Oleh Kho Thong Eng
23 Oktober 2023, 10:16

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Masyarakat Malaysia merupakan masyarakat majmuk. Oleh itu, pergaulan antara kaum Melayu dengan kaum Cina di Malaysia mengakibatkan berlakunya proses pengaruh-mempengaruhi antara bahasa Melayu dengan bahasa Cina. Dalam hal ini, pengaruhnya hanya terhad dari segi kosa kata, bukan tatabahasa atau sistem bahasa secara menyeluruh. Ada antara kata yang berkenaan dipinjam secara terus dengan atau tanpa pengubahsuaian sebutan, dan ada juga kata yang diterjemahkan kepada bahasa yang satu lagi.

Kebanyakan kata pinjaman bahasa Melayu daripada bahasa Cina merupakan kata dalam dialek Hokkien. Hal ini berlaku demikian mungkin disebabkan suku kaum Hokkien berniaga dan lebih banyak berinteraksi dengan bangsa Melayu. Walau bagaimanapun, ada juga kata pinjaman daripada dialek Kantonis dan Mandarin.  Jika diteliti, kebanyakan kata pinjaman merupakan kata nama, dan meliputi pelbagai perkara. Sila lihat contoh yang berikut:

  1.  Kata Nama
Kategori Contoh
Makanan cakoi, dim sum, tauhu, taukua, taucu, tauci, fucuk, mi, mihun/bihun, kuetiau, suun, cincau, misoa/misoi, popia, pau, capcai, cang
Minuman ciu, samsu, teh, *teh o beng, ceng
Tembakau sun, lisong
Ubat pooh, tiap
Penyakit taiko, loksun, pehong
Buah lai, longan, laici
Seni Pertahanan Diri taici, wusyu, kung fu, kuntau
Pesta Cap Goh Mei, Cembeng
Perarakan cingge
Perkuburan bong
Bangsa Tionghoa
Orang tauke, singse, taijin, siociah/sioca, compoh, samseng, tekong, sengkek, ciak, *makau-po, Mahua
Perusahaan panglong
Kenderaan lanca
Ukuran cun
Negara Tiongkok
Dewa Topekong
Bangunan/Bahagiannya tokong, suhian, pangking
Permainan pingpong, congki
Alat/Benda kemucing, sempoa, tanglung, teko/tekoan, mopit, bakiak, loleng, lio, toya/toyah/toyak, tekpi/tikpi, siongka, rimpai, pau/paupau, camca
Wang tekte, Renminbi, pisis
Haiwan liong, pi, tongsan
Rambut tocang
Pakaian nia, ceongsam, samfu
Kain lokcuan, encit, pangsi, kuntuan, toaha
Benda angpau
Rumah loteng, pangkin
Perjudian capjiki, pakau, tekpo/tekpoh, ceki, pi, tan

 

  1.  Kata Kerja
Perbuatan *pangsai, *tapau, kongsi, *ciak, ciang, soja, tui, pappui, teyan

 

iii.  Kata Adjektif

Sifat/Keadaan *lihai, *cincai, *puatang, *bo-lui, punsu, kiasu

*bahasa percakapan

 

Ada juga kata nama bahasa Cina yang diterjemahkan kepada bahasa Melayu. Contohnya dalam bahasa Melayu ialah kuih bakul, kuih bulan, sepit, ketupat Cina, puding soya, kacang potong, tali gula, biskut beras, haruan, seni ubah topeng, pau span dan sebagainya.

Sebaliknya, ada juga kata nama dalam bahasa Melayu yang dipinjam oleh bahasa Cina. Sila lihat contoh yang berikut:

  1.  Kata Nama

laksa, cendol, rojak, kari, sate, selasih, asam, rendang, ulam, roti, kuih sepit, kuih bangkit, kuih makmur, panggang (pulut panggang), sambal, sate, sarung, songkok, zapin, joget, langsat, cempedak, durian, nangka, otak-otak, kaya (seri kaya dalam bahasa Melayu), pantang, belacan, cukai, melaka (kayu), nyonya, Baba, senduduk, bunga raya, ketupat, tulah, kembung, selar, kuning (ikan), buaya, jamban, saman, pasar, kuli, rasa, pagar, jaga, datuk (sebagai panggilan kepada penunggu dalam bahasa Melayu), Datuk, Tan Sri, Tun

Ada kalanya sebutan kata bahasa Melayu diubah suai dalam bahasa Cina. Contohnya ialah kata “nangka mungkin disebut sebagai [bangka] atau [mangka] dalam dialek Cina, kata durian disebut sebagai [lulian], dan kata duit disebut sebagai [lui].

