2 Oktober 2023, 08:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Bahasa kebangsaan bukan sekadar berperanan sebagai medium komunikasi semata-mata bahkan sebagai pintu gerbang untuk mengenali bangsa dan budaya masyarakat di sesebuah negara. Lagu Bahasa Jiwa Bangsa merupakan satu daripada seruan penyatuan masyarakat majmuk di Malaysia agar sentiasa menghargai dan melestarikan bahasa kebangsaan walaupun sering kali kedekatannya dikaitkan dengan sambutan bulan kebangsaan.

Namun begitu, obor yang sudah dinyalakan jangan dibiarkan apinya terpadam begitu sahaja. Kita perlu gagah berani untuk mengorak langkah dinamik agar bahasa kebangsaan Malaysia MADANI terus segar dan mekar dalam arus perdana.

Dalam usaha memperkasakan bahasa Melayu kepada generasi muda dan sekali gus mengantarabangsakannya, kemahiran menguasai bahasa kebangsaan adalah aset yang penting. Dalam hal ini, audio siar (podcast) yang bermaksud siri episod yang mengandungi fail audio digital ataupun video yang boleh dimuat turun ke dalam komputer atau telefon pintar atau lebih dikenali dengan podcast.

Perkataan podcast berasal daripada gabungan kata “ipod dan broadcast. (https://jendeladbp.my/peka-bahasa/audio-siar/). Audio siar telah menjadi alat pembelajaran yang kreatif dan berkesan untuk mempelajari dan menguasai bahasa kebangsaan sementelah masyarakat global yang semakin berintegrasi dengan kemajuan teknologi.

Audio siar bersifat sentiasa mendapat permintaan tinggi daripada pengguna. Oleh yang demikian, medium ini perlu dimanfaatkan sebaik-baiknya untuk mempromosikan pemahaman bahasa kebangsaan Malaysia kepada penutur asing. Para pengajar atau pencipta kandungan perlu memastikan kualiti audio dan menyediakan kandungan penuh maklumat kepada pendengar.

Audio siar sebagai jendela interaktif dapat diakses secara fleksibel menerusi pelayar web seperti Chrome, Safari, atau Microsoft Edge dapat dijadikan sebagai sumber rujukan global tanpa sempadan dan dapat dicapai secara percuma.

Seterusnya, menerusi audio siar, para pengajar ataupun pencipta kandungan dapat menyampaikan bahan pembelajaran dalam bahasa Melayu, sama ada dalam bentuk audio ataupun video secara aktif. Penyampaian tersebut boleh dilakukan secara formal ataupun santai dengan menjenamakan audio siar dengan nama yang lebih ringkas dan menarik. Misalnya “Sembang Bahasa Melayu”, “Risik-risik Bahasa Melayu”, “30 Hari Mahir Berbahasa Melayu” atau yang seumpamanya. Dengan cara ini, masyarakat luar mudah tertarik dan berminat mempelajari bahasa kebangsaan dengan pelbagai tujuan.

Pengisian kandungan dalam audio siar ini memainkan peranan yang penting agar dapat membimbing penutur asing menggunakan bahasa Melayu yang basis. Antara kandungan utamanya termasuklah mengenai pembelajaran kosa kata yang merangkumi penggunaan kata umum, frasa dan ungkapan yang digunakan seharian selain tatabahasa Melayu yang dapat dipelajari secara sistematik serta memperturunkan contoh penggunaannya dalam konteks yang berbeza agar dapat difahami oleh penutur asing.

Bagi memantapkan penggunaan bahasa Melayu, boleh diterbitkan satu bahagian latihan atau ulang kaji seperti aplikasi duolingo, iaitu aplikasi popular di dunia untuk belajar bahasa dengan memperdengarkan dialog bahasa Melayu yang menggambarkan situasi tertentu dan kemudiannya menerbitkan soalan untuk menguji kefahaman penutur. Latihan ini dapat membantu memperluas kosa kata,  memahami naratif dan nuansa yang terkandung dalam bahasa Melayu.

Skop latihan komunikasi yang sesuai dalam audio siar juga perlu disediakan untuk merangsang pemikiran dan mengetengahkan ekspresi diri dalam bahasa Melayu. Setiap siri episod dalam skop ini membawa topik yang bertema seperti makanan, pelancongan, budaya dan sejarah Malaysia bagi memberikan peluang kepada penutur asing mendengar dan berlatih dalam situasi komunikasi sebenar.

