Oleh Abd Razak Osman
26 September 2023, 17:10

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Baling Sebanyak tiga acara pertandingan berlangsung di Festival Bahasa Jiwa Bangsa bersempena dengan Dekad Bahasa Kebangsaan (DBK) dan Dekad Membaca Kebangsaan (DMK) 2023 Peringkat Negeri Kedah di Perpustakaan Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (UniSHAMS), Kuala Ketil, Kedah semalam.

Pertandingan Baca Naskhah Jawi Klasik Kategori Pelajar Sekolah Menengah dimenangi oleh Nur Dini Ishak dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjung Puteri, Kuala Ketil, Kedah. Beliau menerima hadiah wang tunai sebanyak RM500.00 dengan keputusan keseluruhanya, 84 markah.

Tempat kedua pula dimenangi oleh Amalina Zuhairah Azmi, juga dari SMK Tanjung Puteri, Kuala Ketil, Kedah dan menerima hadiah wang tunai sebanyak RM300.00 dengan 81 markah dan tempat ketiga pula dimenangi oleh Aina Mazira Majid dari SMK Kuala Ketil, Kedah yang menerima wang tunai sebanyak RM200.00 dengan markah sebanyak 78.

Bagi Pertandingan Resensi Buku Kategori Terbuka pula dimenangi oleh Nur Mahirah Maligah yang menerima hadiah wang tunai sebanyak RM400.00 melalui buku Menikam Kalbu. Tempat kedua dimenangi oleh Masturina Azizi yang menerima hadiah wang tunai sebanyak RM300.00 melalui buku Puteri Penaluk dan tempat ketiga pula dimenangi oleh Zul Ahmad Adam Zulkipli dengan menerima hadiah wang tunai sebanyak RM200.00 melalui buku Sayap Sutera. Ketiga-tiga mereka terdiri daripada guru pelatih di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Sultan Abdul Halim Sungai Petani, Kedah.

Sementara itu, Pertandingan Dendangan Syair antara Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) Negeri Kedah pula dimenangi oleh Siti Norashikin Mat Rahim dari IPG Kampus Darul Aman, Jitra, Kedah dengan menerima hadiah wang tunai sebanyak RM500.00 setelah menyampaikan syair berjudul “Bidasari Irama Tok Kenali”.

Tempat kedua pula dimenangi oleh Wan Muhd Hakeem Nor Hashim dari IPG Sultan Abdul Halim, Sungai Petani, Kedah menerima hadiah wang tunai sebanyak RM400.00 setelah menyampaikan syair berjudul “Nasihat” dan tempat ketiga pula dimenangi oleh Siti Nur Khairani Noor Hisham dari IPG Kampus Darul Aman, Jitra, Kedah dengan menerima hadiah wang tunai sebanyak RM300.00 setelah menyampaikan syair yang berjudul “Kemangkatan Sultan Sulaiman”.

Pertandingan tersebut merupakan anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Wilayah Utara dan UniSHAMS.

Sementara itu, Munsyi Bahasa DBP, iaitu Encik Mohd Salleh Hassan, yang juga Ketua Jemaah Nazir Negeri Perlis turut menyampaikan satu syarahan yang bertajuk “Ishikawa dalam Konteks Bahasa Jiwa Bangsa” di festival itu.

Perasmian turut disempurnakan oleh Naib Canselor UniSHAMS, YBhg. Prof Dato’ Dr Asmadi Mohamed dan turut hadir sama ialah Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) DBP, Tuan Haji Md. Johari Hasan dan Pengarah DBP Wilayah Utara, Encik Armin Azhari Saleh.

Nur Dini Ishak (tengah), Amalina Zuhairah Azmi (kanan) dan Aina Mazira Majid bergambar kenangan setelah menerima hadiah masing-masing Pertandingan Baca Naskhah Jawi Klasik.
Nur Mahirah Maligah (tengah), Masturina Azizi (kiri) dan Zul Ahmad Adam Zulkipli turut menerima hadiah Pertandingan Resensi Buku Kategori Terbuka di Perpustakaan UniSHAMS, Baling.
Siti Norashikin Mat Rahim (tengah), Wan Muhd Hakeem Nor Hashim dan Siti Nur Khairani Noor Hisham bergambar kenangan Pertandingan Dendangan Syair antara IPTA dan IPTS.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.