16 Oktober 2023, 11:20

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
“Tiada kata secantik bahasa” adalah antara lirik lagu yang dinukilkan oleh Tan Sri P. Ramlee menyentuh hati penulis bagi menzahirkan kecintaan terhadap bahasa Kebangsaan. Tatkala bersama-sama sekumpulan belia MalaysiaChina yang mengikuti Program Inap Desa di Balik Pulau, Pulau Pinang pada hari Jumaat dan Sabtu yang lepas menyakinkan penulis bahawa begitu hebatnya aura bahasa dan budaya Melayu yang telah memikat dan menjadi sanjungan para pelajar China yang berjumlah 75 orang.
Mereka telah merasai sendiri keunikan bahasa dan budaya Melayu sepanjang dua hari program tersebut berlangsung di Kampung Jalan Bahru, Balik Pulau, Pulau Pinang. Para pelajar ini telah didedahkan kepada permainan muzik gamelan dan tarian joget Melayu.
Keunikan dan kemerduan muzik gamelan menggamit para pelajar untuk mencuba bermain alat muzik tersebut.
Para pelajar turut serta menari mengikut rentak tarian joget yang menghiburkan hati.
Tampak gembira dan ceria wajah pencinta bahasa Melayu ini apabila dapat merasai sendiri pukulan alat tradisional muzik gamelan. Mereka sangat terhibur dan turut serta dalam gerak tari joget yang dipersembahkan.
Program inap desa ini juga memberikan ruang dan peluang yang baik kepada mereka untuk menyelami cara hidup masyarakat dan merasai suasana di kampung yang nyaman dan selesa. Mereka juga didedahkan dengan cara penyediaan kuih tradisional Melayu, iaitu kuih cara dan lempeng kelapa.
Sambil belajar dan memahami tentang kuih tersebut, mereka juga tidak ketinggalan merasai keunikan dan rasa kuih tersebut. “Cukup enak dan sedap rasanya.” Itulah kata-kata yang keluar dari mulut mereka.
Hidangan ubi kaya rebus dan sambal sardin juga menjadi bualan dan keseronokan mereka. Satu pengalaman berharga kerana dapat merasai antara jenis sarapan orang kampung.
Tidak cukup dengan itu, mereka turut belajar mengukur kelapa dengan alatan traditional. Gerakan tangan yang pada mulanya kaku terus bertukar menjadi mudah dengan terpancarnya riak wajah yang cukup menggembirakan.
Ada yang cuba merasai sendiri pengalaman mengukur kelapa.
Pengalaman bersama-sama dan berbual dengan orang-orang kampung yang peramah juga membuat mereka berat hati untuk meninggalkan kampung tersebut dan menamatkan program itu. Terpancar bola-bola kaca di mata setiap pelajar apabila mereka mula melangkah untuk meninggalkan Kampung Jalan Bahru, Balik Pulau.
Hasil daripada temu bual penulis bersama-sama para pelajar tersebut, mereka rata-ratanya cukup gembira dan menyanjungi semangat orang kampung yang hidup sederhana dan berjaya mengekalkan silaturahim serta adat resam turun-temurun. Segala pengalaman berharga tersebut cukup memotivasikan mereka untuk terus belajar dan menyanjung bahasa dan budaya Melayu.
Pastinya kita sama-sama ingin melihat sanjungan pelajar antarabangsa China terhadap bahasa dan budaya Melayu ini bukan hanya di bibir sahaja. Bak kata pepatah Melayu, “Genggam bara api biar sampai jadi arang”. Harapan yang cukup besar untuk mereka  zahirkan semangat  persahabatan antara Malaysia dengan China sebagai nadi perjuangan kita bersama.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.