Oleh Kho Thong Eng
25 September 2023, 09:36

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kata nama ialah kata yang dapat menjadi unsur inti dalam frasa nama yang bersifat endosentrik. Dari segi semantik, setiap kata nama sedia mendukung maknanya yang tersendiri. Dari segi sintaksis pula, fungsi kata nama bergantung pada kedudukannya dan hubungannya dengan kata lain dalam ayat. Sila lihat contoh yang berikut:

1a.  Dia guru.

1b.  Ali belajar.

1c.  Aminah pandai.

1d.  Hafiz ke kampung.

Dalam kelompok ayat 1, kata nama dia, Ali, Aminah dan Hafiz menjadi subjek ayat, iaitu perkara yang dihuraikan oleh predikat. Selain itu, dalam ayat 1a, kata guru merupakan predikat, iaitu kata nama yang menjelaskan identiti dia.

 

2a.  Ahmad menanam sayur.

2b.  *Ahmad menanam.

2c.  Sayur ditanam (oleh) Ahmad.

Dalam ayat 2a, kata nama Ahmad merupakan subjek asal ayat, manakala kata nama sayur menjadi objek tepat kepada kata kerja aktif transitif menanam. Tanpa objek sayur, ayat 2b menjadi ayat tergantung. Dalam ayat 2c, kata nama sayur yang merupakan objek tepat dalam ayat 2a menjadi subjek terbitan dalam ayat pasif.

 

3a.  Dia menghadiahi adiknya buku.

3b.  *Dia menghadiahi.

3c.  *Dia menghadiahi adiknya.

3d.  *Dia menghadiahi buku.

 

4a.  Dia memasakkan ibunya gulai.

4b.  *Dia memasakkan.

4c.  *Dia memasakkan ibunya.

4d   *Dia memasakkan gulai.

Dalam ayat 3a, kata nama adiknya ialah objek tak langsung dan kata nama buku ialah objek langsung kepada kata kerja dwitransitif menghadiahi. Tanpa kata nama adiknya dan buku, ayat 3b, 3c dan 3d menjadi ayat tergantung. Dalam ayat 4a, kata nama ibunya ialah objek tak langsung dan kata nama gulai ialah objek langsung kepada kata kerja dwitransitif memasakkan. Tanpa kata nama ibunya dan gulai, ayat 4b, 4c dan 4d menjadi ayat tergantung.

 

5a.  Dia menjadi askar.

5b.  *Dia menjadi.

 

6a.  Dia berpayungkan kertas.

6b.  *Dia berpayungkan.

 

7a.  Dia ada ilmu.

7b.  Dia ada.

Dalam ayat 5a, kata nama askar ialah pelengkap kepada kata kerja tak transitif menjadi.  Dalam ayat 6a, kata nama kertas ialah pelengkap kepada kata kerja tak transitif berpayungkan. Dalam ayat 7a pula, kata nama ilmu ialah pelengkap kepada kata kerja tak transitif ada. Tanpa kata nama askar dan kertas, ayat 5b dan 6b menjadi ayat tergantung. Bagi ayat 7b pula, tanpa kata nama ilmu, maksud kata ada berubah.

 

8a.  Baju sekolah itu lusuh.

8b.  Baju itu lusuh.

Dalam ayat 8a, kata sekolah ialah penerang kepada inti frasa nama baju. Tanpa kata sekolah yang memberikan maklumat tambahan secara opsyenal tentang baju, ayat 8b tetap gramatis.

 

9a.  Ali berseluar jean.

9b.  Ali berseluar.

 

10a.  Fatimah berkasut sukan.

10b.  Fatimah berkasut.

Dalam ayat 9a, kata nama jean ialah penerang kepada kata dasar seluar dalam kata kerja tak transitif berseluar, iaitu kata nama jean menerangkan jenis seluar yang dipakai oleh Ali. Dalam ayat 10a, kata nama sukan ialah penerang kepada kata dasar kasut dalam kata kerja tak transitif berkasut. Dalam hal ini, ayat 9b dan 10b tetap gramatis tanpa kata penerang kata dasar jean dan sukan.

 

11a.  Dia belajar muzik.

11b.  Dia belajar.

 

12a.  Hashim bermain bola.

12b.  Hashim bermain.

Dalam ayat 11a, kata nama muzik ialah kata keterangan bagi kata kerja tak transitif belajar. Dalam ayat 12a, kata nama bola ialah kata keterangan bagi kata kerja tak transitif bermain. Kata muzik dan bola hanya memberikan maklumat tambahan yang opsyenal dalam ayat 11a dan 12a. Oleh itu, ayat 11b dan 12b tetap gramatis tanpa kata penerang kata dasar muzik dan bola.

 

13a.  Dia di kampung.

13b.  Dia di asrama.

Dalam ayat 13a, kata kampung ialah kata pelengkap dalam frasa sendi nama di kampung yang menjadi predikat ayat. Dalam ayat 13b, kata asrama ialah kata pelengkap dalam frasa sendi nama di kampung yang menjadi predikat ayat.

 

14a.  Dia tinggal di bandar.

14b.  *Dia tinggal.

Dalam ayat 14a, kata nama bandar ialah kata pelengkap dalam frasa sendi nama di bandar yang menjadi pelengkap kepada kata kerja tak transitif tinggal. Tanpa frasa sendi nama di bandar, ayat 14b menjadi ayat tergantung.

 

15a.  Dia bersilat di gelanggang.

15b.  Dia bersilat.

Dalam ayat 15a, kata nama gelanggang ialah kata pelengkap bagi frasa sendi nama di gelanggang yang menjadi frasa keterangan kepada kata kerja tak transitif bermain. Tanpa frasa sendi nama di gelanggang, ayat 15b tetap lengkap.

 

16a.  Dia bertugas esok.

16b.  Dia bertugas.

Dalam ayat 16a, kata nama esok ialah kata adverba yang menghuraikan kata kerja tak transitif bertugas. Tanpa adverba tersebut, ayat 16b tetap lengkap.

 

17a.  Buku ini milik Abu.

17b.  Pen itu kepunyaan Hussein.

Dalam ayat 17a, kata nama ini (kata ganti nama tunjuk umum) menjadi penerang kepada inti frasa nama buku dan penentu belakang bagi frasa nama buku ini. Dalam ayat 17b, kata nama itu (kata ganti nama tunjuk umum) menjadi penerang kepada inti frasa nama pen dan penentu belakang bagi frasa nama pen itu.

 

18a.  Tiga buah rumah itu dijilat api.

18b.  Dia membeli dua kaki payung.

Dalam kelompok ayat 18, kata penjodoh bilangan buah dalam ayat 18a dan kata penjodoh bilangan kaki dalam ayat 18b merupakan kata nama.

 

19a.  *Rizal ialah rakyat.

19b.  Rizal ialah rakyat Filipina.

Satu hal yang menarik ialah kata nama penerang bagi frasa nama ada kalanya tidak wajar kita gugurkan. Bagi ayat 19a, pengguguran kata nama penerang seperti Filipina menjadikan ayat itu berbunyi janggal dan tidak lengkap dari segi maksudnya.

 

Ada kata yang dapat berfungsi sebagai kata nama dan kata kerja sekali gus, bergantung pada konteks penggunaannya. Sila lihat contoh yang berikut:

20a.  Siapakah lawan awak?

20b.  Lawan ulam ialah sambal.

20c.  Orang itu akan saya lawan.

Dalam ayat 20a dan 20b di atas, kata lawan ialah kata nama, manakala dalam ayat 20c, kata lawan ialah kata kerja.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.