia dari negara yang berlainan bahasa ibundanya. Bagi negara maju, bahasa Inggeris, bahasa Perancis dan bahasa Sepanyol merupakan bahasa yang dapat menyatukan Eropah. Di Timur Tengah, bahasa Arab menjadi bahasa antara yang dapat menyatukan negara Arab, seperti Arab Saudi, Mesir, Qatar, Kuwait, dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Di benua Nusantara, bahasa Melayu merupakan bahasa antara dalam konteks bahasa pertuturan yang disepakati dan difahami oleh negara Malaysia, Indonesia, Singapura, Brunei, selatan Thailand dan Filipina. Situasi ini membuktikan keperluan bahasa antara kerana dapat menjadi alat kefahaman komunikasi ketika seseorang itu berada di wilayah atau sempadan negara yang berbeza.

Perkembangan penggunaan bahasa antara pada masa ini menjadi sangat tidak terkawal disebabkan oleh sosialisasi yang didominasi oleh tuntutan budaya, politik, ekonomi dan status kehidupan dalam masyarakat seharian. Situasi ini kian kritikal apabila dunia mula bergantung pada teknologi maklumat sebagai perantara rentas sempadan. Kuasa internet dan media sosial yang dikuasai oleh bahasa kedua (bahasa Inggeris) menyebabkan perlakuan dan penggunaan bahasa antara sukar dikawal, malah seakan-akan diterima oleh banyak pihak.

Kini, penggunaan bahasa antara dilihat menjadi suatu model bahasa baharu yang memiliki ciri bahasa khusus yang disepakati oleh pengguna sasaran. Bahasa itu diberikan ciri khas dengan sifat tersendiri yang berbeza daripada konsep bahasa pertama dan bahasa kedua.

Menurut tokoh bahasa, bahasa antara sukar dibendung perkembangannya disebabkan oleh tanggapan masyarakat bahawa penggunaan bahasa antara bukan satu kesalahan tatabahasa, khususnya dalam konteks komunikasi. Pandangan ini benar jika diukur berdasarkan konteks komunikasi.

Namun begitu, penggunaan bahasa antara yang tidak terkawal akan menyebabkan berleluasanya penggunaan bahasa rojak. Hal ini menjadi kebimbangan yang perlu diberi perhatian. Kebimbangan yang lebih meruncing ialah pengguna bahasa dilihat seperti menghalalkan kegramatisan bahasa. Penghalalan ini dikhuatiri akan membuka ruang untuk terhasilnya ujaran yang tidak mempunyai jati diri dengan gangguan bahasa penutur asli ketika ingin mengekspresikan makna yang sama.

Kesimpulannya, kajian terhadap bahasa antara ini bersifat diakronik dalam sebuah pengertian yang sedikit berbeza daripada yang dibincangkan oleh sarjana sosiolinguistik. Kehadiran bahasa antara yang kian popular dan menular secara arbitrari memperlihatkan proses evolusi bahasa yang terkait dengan sejarah atau tamadun bangsa. Bahasa antara pada masa ini sangat dipengaruhi oleh zaman dan keperluan masyarakat, khususnya perubahan semasa dalam dunia komunikasi generasi baharu yang lebih mencabar.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.