Oleh Yusaida Yusof
25 Oktober 2023, 15:53

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Foto: Norfazrie Isquandy Nurol

Kuching – Persidangan Antarabangsa Leksikologi dan Leksikografi Borneo 2023 merupakan inisiatif untuk meneruskan tradisi keilmuan bagi membicarakan aspek bahasa yang menunjangi peradaban dan pemikiran. Sehubungan dengan itu, pada tahun ini Sarawak dipilih menjadi tuah rumah oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bagi penganjuran PALBORNEO 2023, yang julung-julung kalinya diadakan yang bertempat di Arena Gemilang, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).

Dalam ucapan perasmian PALBORNEO 2023 oleh YB Datuk Hajah Rosey Haji Yunus, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-Kanak, Sarawak, yang mewakili YAB Datuk Patinggi Tan Sri (Dr.) Abang Haji Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Haji Openg, Premier Sarawak, beliau merakamkan ucapan terima kasih kepada DBP dan atas penghormatan kepada negeri Sarawak sebagai tuan rumah pada kali ini dan kepada UNIMAS, selaku rakan kolaborasi persidangan yang memberikan komitmen yang jitu dalam menggalas tanggungjawab menyediakan sarana dan prasarana bagi penganjuran program pada hari ini.

Menurut beliau, usaha melestarikan bahasa sukuan atau bahasa peribumi ini perlu dilakukan secara serius dan terancang agar bahasa-bahasa ini tidak pupus ditelan oleh arus globalisasi.

Kita berasa amat bimbang kerana terdapat beberapa bahasa yang dikategorikan sebagai bahasa yang terancam. Antaranya termasuklah bahasa Miriek, Kelabit dan Punan. Ada juga bahasa yang kini berada di ambang bahaya seperti bahasa Kiput, Narom, dan Selakau.

Tambah beliau, menerusi persidangan seperti ini, para pengkaji dan pencinta bahasa dari dalam dan luar negara dapat membentangkan hasil penyelidikan mereka dan berkongsi ilmu serta pandangan tentang kaedah terkini yang lebih sistematik untuk melaksanakan kajian dan penyelidikan bahasa.

Antara usaha tersebut termasuklah pengumpulan data serta perakaman kosa kata sesuatu bahasa, selain mendapat pendedahan tentang usaha yang telah dilaksanakan oleh pelbagai pihak untuk melestarikan bahasa.

Selain merasmikan persidangan tersebut, YB Datuk Hajah Rosey Haji Yunus turut melancarkan Kamus Bahasa Melayu SarawakMelayu Dewan, dan menyaksikan majlis pertukaran memorandum persefahaman (MoU) antara UNIMAS) dengan DBP. Selain itu, beliau juga melawat pameran dan gerai jualan yang disediakan di luar dewan yang disertai oleh pelbagai agensi dan persatuan, selain DBP dan UNIMAS.

Terdahulu, YBhg. Prof. Datuk Dr. Mohamad Kadim Suaidi, Naib Canselor UNIMAS, dalam ucapan alu-aluannya pula berkata bahawa PALBORNEO 2023 diadakan bersempena dengan Sambutan 60 Tahun negeri Sarawak dan Sabah dalam Malaysia.

YBhg. Prof. Datuk Dr. Mohamad Kadim Suaidi, Naib Canselor UNIMAS menyampaikan ucapan alu-aluan.

Dengan bertemakan “Pelestarian Bahasa Asal Orang Borneo”, para penyelidik dan sarjana akan membentangkan dapatan kajian mereka bagi menguatkan pengembangan bahasa, serta pengembangan ilmu melalui perancangan dan pembentukan kerjasama rakan-rakan strategik dan serantau.

Melalui penganjuran persidangan ini, saya percaya bahawa Fakulti Pendidikan, Bahasa dan Komunikasi sebagai entiti bahasa di UNIMAS dalam usaha mempertingkat dan memperbanyak bahan ilmiah dalam bahasa Melayu seperti penyelidikan, penulisan dan penerbitan.

Menurut beliau, kajian penyelidikan yang mengumpulkan banyak ahli akademik dan pakar bidang bahasa serta linguistik ini bukan hanya dihadiri oleh ahli akademik, sarjana dalam negara, bahkan persidangan ini juga bertaraf antarabangsa apabila turut dihadiri oleh para penyelidik dan sarjana dari negara serantau seperti Indonesia, Brunei dan Australia.

Sementara itu, YBrs. Tuan Haji Md Johari Hasan yang mewakili Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami Jahari menyatakan bahawa penganjuran PALBORNEO 2023 bertujuan mengupayakan satu pertemuan ilmiah bagi mengajak para sarjana dalam bidang leksikologi dan leksikografi, serta pengamal perkamusan dari dalam negeri malah dari negara-negara asing untuk sama-sama berkongsi ilmu dengan menyajikan beberapa penyelidikan yang dilakukan terhadap bahasa peribumi yang terdapat di Sabah dan di Sarawak, secara khususnya dan di serata pelosok Nusantara, secara amnya.

Jelas beliau, sejak beberapa tahun belakangan ini, timbul kesedaran yang mendalam tentang banyak bahasa manusia di dunia sedang diancam kepunahan, khususnya bahasa peribumi. Oleh itu, kini muncul keperluan yang mendesak dan saranan dalam kalangan ahli bahasa dan komuniti pelestari dan pembugar bahasa peribumi yang terancam punah statusnya ini agar diupayakan pendokumentasian dan pembugaran bahasa ini.

Dalam konteks ini, kamus sangat besar peranannya dalam upaya mendokumentasikan bahasa yang terancam kepunahan ini. Sesungguhnya, perakaman bahasa peribumi ini adalah  suatu usaha pemertahanan dan pembugaran semula.

Dalam usaha memastikan bahasa sukuan yang ada di Sarawak dan di Sabah terpelihara, DBP melalui Pejabat Cawangan DBP di Sabah dan di Sarawak terlibat dalam banyak kerja penyelidikan dan perakaman bahasa etnik bagi tujuan penerbitan kamus, glosari dan daftar kata yang melibatkan bahasa sukuan yang ada di Sabah dan di Sarawak.

YBrs. Tuan Haji Md Johari Hasan menyatakan bahawa pemetaan bahasa amat penting dilaksanakan agar usaha penyelidikan dapat dilaksanakan secara lebih tekal dan terancang.

Banyak dialek  dan bahasa etnik yang telah diterbitkan oleh DBP. Antaranya dalam bentuk kamus termasuklah dialek Melayu Sarawak, Iban, Melanau Mukah, Vaie, Murut Tahol, Lotud, Dumpas dan Lundayeh. Namun begitu, masih ada banyak lagi bahasa peribumi di Sabah dan di Sarawak yang belum diteroka. Sehubungan dengan itu, pemetaan bahasa amat penting dilaksanakan agar usaha penyelidikan dapat dilaksanakan secara lebih tekal dan terancang.

YB Datuk Hajah Rosey Haji Yunus dan tetamu kehormat melawat gerai pameran yang disediakan di luar dewan.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.