Oleh Kho Thong Eng
2 Oktober 2023, 12:25

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Ayat majmuk terbina apabila dua klausa atau lebih dicantum. Dalam hal ini, biasanya kata hubung perlu kita gunakan. Walau bagaimanapun, ada kalanya kehadiran kata hubung tidak bersifat wajib. Sila lihat contoh yang berikut:

1a.  Dia menyanyi manakala adiknya menari.

1b.  Dia menyanyi dan adiknya menari.

1c.  Dia menyanyi, adiknya menari.

 

2a.  Dia menyedari bahawa dirinya cuai.

2b.  Dia menyedari dirinya cuai.

 

Dalam kelompok ayat 1, kata hubung gabungan manakala dalam ayat 1a dan kata hubung gabungan dan dalam ayat 1b boleh kita hilangkan secara pilihan (lihat ayat 1c) kalau kata hubung gabungan tersebut tidak diberi penekanan. Hal sedemikian tidak mengubah struktur dalaman atau maksud ayat. Dalam kelompok ayat 2, kata hubung pancangan komplemen bahawa boleh kita gugurkan secara pilihan kerana maksud dan struktur permukaan ayat tersebut tetap jelas tanpa kata hubung tersebut.

Walau bagaimanapun, ada kalanya struktur permukaan ayat majmuk tidak ditambah kata hubung atas sebab tertentu. Sila lihat contoh yang berikut:

3a.  Dia menyuruh anaknya untuk mengemas ruang tamu.

3b.  Dia menyuruh anaknya.

3c.  Dia mengemas ruang tamu.

3d.  Dia menyuruh anaknya supaya anaknya mengemas ruang tamu.

 

Jika kita menganalisis ayat 3a, kehadiran kata hubung keterangan tujuan untuk dan pengguguran subjek pada klausa keterangan tujuan untuk mengemas ruang tamu didasari andaian bahawa orang yang menyuruh anaknya melakukan sesuatu (lihat ayat 3b) sama dengan orang yang mengemas ruang tamu (lita ayat 3c) ialah orang yang sama, sedangkan maksud ayat yang sepatutnya bukan begitu. Selain itu, ayat 3d lebih lengkap tetapi terlalu panjang (too wordy). Oleh itu, ayat 3d bukan pilihan sejadi bagi penutur jati bahasa Melayu. Sila bandingkan ayat 3a dan 3d dengan ayat 4a di bawah:

4a.  Dia menyuruh anaknya mengemas ruang tamu.

4b.  Dia menyuruh anaknya (melakukan sesuatu).

4c.  Anaknya mengemas ruang tamu.

 

Dalam ayat 4a, kata kerja menyuruh dan kata kerja mengemas mempunyai hubungan makna yang rapat dan tidak boleh kita pisahkan. Hal ini berlaku kerana kata kerja menyuruh sahaja tidak dapat menghasilkan ayat yang lengkap maksudnya. Selain itu, orang yang menyuruh sesuatu kerja dibuat (lihat ayat 4b) berbeza daripada orang yang melakukan kerja tersebut (lihat ayat 4c), iaitu si ayah mengeluarkan arahan dan si anak yang menuruti arahan tersebut.

Sebenarnya, struktur ayat seperti ayat 4a merupakan kejadian yang kerap berlaku dan digemari berbanding dengan ayat 3a dan 3d. Sila lihat contoh ayat yang menggambarkan kejadian yang hampir serupa.

5a.  Dia meminta anaknya mengelap tingkap.

5b.  Dia memastikan anaknya belajar dengan tekunnya.

5c.  Dia menggalakkan anaknya bekerja keras.

5d.  Dia mengarahkan pekerjanya menyiapkan produk.

5e.  Dia membenarkan anaknya keluar dari rumah.

5f.   Dia menunggu anaknya pulang.

5g.  Dia mengajar anaknya melipat kain.

5h.  Dia membimbing anaknya mengenal huruf.

5i.   Dia menasihati anaknya berdisiplin.

5j.   Dia mewajibkan pekerjanya menepati masa.

5k.  Dia melatih muridnya berlari pecut.

 

Ada kalanya bukan sahaja subjek ayat berbeza, tetapi bilangan pelaku juga berubah. Sila lihat contoh yang berikut:

6a.  Dia membantu ibunya untuk membuat kuih.

6b.  Dia membantu ibunya.

6c.  Dia membuat kuih.

 

7a.  Dia membantu ibunya membuat kuih.

7b.  Dia membantu ibunya.

7c.  Dia dan ibunya (bersama-sama) membuat kuih.

 

  1.  Dia membantu ibunya dan mereka membuat kuih bersama-sama.

 

Dalam ayat 6a, kehadiran kata hubung gabungan tujuan untuk dan pengguguran subjek pada klausa keterangan tujuan untuk membuat kuih didasari andaian bahawa orang yang membantu ibunya (lihat ayat 6b) sama dengan orang yang membuat kuih (lihat ayat 6c) ialah orang yang sama, sedangkan yang membantu ibunya ialah dia dan yang membuat kuih ialah dia bersama-sama ibunya (lihat kelompok ayat 7). Oleh itu, bilangan orang yang terlibat dalam klausa utama (seorang) berbeza daripada bilangan orang yang terlibat dalam klausa subordinatnya (dua orang). Dalam hal ini, ayat 8 lebih lengkap tetapi ada sedikit kekaburan makna dan ayat tersebut terlalu panjang dan tidak ekonomis.

Sila lihat contoh ayat yang hampir serupa, seperti yang berikut:

9a.  Dia mengikut ibunya ke pasar.

9b.  Dia menyertai anaknya bercuti.

9c.  Dia menemani anaknya ke luar negara.

9d.  Dia mengajak kawannya ke kantin.

 

Ada kalanya kehadiran kata hubung mengubah maksud ayat. Sila lihat contoh yang berikut.

10a.  Dia melarang anaknya untuk membazirkan wang.

10b.  Dia melarang anaknya.

10c.  Dia membazirkan wang.

 

Jika kita menganalisis ayat 10a, kehadiran kata hubung keterangan tujuan untuk dan pengguguran subjek pada klausa keterangan tujuan untuk membazir didasari andaian bahawa orang yang melarang anaknya (lihat ayat 10b) sama dengan orang yang membazirkan wang (lihat ayat 10c) ialah orang yang sama, sedangkan maksud ayat yang sepatunya bukannya begitu. Sila bandingkan ayat 10a dengan ayat 11a di bawah:

11a.  Dia melarang anaknya membazirkan wang.

11b.  Dia melarang anaknya.

11c.  Anaknya tidak membazirkan wang.

 

Sila lihat contoh ayat yang hampir serupa, seperti yang berikut:

12a.  Dia menghalang musuhnya menawan kubu mereka.

12b.  Dia menegah anaknya menjadi penyanyi.

12c.  Dia tidak membenarkan anaknya membising.

 

Sebenarnya, sintaksis bahasa Melayu menawarkan pelbagai kemungkinan penghasilan ayat secara kreatif. Oleh itu, analisis ayat yang kita lakukan harus mengambil kira perkembangan semasa, keperluan pengungkapan baharu dan tuntutan bidang ilmu yang berkenaan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.