Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKuala Ketil – Syarahan yang bertajuk “Ishikawa dalam Konteks Bahasa Jiwa Bangsa” dijadikan program utama yang mengisi Majlis Perasmian Festival Bahasa Jiwa Bangsa bersempena dengan Dekad Bahasa Kebangsaan (DBK) dan Dekad Membaca Kebangsaan (DMK) Peringkat Negeri Kedah bagi tahun 2023.
Munsyi Bahasa, Encik Mohd Salleh Haji Hassan, selaku penyampai Syarahan Bahasa Jiwa Bangsa menjelaskan tentang maksud bahasa, jiwa dan bangsa. Dalam menghubungkaitkan maksud tiga perkataan yang menjadi slogan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dalam memartabatkan bahasa kebangsaan, Encik Mohd Salleh membangkitkan isu “Bahasa Jiwa Bangsa Sekadar Slogan?” yang dilihatnya masih menjadi dilema dan suatu persoalan yang harus difikirkan oleh semua pihak yang benar-benar mahu menjadikan slogan “Bahasa Jiwa Bangsa“ meresap dalam jiwa setiap masyarakat seperti yang dihasratkan melalui Festival Bahasa Jiwa Bangsa.
Seharusnya slogan “Bahasa Jiwa Bangsa” mampu menjadikan kita berasa kagum dengan bahasa sendiri, yakni bahasa Melayu yang menjadi bahasa kebangsaan. Kita juga seharusnya memahami maksud Bahasa Jiwa Bangsa, yakni memiliki cinta terhadap bahasa Melayu, serta dalam hati ada rasa kagum dan bangga terhadap bahasa Melayu, dan seharusnya rasa itu semakin hari semakin meningkat.
Beliau turut memaparkan model tulang ikan Ishikawa sebagai suatu jalan untuk menyelesaikan isu “Bahasa Jiwa Bangsa sekadar Slogan?”. Menurut beliau, Dr. Ishikawa telah menggunakan Model Ishikawa sebagai alat untuk menyelesaikan masalah kerana reka cipta model tulang ikan Ishikawa telah menetapkan enam faktor yang menyebabkan timbulnya sesuatu isu. Hal ini demikian kerana apa-apa isu tidak akan lari daripada enam faktor yang menjadi puncanya.
Tambah beliau, enam faktor tersebut ialah manusia, kaedah, persekitaran, perkakasan, material, dan bencana alam. Beliau juga mengemukakan cadangan penyelesaikan bagi mengatasi isu Bahasa Jiwa Bangsa yang hanya dilihat sebagai sekadar slogan yang diulang sebut saban tahun setiap kali berlangsungnya program seumpama Festival Bahasa Jiwa Bangsa.
Beliau turut menyatakan bahawa apa-apa pun cadangan penyelesaiannya, isu tersebut masih tetap berlegar dalam kalangan masyarakat. Hal ini disebabkan sikap masyarakat yang merasakan bahasa kebangsaan tidak begitu penting dalam kehidupan mereka.
Program kebahasaan yang diadakan saban tahun harus dilihat impaknya dalam usaha menyerapkan slogan Bahasa Jiwa Bangsa ke dalam diri setiap masyarakat yang mengaku dirinya warga Malaysia.
Pada kali ini, Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (UniSHAMS) telah dipilih sebagai lokasi strategik dalam menjayakan beberapa program yang berlangsung selama dua hari bagi memeriahkan sambutan acara Festival Bahasa Jiwa Bangsa melalui program DBK dan DMK. Majlis perasmian pula berlangsung pada 25 September 2023 bertempat di Perpustakaan UniSHAMS.
Sementara itu, Festival Bahasa Jiwa Bangsa bersempena dengan DBK dan DMK Peringkat Negeri Kedah ini telah dirasmikan oleh Naib Canselor UniSHAMS, Prof. Dato‘ Dr. Asmadi Mohamed Naim. Dalam ucapannya, beliau amat berbesar hati kerana UniSHAMS terpilih sebagai tuan rumah untuk melaksanakan aktiviti yang mengisi Festival Bahasa Jiwa Bangsa.
