Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKata salah tergolong sebagai kata adjektif. Hal ini dikatakan demikian kerana kata salah menghuraikan keadaan sesuatu perkara yang tidak benar, tidak betul atau tidak patut. Sila lihat contoh yang berikut:
1a. Jawapannya salah.
1b. Perbuatannya salah.
Walaupun kata salah tergolong sebagai kata adjektif, kata ini dianggap unik kerana tidak dapat digandingkan dengan kata penguat. Sila lihat contoh yang berikut:
2a. Jawapannya salah.
2b. Jawapannya tidak salah.
3a. *Jawapannya agak salah.
3b. *Jawapannya kurang/lebih salah.
3c. *Jawapannya sangat/amat/sungguh salah.
3d. *Jawapannya paling salah.
Kata adjektif salah tidak boleh dibahagikan tahap perbandingannya dengan kata penguat, seperti kebanyakan kata adjektif, disebabkan nilai salah atau sebaliknya merupakan nilai yang tetap dan tepat, bukan satu kontinum nilai yang berterusan (lihat kelompok ayat 2 dan 3). Oleh itu, kita hanya ada nilai salah dan tidak salah (betul), dan tiada nilai lain antara dua nilai tersebut.
Kata adjektif salah boleh ditambah imbuhan untuk menghasilkan pelbagai kata kerja terbitan. Sila lihat contoh yang berikut:
4a. Orang yang bersalah akan dikenakan hukuman.
4b. Jawapannya bersalah tiga.
5a. Perbuatannya menyalah daripada kehendak ibunya.
5b. Dia menyalah apabila cuba ditikam musuhnya.
6a. Sifatnya tidak bersalahan daripada cerita orang.
6b. Mereka bercerai kerana sering bersalahan.
6c. Perbuatannya bersalahan dengan undang-undang.
7a. Perbuatannya menyalahi undang-undang.
7b. Dia telah menyalahi janjinya.
7c. Dia menyalahi kata rakannya.
8a. Dia sering menyalahkan orang bawahannya.
8b. Dia menyalahkan serangan musuhnya.
8c. Dia menyalahkan tuduhan terhadapnya.
9a. Dia tersalah semasa menjawab soalan tersebut.
9b. Tembakannya tersalah dan terkena pada rakannya.
9c. Dia tersalah dalam hal itu.
Dalam kelompok ayat 4, kata bersalah dalam ayat 4a bererti “melakukan kesalahan”, dan dalam ayat 4b kata bersalah bererti “mempunyai kesalahan”. Dalam kelompok ayat 5, kata menyalah dalam ayat 5a bererti “menyimpang”, dan dalam ayat 5b kata menyalah bererti “mengelak”. Dalam kelompok ayat 6, kata bersalahan dalam ayat 6a bererti “berbeza”, dalam ayat 6b, kata bersalahan bererti “tidak bersefahaman” dan dalam ayat 6c, kata bersalahan bererti “bercanggah”. Dalam kelompok ayat 7, kata menyalahi dalam ayat 7a bererti “melanggar”, dalam ayat 7b kata menyalahi bererti “tidak menepati”, dan dalam ayat 7c kata menyalahi bererti “tidak menyetujui”. Dalam kelompok ayat 8, kata menyalahkan dalam ayat 8a bererti “menganggap atau menyatakan seseorang bersalah”, dalam ayat 8b kata menyalahkan bererti “menangkis” dan dalam ayat 8c kata menyalahkan bererti “menyangkal”. Dalam kelompok ayat 9, kata tersalah dalam ayat 9a bererti “tersilap”, dalam ayat 9b kata tersalah bererti “menyimpang”, dan dalam ayat 9c kata tersalah bererti “dituduh melakukan kesalahan”.
Satu hal yang menarik perhatian kita ialah kata terbitan mempersalahkan. Maksud kata ini sudah terangkum dalam pengertian kata menyalahkan (lihat ayat 8a). Oleh itu, lebih tepatlah kalau kita menggunakan kata menyalahkan daripada kata mempersalahkan.
Kata adjektif salah boleh ditambah imbuhan tertentu untuk menghasilkan kata nama terbitan. Sila lihat contoh yang berikut:
10a. Dia telah melakukan kesalahan.
10b. Terjadi kebersalahan dalam hal ini.
10c. Ketersalahan tersebut amat merugikan kita.
10d. Pesalah itu akan diadili.
Dalam ayat 10a, kata kesalahan bererti “sesuatu yang salah”. Dalam ayat 10b, kata kebersalahan bererti “rasa atau sifat bersalah”. Dalam ayat 10c, kata ketersalahan bererti “keadaan tersilap”, dan dalam ayat 10d, kata pesalah ialah “orang yang didapati bersalah”.
Kata adjektif salah boleh juga digandakan untuk mendukung makna tertentu. Sila lihat contoh yang berikut:
11a. Salah-salah, orang itu dibebaskan juga.
11b. Salah-salah, kita akan dikenakan tuduhan pula.
Dalam kelompok ayat 11, kata salah-salah dalam ayat 11a bererti “walaupun bersalah atau walaupun ada kesalahan”, dan dalam ayat 11b, kata salah-salah bererti “jangan-jangan”. Dalam ayat 12, kata bersalah-salahan bererti “sering tidak bersependapat”.
Kata adjektif salah dapat juga menghasilkan kata kerja majmuk seperti yang berikut:
13a. Dia menyalahajarkan konsep itu.
13b. Mereka menyalahfahamkan pengumuman itu.
13c. Dia menyalahgunakan kuasanya.
13d. Dia menyalahtafsirkan sajak itu.
14a. Dia sering bersalah sangka terhadap jirannya.
14b. Dia tersalah sangka tentang motif jirannya.
Dalam ayat 13a, kata menyalahajarkan bererti “mengajarkan sesuatu dengan cara yang salah”. Dalam ayat 13b, kata menyalahfahamkan bererti “memberikan pengertian yang salah tentang sesuatu hal”. Dalam ayat 13c, kata menyalahgunakan bererti “tidak menggunakan sesuatu seperti yang sepatutnya”. Dalam ayat 13d, kata menyalahtafsirkan bererti “memberikan tafsiran yang salah”. Dalam ayat 14a, kata bersalah sangka bererti “mempunyai salah sangka”. Dalam ayat 14b pula, kata tersangka sangka bererti “tersalah anggap tentang sesuatu hal”.