23 Oktober 2023, 08:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Suatu ketika dahulu, bahasa Melayu pernah diangkat sebagai lingua franca pada abad ke-7 hingga abad ke-19 dan cukup dikenali sebagai bahasa perantara. Bahasa ini merupakan khazanah bahasa yang sangat puitis. Bidang sastera yang berasaskan bahasa ini menonjolkan peradaban bahasa Melayu. Ungkapan katanya yang indah membentuk tingkah laku beradab masyarakat dahulu. Kedua-duanya saling melengkapi dan cukup indah. Tidak hairanlah apabila budaya masyarakat Melayu sangat santun, bermula daripada lafaz kata sehinggalah tindak tanduk pelakuan yang sarat dengan maknanya.

Antara unsur tinggi dalam bahasa Melayu yang kekal hingga hari ini termasuklah peribahasa. Masyarakat dahulu menggunakan peribahasa dalam kehidupan masing-masing. Peribahasa mengungkapkan bahasa dan menjadi cerminan budaya masyarakat dahulu kala. Setiap peribahasa menganalogikan amalan dan aktiviti seharian nenek moyang masyarakat yang ada pada hari ini.

Di samping itu, peribahasa juga ialah cabang kekayaan bahasa yang dimiliki oleh semua bahasa dan merupakan suatu ungkapan yang tersirat makna yang cukup mendalam lagi persis untuk tujuan kelancaran komunikasi. Peribahasa Melayu ini merangkumi simpulan bahasa, perumpamaan, pepatah, dan bidalan.

Pada mulanya, peribahasa digunakan untuk menasihati, mendidik, menjaga air muka sehingga menjadi suatu amalan yang sinonim, khususnya dalam kalangan bangsa Melayu. Pemilihan leksikalnya banyak menggunakan imej alam flora dan fauna. Peribahasa ini sebenarnya diilhamkan daripada pekerjaaan, rutin seharian, dan pancaindera masyarakat dahulu. Semua yang dilihat, disentuh, dirasa, dan dihidu diterjemahkan dalam bentuk peribahasa.

Dalam erti kata lain, segala yang berada di sekeliling dan dialami oleh masyarakat dahulu dijadikan sebagai modal atau cetusan idea untuk mencipta peribahasa. Alam sekeliling ialah pencetus ilham dan wahana garapan ilmu yang membantu penghasilan peribahasa yang membawa makna.

Bertitik tolak daripada kesedaran terhadap ilmu berkaitan alam ini dan hubungannya dengan manusia, peribahasa digunakan secara meluas, seterusnya sebati dalam kalangan masyarakat hingga ke hari ini. Peribahasa juga diangkat dalam filem Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, seperti Pendekar Bujang Lapok, Semerah Padi, Ali Baba dan seperti filem terbaharu, Mat Kilau.

Namun begitu, seiring dengan peredaran zaman, penggunaan peribahasa semakin hilang ditelan zaman. Peribahasa bukan sahaja tidak difahami tetapi dilihat sebagai suatu yang sangat asing dalam kalangan masyarakat, apatah lagi bagi segelintir pihak yang bersikap prejudis terhadapnya.

Contohnya, cuba gambarkan keadaan atau latar yang mewujudkan peribahasa “Bagai melepaskan batuk di tangga”. Tidak semua orang yang dapat membayangkan keadaan dalam peribahasa ini, apatah lagi maksudnya. Sebenarnya, peribahasa ini menjelaskan keadaan masyarakat pada masa dahulu atau orang kampung yang tinggal di kampung untuk mencari rezeki. Masyarakat ini turun ke sawah sehingga dirinya berselut lumpur. Ada pula yang pergi menoreh getah di kebun sehingga melekat getah di tangan. Apabila pulang ke rumah, kotoran ini perlu ditanggalkan sebelum naik ke atas rumah. Oleh itu, masyarakat ini akan membasuh kaki dan tangan di tepi tangga rumah. Alat yang digunakan untuk mencedok air itu dikenali sebagai batok. Alat ini pula dihasilkan daripada tempurung.

Satu lagi peribahasa yang tidak semua orang mengetahui keadaan atau latarnya ialah “Marahkan nyamuk kelambu dibakar”. Peribahasa ini menggambarkan keadaan masyarakat dahulu yang menggunakan kelambu untuk tidur dan mengelakkan gigitan nyamuk. Kelambu ialah sejenis kain kasa yang yang dipasang secara menyelubungi tempat tidur. Generasi Z mungkin tidak mengetahui perihal kelambu ini, apatah lagi menggunakannya atau melihatnya.

Kemelut terhadap ketidakendahan terhadap peribahasa ini bukanlah perkara baharu. Realitinya, pengkaji bahasa terpaksa bertungkus-lumus untuk membuat pelbagai kajian bagi mengatasi kemelut ini. Mungkin masih banyak orang yang tertanya-tanya tentang kepentingan untuk menongkah arus zaman yang berpaksikan teknologi semata-mata untuk mempertahankan amalan peribahasa yang semakin asing dalam jiwa masyarakat.

Sebenarnya, penggunaan peribahasa dan perkembangan teknologi boleh bergerak seiring dan sejalan, walaupun zaman beralih dan musim berganti. Masih ada cara supaya aplikasi peribahasa ini disesuaikan mengikut zaman. Contohnya, belakangan ini, masyarakat disajikan dengan kemunculan peribahasa baharu atau evolusi peribahasa.

Kebanyakan generasi pada masa ini termasuklah generasi lama semakin selesa untuk mencipta dan menggunakan peribahasa baharu sebagai trend bahasa di alam maya. Contohnya, “Umpama harga petrol”. Jika dihuraikan, peribahasa ini menggunakan kata nama am “petrol”. Peribahasa ini juga mengetengahkan leksikal “harga”. Leksikal ini merujuk nilai sesuatu barangan. Pada masa ini, harga petrol semakin meningkat. Harga ini ditentukan berdasarkan konteks dunia semasa. Peribahasa ini menganalogikan sesuatu yang nilainya makin meningkat.

Adakah ahli bahasa mampu berlapang dada dan menerima kemunculan peribahasa baharu ini. Adakah peribahasa tersebut dianggap relevan atau merosakkan keindahan bahasa itu sendiri? Asal usul peribahasa dahulu juga lahir daripada garapan orang lama yang menggunakan simbol atau imej tersebut dalam kehidupan mereka. Dengan cara itu, terciptalah peribahasa ini.

Masyarakat dahulu mencipta peribahasa kerana mengetahui maksud dan simbolik di balik peribahasa tersebut. Sejarah evolusi zaman atau tulisan itu sendiri sentiasa berubah dan disesuaikan. Namun begitu, adakah masyarakat moden mampu mengevolusikan peribahasa ini? Pada masa yang sama, adakah ahli bahasa bersedia untuk menerima keindahan bahasa baharu hasil ledakan teknologi yang segalanya bersifat baharu?

Sekali lagi, kita perlu ada kata dua sama ada bersedia menerima kemungkinan yang ada dan menyesuaikannya mengikut keadaan semasa atau sebaliknya. Adakah peribahasa lama itu boleh ada evolusinya tetapi harus ada kajian dan pembukuan yang lebih jitu dan berasas atau martabatkan sahaja peribahasa lama tanpa evolusi baharu?

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.