Saya berkeyakinan dengan adanya Festival Bahasa Jiwa Bangsa ini akan meningkatkan kesedaran generasi pada hari ini tentang kepentingan bahasa Melayu. Begitu juga dengan kepentingan budaya membaca dalam kalangan masyarakat selaras dengan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan dan Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67. Oleh itu, program yang dianjurkan ini sekali gus dapat memberikan pendedahan kepada masyarakat, khususnya pelajar UniSHAMS.
Tambah beliau, “Institusi pengajian tinggi juga apabila mengemukakan permohonan semasa menawarkan program akademik, satu daripada syaratnya menyatakan bahasa yang akan digunakan dalam pengajaran program akademik, dan bahasa yang ditetapkan perlu ada dalam permohonan ialah bahasa Melayu.”
Pada majlis yang sama, Tuan Haji Md Johari Hasan (Timbalan Ketua Pengarah (Dasar), DBP), yang mewakili Ketua Pengarah DBP, iaitu Dr. Haji Hazami Jahari dalam ucapannya menyatakan,
Bertepatan dengan mandat yang telah diberi kepada DBP, pelaksanaan Festival Bahasa Jiwa Bangsa bersempena dengan sambutan DBK dan DMK 2023 Peringkat Negeri Kedah yang berlangsung pada hari ini merupakan usaha kita bersama-sama untuk memupuk rasa cinta akan ilmu dan menyemai budaya membaca dalam kalangan masyarakat yang bermula dari peringkat kanak-kanak sehinggalah kepada golongan dewasa.
Tambah beliau, “Usaha ini diyakini dapat membentuk sikap positif semua golongan terhadap keupayaan bahasa kebangsaan untuk mengungkapkan ilmu pengetahuan dalam pelbagai bidang dengan mutu bahasa yang baik setanding dengan bahasa utama dunia. Sesungguhnya DBP tidak akan sekali-kali berganjak daripada amanah yang telah diberi oleh kerajaan”.
Bersempena dengan majlis perasmian ini juga diadakan Majlis Pelancaran Buku Penulis Utara. Sebanyak dua judul buku terbitan DBP dilancarkan, iaitu Antologi Cerpen Tabung ke Neraka yang memuatkan karya penulis ASASI dan Siri Kisah di Belukar Luas (empat siri), karya Dr. Husairi Husin.
Yang turut hadir dalam majlis perasmian ini ialah Prof. Dato’ Dr. Abd. Aziz Tajuddin (Naib Canselor Albukhary International University), Encik Armin Azhari (Pengarah DBP Wilayah Utara), Puan Nurul Julia Alani Henry (Pengarah DBP Wilayah Tengah), Encik Mohd. Azam Juhar (Ketua Editor Bahagian Buku Sastera), Puan Noriyani Yusof (Ketua Editor Bahagian Buku Kanak-kanak dan Remaja), Encik Muhammad Lukman Harun (Timbalan Ketua Pustakawan UniSHAMS), dan Encik Mohamad Puzi Abdul Hadi (Presiden Pertubuhan Sanggar Warisan Budaya Melayu Kedah) .
Pelbagai acara yang bertemakan bahasa dan sastera turut dilaksanakan, seperti Syarahan Bahasa Jiwa Bangsa, Pertandingan Dendangan Syair Kategori Pelajar Institut Pendidikan Tingga Awam dan Swasta, Pertandingan Resensi Buku, Pertandingan Baca Naskhah Jawi Klasik, dan Pertandingan Mewarna Peringkat Kanak-kanak Prasekolah. Semua aktiviti tersebut secara tidak langsung dapat memberikan peluang kepada peserta untuk menonjolkan bakat terpendam.