13 Oktober 2023, 16:02

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Pempengaruh cerita misteri merupakan personaliti yang mempunyai hubungan dengan pengikutnya secara dalam talian. Pengikut pempengaruh ini biasanya tidak akan ketinggalan untuk mengikuti apa-apa sahaja yang dimuat naik oleh pempengaruh tersebut. Pengikut ini juga sentiasa menyokong pempengaruh ini dalam tempoh yang lama sehingga pempengaruh ini mampu memperoleh pendapatan yang lumayan dan berterusan.

Bagi mengekalkan peminatnya, pempengaruh cerita misteri perlu sentiasa menonjolkan kreativitinya. Pada masa yang sama, pempengaruh ini juga perlu mempunyai bakat bercerita, mampu menggunakan kosa kata dan ayat yang bersesuaian, berupaya mengingati alur cerita, serta memiliki suara yang jelas semasa menceritakan kisah misteri sehingga meninggalkan kesan terhadap penonton.

Artikel ini membincangkan cara pempengaruh cerita misteri menggunakan bahasa untuk mengajak penonton memahami sesuatu yang misteri atau lebih tepatnya, perkara yang sukar difahami. Penggunaan bahasa ini melibatkan cara pempengaruh meletakkan tajuk, memulakan cerita, memberikan peringatan, menggambarkan situasi seram, menanyakan soalan, mewujudkan rasa takut dan membuat kesimpulan. Keindahan bahasa yang disusun telah menimbulkan rasa ingin tahu penonton dan menyebabkannya mudah difahami oleh semua peringkat umur.

Banyak pempengaruh cerita misteri yang dilihat bijak menggunakan tajuk yang bersesuaian yang dapat menonjolkan isi cerita masing-masing. Tajuk yang dipilih ini biasanya menggunakan kata kunci yang mudah ditemukan dan menonjolkan unsur seram, seperti “nenek kebayan”, “minyak dagu”, “berpuaka”, “mantera”, dan “hantu (pocong, pontianak, langsuir)”.

Tempoh setiap video yang tidak melebihi 40 minit pula menyebabkan pempengaruh cerita misteri menggunakan kata bilangan dalam tajuk videonya, seperti Episod 1, Episod 2, dan seterusnya. Jumlah huruf bagi tajuk adalah antara 70 huruf hingga 73 huruf sahaja dan jarang-jarang melebihi 100 huruf untuk memudahkan penonton membaca semua tajuk tersebut.

Kata yang dipilih sebagai tajuk juga jelas dan menarik perhatian. Kata tersebut biasanya kata yang sering dicari oleh penonton, seperti “hijab”, “santau”, “setan saka”, “dukun”, “tuju”, dan “hospital”. Kata yang digunakan biasanya dieja secara betul, tetapi ada kalanya menggunakan simbol dan nombor bagi menggantikan huruf dalam kata.

Namun begitu, penonton biasanya masih boleh meneka kata sebenar yang ingin ditulis. Contohnya, kata “bun*h” dan “b*g3l”. Di samping itu, pempengaruh cerita misteri juga menggunakan tanda seru dan tanda baca di belakang tajuk, seperti “Luaran nampak alim, rupanya *****!” atau “Jangan tengok dia! Sumpah Jerit!!.

Bagi memulakan cerita, pempengaruh cerita misteri biasanya mengalu-alukan penonton dengan memberikan salam, mengucapkan terima kasih, memenuhi permintaan penonton, memainkan bacaan doa meminta penonton untuk menekan butang suka dan meninggalkan komen serta menekan butang langgan (subscribe) dan sertai (join).

Pempengaruh ini memulakan cerita dengan memberikan maklumat seperti tahun kejadian, lokasi, nama samaran setiap individu yang terlibat dan butiran cerita secara ringkas. Ayat permulaan biasanya menggunakan penanda wacana, seperti “pada suatu hari”, “pada waktu itu”, “pada malam itu” dan “pada awalnya”.

Bagi mengelakkan sesuatu yang tidak diingini, pempengaruh mengingatkan penonton bahawa video tersebut mengandungi gambar atau bunyi yang menyeramkan. Pendekatan memberikan peringatan juga digunakan pada akhir cerita sebagai pengajaran kepada penonton dalam setiap cerita yang disampaikan.

Teknik bercerita yang baik membolehkan penonton membayangkan situasi yang ingin disampaikan. Situasi yang berunsur misteri digambarkan dengan kata tertentu, seperti “melompat”, “menjerit”, “menggelupur”, “membaca mantera”, “meronta-ronta”, “meraung-raung”, dan “tertonggeng”. Penggunaan kata ini biasanya menyebabkan penonton berasa dirinya meremang, tercengang dan tidak keruan.

Kadangkala, keadaan yang mengerikan, seperti muntah darah, berdarah, ketiadaan mata hitam dan perbuatan mencederakan diri sendiri turut digambarkan. Lokasi yang dipilih biasanya merupakan tempat yang menakutkan, seperti kubur, hutan, bilik yang tidak digunakan, rumah dan gedung terbengkalai. Pempengaruh cerita misteri juga menggambarkan makhluk dalam ceritanya dengan keadaan tertentu, seperti berambut panjang, berkeadaan basah, berbau busuk, berbadan besar dan berkuku panjang.

Ada sesetengah pempengaruh cerita misteri yang membawa tetamu jemputan untuk menceritakan cerita misteri tersebut dan pempengaruh hanya berperanan sebagai penanya soalan. Unsur misteri dalam cerita tersebut biasanya menggunakan ayat tanya yang jelas tertuju pada fokus penceritaan. Kadangkala, wujud situasi apabila pempengaruh atau tetamu jemputan menggunakan kata yang berunsur humor untuk menceriakan suasana.

Penggunaan kata adjektif yang menunjukkan perasaan ketika kehadiran makhluk halus juga menambahkan lagi suasana seram dalam video yang dihasilkan. Tambahan pula, kata yang digunakan turut menggambarkan tempat yang menyeramkan secara terperinci seolah-olah penonton berada di tempat itu.

Biasanya, penceritaan menjadi lebih menarik jika pempengaruh cerita misteri itu seorang indigo (terbuka hijab) dan menyebabkan penonton percaya akan cerita tersebut. Lebih menakutkan penonton apabila kata-kata yang digunakan bukan sahaja menggambarkan suasana yang menyeramkan, malah mengerikan dan kejam.

Bagi meredakan suasana, pempengaruh menceritakan cara untuk menghilangkan rasa takut dan cara menghalau makhluk tersebut, iaitu dengan menggunakan bacaan ayat al-Quran, laungan azan dan bacaan zikir. Peralatan yang digunakan ketika sesi perubatan juga digambarkan secara terperinci, seperti tebu hitam, telur ayam kampung, garam, lada hitam dan air. Cara untuk merawat mangsa yang terlibat juga akan diterangkan. Cerita ini biasanya diakhiri dengan mangsa yang sembuh selepas sesi rawatan.

Sebagai penutup cerita, pempengaruh cerita misteri selalunya memberikan nasihat kepada penonton agar menjadikan kisah tersebut sebagai suatu pengajaran. Contohnya, ketika pempengaruh menceritakan kisah santau, pempengaruh menyarankan dan menasihati penonton agar tidak melakukan hal tersebut kerana kesannya yang amat dahsyat terhadap mangsa dan pelaku. Bagi penonton pula, cerita misteri ini hanyalah suatu hiburan dan tidak menjadikannya sebagai suatu yang serius.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.