Oleh Avatar photo Yusaida Yusof
25 Oktober 2023, 16:31

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Foto: Norfazrie Isquandy Nurol

Kuching – Pelancaran Kamus Melayu SarawakMelayu Dewan terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) disempurnakan oleh YB Hajah Datuk Rosey Haji Yunus, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-kanak, Sarawak, yang mewakili YAB Datuk Patinggi Tan Sri (Dr.) Abang Haji Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Haji Openg, Premier Sarawak, menerusi gimik pelancaran kamus tersebut di Arena Gemilang, Universiti Malaysia Sarawak pada pagi ini.

Gimik pelancaran kamus disempurnakan oleh YB Datuk Hajah Rosey Haji Yunus.

Kamus terbaharu ini mengandungi 13,551 kata masukan yang lengkap dengan sebutan, kelas kata, taktif, padanan, dan contoh penggunaan. Kamus Melayu SarawakMelayu Dewan yang berharga RM85.00 ini dihasilkan untuk rujukan para guru, pensyarah, pelajar, pengkaji bahasa dan pengkaji dialek Melayu.

Menurut YB Datuk Hajah Rosey Haji Yunus, Timbalan Menteri Pembangunan dan Kanak-kanak, Sarawak, usaha untuk melestarikan bahasa sukuan atau bahasa peribumi ini perlu dilakukan secara serius dan terancang agar bahasa-bahasa tersebut tidak pupus ditelan oleh arus globalisasi.

Kita berasa amat bimbang kerana terdapat beberapa bahasa yang dikategorikan sebagai bahasa yang terancam, antaranya termasuklah bahasa Miriek, Kelabit dan Punan. Ada juga bahasa yang kini berada ‘di ambang bahaya’, antaranya termasuklah bahasa Kiput, Narom, dan Selakau.

Kata bahasa Melayu Sarawak dikumpulkan dengan kerjasama beberapa informan yang terdiri daripada penutur jati bahasa Melayu Sarawak yang meliputi bahagian Limbang, Miri, Bintulu, Sibu, Mukah, Sri Aman, Betong, Samarahan, Serian dan Kuching.

Kata masukan kamus ini merangkumi kata-kata yang digunakan dalam kehidupan masyarakat Melayu Sarawak dalam kegiatan ekonomi dan sosial seperti flora dan fauna, anggota badan, kata sapaan dan gelaran, serta kesenian dan kebudayaan. Kata-kata ini diberi padanan bahasa Melayu standard.

Selain memperkaya khazanah kamus dialek pelbagai bahasa sukuan, penerbitan kamus ini juga menyumbang ke arah pemeliharaan warisan bahasa sukuan Sarawak. Masyarakat umum, pensyarah, guru, pelajar serta pengkaji bahasa dan dialek Melayu diharapkan akan mendapat banyak manfaat dengan terbitnya kamus ini.

Terdahulu, YBrs. Tuan Haji Md Johari Hasan, Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) DBP, yang berucap mewakili Ketua Pengarah DBP, Dr. Hazami Jahari merakamkan penghargaan terima kasih kepada penyelidik dan penyumbang yang terlibat dalam projek penerbitan kamus ini. Mereka ialah Dr. Zainal Abidin Masleh, Dr. Fatimah Haji Subet dan Dr. Zuraini Seruji.

Dengan terbitnya kamus ini, khazanah bahasa terakam untuk rujukan masyarakat. Keunikan dan kekayaan satu daripada bahasa peribumi di Bumi Kenyalang ini juga dapat lestarikan.

Yang turut memeriahkan majlis pelancaran kamus ini ialah YBhg. Prof. Datuk Dr. Mohamad Kadim Suadi (Naib Canselor UNIMAS), YBhg. Tan Sri Datuk Seri Panglima Sulong Matjeraie (Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti), YBrs. Ir. Dr. Siti Noor Linda Taib (Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UNIMAS), YBhg. Prof. Dr. Ambigapathy Pandian (Dekan Fakulti Pendidikan, Bahasa dan Komunikasi, UNIMAS), dan YBrs. Tuan Haji Razali Che Mat (Pengarah Jabatan Dasar dan Penyelidikan).

Kamus Kamus Melayu SarawakMelayu Dewan mengandungi 13,551 kata masukan yang lengkap dengan sebutan, kelas kata, taktif, padanan, dan contoh penggunaan.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.