8 Oktober 2023, 10:40

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Ipoh – Usaha memartabatkan bahasa Melayu kepada semua golongan masyarakat termasuklah penggiat seni agar dapat menyemai jati diri dalam bidang kreatif telah dilaksanakan melalui pelbagai program kebahasaan. Antara program tersebut yang dilaksanakan termasuklah Simposium Muzik Ipoh 2023, yang dapat memberikan pendedahan kepada semua lapisan masyarakat tentang perkembangan seni muzik di negara ini sejak tahun 1970-an hingga kini.

Simposium Muzik Ipoh 2023 atau Ipoh Music Symposium (IMS) yang berlangsung semalam merupakan satu program tahunan yang dianjurkan oleh Kampung Karyawan Amanjaya atau lebih dikenali sebagai People of Remarkable Talent (PORT), yang telah berlangsung sebanyak empat siri pembentangan kertas kerja baru-baru ini merupakan penganjuran kali ke-5 dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Utara (DBPWU), Kerajaan Negeri Perak dan badan agensi lain.

IMS dilaksanakan di sekitar Ipoh, Perak, iaitu di Hotel Travelodge, Pusat Konvensyen Ipoh dan Kampung Karyawan Aman Jaya. IMS ini menampilkan tema yang berbeza-beza dan pada tahun ini, IMS menampilkan tema “Muzik Pop Malaysia 1975 – 1985: Meraikan Kepelbagaian”.

IMS telah menampilkan 18 orang pembentang yang terdiri daripada ahli akademik, pengkaji budaya dan penggiat seni. Majlis perasmian simposium ini telah disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Shaharuddin Abu Sohot, Setiausaha Bahagian Kanan (Pengurusan), Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dan ucap tama pula oleh YBhg. Tan Sri Ahmad Nawab yang merupakan tokoh seniman bidang muzik yang tidak asing lagi di negara ini.

Program ini turut dihadiri oleh YBrs. Puan Nur Hanim Dato’ Khairuddin (Pengurus Besar PORT), YBrs. Encik Armin Azhari Saleh (Pengarah DBPWU), ahli akademik dan para penggiat industri muzik tanah air.

Matlamat utama program ini adalah untuk mengumpulkan para pengkaji, penggiat dan peminat industri muzik tanah air dan serantau bagi membicarakan kajian tentang seni muzik. Seterusnya, kertas penyelidikan yang dibentangkan dalam program ini pula didokumentasikan dalam bentuk buku bagi manfaat masyarakat.

Pelibatan DBP dalam program ini bermula sejak tahun 2022 lagi, iaitu dalam Simposium Muzik Ipoh kali yang ke-4, yang juga melalui Dekad Bahasa Kebangsaan Peringkat Negeri Perak.

Kerjasama DBP sebagai rakan strategik PORT ini berterusan sehingga pelaksanaan Hadiah Sastera Darul Ridzuan (HSDR) yang ke-7 pada awal tahun ini. Pihak PORT juga berharap agar kerjasama dengan DBP akan berterusan pada masa akan datang dan juga dengan pelbagai pihak bagi memartabatkan bahasa kebangsaan sebagai bahasa ilmu, bahasa ekonomi dan bahasa negara ini.

Aktiviti lain yang dijalankan termasuklah pameran, forum, bicara buku, syarahan, bengkel muzik, tayangan dokumentari dan konsert khas bagi menyemarakkan program dan menarik minat masyarakat untuk menghayati seni muzik.

Ucap tama oleh YBhg. Tan Sri Ahmad Nawab, tokoh seniman bidang muzik yang tidak asing lagi di negara ini.
Perasmian Simposium Muzik 2023 oleh YBhg. Dato’ Shaharuddin Abu Sohot.
Ucapan oleh Encik Armin Azhari Saleh, iaitu Pengarah DBPWU sebagai rakan strategik Simposium Muzik 2023.
YBrs. Dr. Raja Iskandar Raja Halid berkongsi pandangannya dalam Simposium Muzik Ipoh 2023.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.