Pada masa yang sama, pendengar turut diajak untuk mengemukakan pendapat dan terlibat dengan simulasi perbualan yang dicipta secara langsung. Langkah ini bertujuan agar mereka dapat mengaitkan situasi yang berlaku dalam kehidupan seharian sehingga mempraktikkannya secara konteksual dan nyata.

Selain itu, dengan adanya ruangan aktiviti audio siar akan dapat menggalakkan penutur asing mencipta kandungan audio siarnya sendiri dalam bahasa Melayu. Mereka akan merekodkan pengalaman mempelajari bahasa Melayu ataupun topik-topik yang diminati. Hal ini akan memberikan peluang kepada penutur asing berlatih berbicara dan meningkatkan kepercayaan dan keyakinan diri menggunakan bahasa tersebut.

Perkongsian panduan dan strategi efektif juga membolehkan penutur asing mengetahui kaedah mempercepatkan penguasaan bahasa Melayu, di samping adanya ruangan seperti “Tanya Jawab” yang akan dapat memberikan kesempatan kepada penutur asing mengatasi kesukaran dalam mempelajari bahasa Melayu.

Tidak dinafikan, audio siar yang dibangunkan dalam usaha mengantarabangsakan bahasa Melayu tidak lari daripada menerima pelbagai cabaran. Cabaran yang paling nyata ialah penutur asing mempelajari bahasa Melayu sebagai bahasa kedua atau ketiga. Oleh itu, penutur asing memerlukan bantuan terjemahan ke dalam bahasa mereka sendiri untuk memahami kandungan audio siar.

Sebagai solusinya, dicadangkan agar pencipta kandungan menyediakan transkrip pada setiap episod atau sesuatu topik agar dapat memberikan gambaran umum tentang perkara yang dibahaskan dan memberikan pilihan sama ada kandungan tersebut relevan dengan keperluan mereka.

Dalam hal ini juga, inisiatif mengundang penutur asing yang fasih untuk berkolaborasi semasa siaran langsung audio siar juga dapat membantu menterjemahkan topik yang disediakan. Keadaan ini sudah tentu memberikan perspektif berbeza dan membantu penutur asing lain memahami kandungan tersebut dengan lebih baik.

Selanjutnya, perbezaan fonetik bahasa Melayu yang menyukarkan pemahaman dapat diatasi dengan penekanan dan intonasi yang betul. Selain itu, melampirkan pautan YouTube yang berkaitan atau audio rakaman yang relevan dapat membantu penutur asing melontarkan ucapan dengan lebih tepat. Para pengajar juga boleh melambatkan kecepatan semasa berbicara agar dapat diikuti sebutannya oleh penutur asing.

Cabaran lain yang dihadapi ialah penggunaan dialek atau bahasa slanga yang berleluasa di Malaysia membuatkan penutur asing terkeliru untuk menggunakannya di tempat yang betul dan sepatutnya. Justeru itu, cara untuk mengatasinya adalah dengan menggunakan bahasa baku dan memberikan tempoh masa kepada penutur asing agar terbiasa dengan variasi bahasa kebangsaan. Selain itu, penggunaan kosa kata yang terlalu teknikal perlu dielakkan dan sentiasa menjelaskan istilah yang baharu buat mereka.

Audio siar sebagai inisiatif kreatif dalam mengantarabangsakan bahasa Melayu merupakan langkah yang bijak dan perlu diraikan. Kita perlu mengambil peluang atas kemudahan teknologi untuk menyebarluaskan penggunaan bahasa kebangsaan ke seantero dunia.

Suatu perkara yang merugikan apabila kita menggunakan alasan seperti hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih untuk menafikan pelaksanaan audio siar yang memberikan kemaslahatan kepada orang ramai dan sekali gus memartabatkan bahasa kebangsaan. Medium teknologi ini perlu diluaskan siarannya apatah lagi mudah diakses pada bila-bila masa sahaja dan lokasi yang tidak terbatas.

Kesungguhan para pengajar dan pencipta kandungan juga perlu dihargai dengan menyokong dan membantu melakukan promosi yang aktif menerusi media sosial, bersinergi dengan institusi pendidikan dan pusat bahasa ataupun menerusi program bahasa dan sastera kebangsaan.

Hal ini akan dapat meningkatkan penggunaan audio siar sebagai medium pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu yang efektif sekali gus memberikan motivasi kepada masyarakat di Malaysia agar sentiasa berkreatif menjulang bahasa kebangsaan bersama-sama kemudahan audio siar.

 

Profesor Madya Dr. Salmah Jan Noor Muhammad − Pensyarah Kanan, Jabatan Bahasa Melayu, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia, yang juga Ahli Lembaga Amanah Yayasan Karyawan.

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.