Satu hal yang menarik ialah kata pinjaman longkau (maksudnya longkang dalam bahasa Melayu) dalam dialek Hokkien mungkin merupakan akronim hibrid hasil percantuman suku kata pertama long dalam kata bahasa Melayu longkang dengan kata kau dalam kata majmuk tsui kau dalam dialek Hokkien.

Selain kata nama, ada juga sejumlah kecil kata kerja, kata adjektif dan kata tugas yang dipinjam oleh dialek Hokkien. Contohnya seperti yang berikut:

  1.  Kata Kerja

jaja, pakat, lugi (rugi dalam bahasa Melayu), tolong, tanggung, akak (mengakali dalam bahasa Melayu), kauyin (kahwin dalam bahasa Melayu), bagi (memberikan dalam bahasa Melayu), jaga, kacau

iii.  Kata Adjektif

salah, lompong, suku (maksudnya ‘bodoh’, mungkin daripada frasa tiga suku dalam bahasa Melayu), suka, malu, sombong, lawa (maksudnya hidung tinggi)

  1.  Kata Tugas

bangkali (barangkali dalam bahasa Melayu), baru,  saja, pun, tapi, mana

Jumlah kata pinjaman daripada bahasa Melayu dan kekerapan penggunaannya mungkin berbeza antara individu dengan individu, atau berbeza dari kawasan ke kawasan. Hal ini berlaku demikian kerana dialek Hokkien hanya bersifat lisan di Malaysia dan mudah menerima sebarang kata baharu yang tiada dalam himpunan kosa katanya. Ada kalanya kata dalam bahasa Melayu tetap dipinjam meskipun dalam dialek Hokkien sudah sedia ada kata yang seerti.

Selain itu, terdapat juga frasa hibrid, iaitu gabungan antara kata asli dengan kata pinjaman dalam dialek Hokkien. Sebagai contoh, frasa hibrid bo lui (*bo-lui dalam bahasa Melayu) dalam dialek Hokkien merupakan gabungan kata Hokkien bo (bermakna ‘tiada’) dengan kata pinjaman lui (duit dalam bahasa Melayu) daripada bahasa Melayu.

Begitu juga keadaannya bagi frasa hibrid tan lui yang bererti “bekerja untuk mendapat duit”, frasa hibrid bo salah yang bererti “tidak salah/bersalah”, frasa hibrid tat lui yang bererti “berharga” dan frasa hibrid mana e sai yang bererti “mana boleh”.

Ada juga sejumlah kecil kata bahasa Melayu yang diterjemahkan kepada bahasa Cina. Contohnya ialah nasi lemak, keropok, cencaluk, kerisik kelapa, kompang, lemang, rambutan, baulu, kuih lapis, kuih tako, bunga kertas, seremban, silat, wayang kulit dan sebagainya. Malahan, ada kalanya simpulan bahasa dalam bahasa Melayu turut diterjemahkan dan digunakan dengan maksud yang sama dalam dialek Hokkien. Contohnya ialah panjang tangan, kepala angin dan ibu ayam.

Sekarang ada juga kemungkinan kemasukan kata lain daripada bahasa Cina ke dalam bahasa Melayu. Hal ini berkaitan dengan unsur budaya Cina yang tiada yang sama atau setara dalam budaya Melayu. Contohnya ialah kata yi sang, tangyuan,  angku, Donzi dan sebagainya. Bagi kata yi sang, ejaannya dalam bahasa Inggeris ialah yee sang, tetapi lebih sesuai kita terima sebagai yi sang dalam bahasa Melayu kerana kata seperti mee kita terima sebagai mi. Bagi pesta Donzhi, ejaan yang lebih tepat ialah Donzi, kerana bahasa Melayu tiada digraf zh.

Walaupun maksud dan sebutan kata pinjaman daripada satu bahasa mungkin berbeza sedikit dalam bahasa lain, proses pinjam-meminjam antara bahasa Melayu dengan bahasa Cina masih penting untuk meluaskan kosa kata kedua-dua bahasa dan memantapkan keupayaannya untuk menghadapi dunia globalisasi dan modenisasi kini.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.