10 Oktober 2023, 08:40

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Orang-orang Melayu dahulu sangat bijak memilih perkataan yang sesuai dan cantik dalam pemilihan nama tempat, objek dalam peribahasa dan penaakulan. Hal ini amat berkait rapat dengan akal budi orang Melayu.

Demikian antara inti pati ceramah yang disampaikan oleh Pengerusi Persatuan Linguistik Malaysia (PLM), yang juga mantan Ahli Jawatankuasa Tetap Bahasa Melayu (JKTBM), iaitu YBhg. Prof. Dr. Nor Hashimah Jalaluddin.

Beliau bersiaran secara langsung dalam program Rancangan DBP di Sana Sini: Ceramah Umum JKTBM Bil. 2/2023 pada petang semalam dengan menyampaikan ceramah yang bertajuk “Bahasa, Ekologi, dan Akal Budi Melayu” di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Bahasa Antarabangsa, Kuala Lumpur.

Pemilihan nama Batu Caves, contohnya dikaitkan dengan mitos Si Tanggang yang dikatakan berlabuh di situ dan buktinya ialah nama-nama kampung di sekelilingnya serta sekitar kawasan tersebut berasaskan maritim seperti Kampung Nakhoda, Kampung Laksamana dan Kampung Selayang Pandang.

Katanya lagi, walaupun sekadar mitos, pemilihan nama tempat tersebut tetap cantik kerana melambangkan identiti kawasan Batu Caves yang bersifat maritim.

Tambah beliau, orang-orang Melayu dahulu menamakan sesuatu tempat berdasarkan identiti kawasan tersebut dengan menggambarkan aktiviti, cara hidup dan punca pendapatan masyarakatnya.

Menurut beliau, selain nama tempat, orang-orang Melayu dahulu juga sangat bijak memilih objek untuk digunakan dalam peribahasa Melayu.

Bagai isi dengan kuku, contohnya bukan sahaja bermaksud hubungan yang akrab bahkan menggambarkan tahap kesihatan diri seseorang yang turut dibuktikan dalam bidang sains kerana melalui kuku juga boleh dikenal pasti penyakit yang ada.

Beliau berkata, sebenarnya susah untuk mencipta peribahasa yang tetap kekal relevan sebagaimana orang-orang dahulu kerana mereka berfikir dan mengkaji tentang hubungan antara objek dengan falsafah di sebaliknya.

Beliau turut mengupas hal yang berkaitan dengan kebijaksanaan orang dahulu dalam penaakulan seperti cara memilih tarikh perkahwinan dari mula bertunang, iaitu selama enam bulan yang dibuat berdasarkan tempoh matang padi yang mengambil masa lima bulan. Bulan seterusnya untuk kerja-kerja selepas penuaian sebelum menjadi beras bagi digunakan dalam kenduri perkahwinan tersebut.

Program anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) melalui Bahagian Peristilahan dan Leksikologi, dengan kerjasama IPG Kampus Bahasa Antarabangsa, Kuala Lumpur ini diserikan lagi dengan ucapan Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hj. Hazami Jahari. Menurut beliau, program ini merupakan program berterusan DBP yang telah diadakan di pelbagai tempat di seluruh negara.

Tambah beliau, program Ceramah Umum JKTBM Bil 1./2023 telah diadakan pada 21 September lalu di IPG Kampus Tuanku Bainun, Pulau Pinang.

Ceramah umum ini mula dianjurkan pada tahun 1999 sebagai satu daripada pengisian kegiatan JKBM di Malaysia, yang bertujuan untuk menyemai rasa kecintaan dan keyakinan terhadap bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan tamadun tinggi dalam kalangan masyarakat.

Terdahulu, Timbalan Pengarah IPG Kampus Bahasa Antarabangsa, YBrs. Dr. Hjh Sabariah Morad, yang mewakili Pengarah IPG Kampus Bahasa Antarabangsa, YBhg. Datin Dr. Hajah Bushro Ali dalam ucapan alu-aluannya berkata bahawa program ceramah umum ini bertujuan untuk menyebarluaskan maklumat tentang fungsi, peranan dan tanggungjawab JKTBM, memaklumkan khalayak umum tentang kepakaran serta sumbangan anggota JKTBM dalam pembinaan dan pengembangan bahasa Melayu, serta memberikan pendedahan kepada masyarakat tentang isu dan perkembangan bahasa Melayu pada hari ini.

Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hj. Hazami Jahari semasa menyampaikan ucapannya dalam Rancangan DBP di Sana Sini: Ceramah Umum Jawatankuasa Tetap Bahasa Melayu di IPG Kampus Bahasa Antarabangsa, Kuala Lumpur.
Timbalan Pengarah IPG Kampus Bahasa Antarabangsa, YBrs. Dr. Hjh Sabariah Morad menyampaikan ucapan alu-aluan yang mewakili Pengarah IPG Kampus Bahasa Antarabangsa.
Pengerusi PLM, YBhg. Prof. Dr. Nor Hashimah Jalaluddin semasa menyampaikan ceramahnya.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.