1 November 2023, 08:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Program Dekad Bahasa Kebangsaan (DBK) dan Dekad Membaca Kebangsaan (DMK) memainkan peranan yang penting dalam memupuk budaya literasi dan kesedaran tentang aspek kebahasaan. Program ini telah menarik perhatian ramai sebagai inisiatif yang terfokus pada pembangunan dan pemerkasaan bahasa kebangsaan.

Keberkesanan program ini tergambar dengan jelas apabila Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Yang Berusaha Dr. Hazami Jahari telah diundang ke BERNAMA TV untuk berkongsi tentang Karnival Dekad Bahasa Kebangsaan dan Dekad Membaca Kebangsaan 2023 pada 23 Oktober 2023. Keberadaan dan ketokohan Dr. Hazami dalam menjelaskan makna serta tujuan program ini telah menambahkan lagi dan memperkukuh kesedaran masyarakat tentang pentingnya menjaga, memelihara, dan memartabatkan bahasa kebangsaan.

Dengan adanya inisiatif seperti Karnival Dekad Bahasa Kebangsaan dan Dekad Membaca Kebangsaan 2023 yang telah dirasmikan YAB Datuk Seri Anwar Ibrahim pada  25 Oktober 2023 di Dewan Tun Canselor, Universiti Multimedia (MMU), Cyberjaya bertujuan menggalakkan masyarakat lebih aktif membaca dan menghargai kekayaan bahasa ibunda.

YAB Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika merasmikan Karnival Dekad Bahasa Kebangsaan dan Dekad Membaca Kebangsaan 2023 di Dewan Tun Canselor, MMU, Cyberjaya.

 

Inisiatif ini tidak hanya melibatkan aktiviti pembacaan semata-mata tetapi memberikan tumpuan pada peningkatan kecekapan berbahasa dalam kalangan masyarakat. Dengan memahami bahasa kebangsaan dengan lebih mendalam akan dapat memperkukuh identiti kebangsaan dan siap bersedia untuk bersaing di arena global.

Tidak berlebihan sekiranya dinyatakan di sini bahawa DBP ialah institusi yang memainkan peranan yang utama sebagai pelopor dan pemelihara identiti kebangsaan Malaysia. DBP tidak hanya bertanggungjawab menyemarakkan penggunaan bahasa Melayu dalam bidang pendidikan, media teknologi, dan kebudayaan tetapi turut memegang tanggungjawab penting dalam penyelidikan dan pembangunan bahasa kebangsaan.

Melalui program inovatif yang diperkenalkan oleh DBP, institusi ini bukan sahaja membentuk generasi yang cemerlang, bahkan memastikan bahasa kebangsaan terus berperanan sebagai tonggak kesatuan dalam kepelbagaian masyarakat Malaysia.

Program DBK dan DMK ini bukan sekadar satu program biasa, sebaliknya satu langkah proaktif yang berkesan dalam melestarikan tapak kebangsaan sedia ada di negara ini. Dalam tempoh ini, pelbagai usaha dan inisiatif diperkenal dan diperluas menerusi aktiviti pembelajaran, pertandingan penulisan serta seni lukisan, dan penerbitan karya sastera dalam bahasa kebangsaan.

Program ini tidak hanya melibatkan perkembangan linguistik semata-mata malahan lebih jauh lagi melibatkan pembinaan identiti kebangsaan dan pemeliharaan nilai budaya yang meliputi hormat-menghormati dan  toleransi. Melalui program ini juga, masyarakat tidak hanya dididik untuk menghayati bahasa Melayu dalam konteks sejarah, budaya, dan tradisi negara, tetapi dididik untuk menghargai keagungan serta kompleksiti bahasa kebangsaan.

Dalam mencipta identiti kebangsaan yang kukuh melalui sambutan DBK dan DMK, penting untuk kita mengambil tindakan bersama untuk mempromosikan penggunaan bahasa kebangsaan di pelantar media sosial. Dengan menjadikan media sosial sebagai tapak utama, kita dapat memperkukuh penggunaan bahasa kebangsaan dalam komunikasi digital.

Kempen sosial media yang berinovatif dan menyeronokkan akan mampu menarik perhatian masyarakat, terutamanya generasi muda untuk menggunakan bahasa kebangsaan dalam kehidupan harian mereka. Penggunaan bahasa kebangsaan di ruang digital tidak hanya menjamin kelestarian bahasa bahkan menyemai rasa cinta dan kesetiaan terhadap identiti negara selain memastikan bahasa kebangsaan terus dapat berkembang.

Integrasi bahasa kebangsaan juga boleh dilakukan pada bidang industri kreatif. Industri ini sebagai medan ekspresi seni dan budaya yang memainkan peranan yang penting dalam memperkukuh pengetahuan terhadap bahasa Melayu. Filem, muzik, drama, dan seni kreatif lain yang menggunakan bahasa Melayu sebagai medium komunikasi dapat menjadi saluran utama untuk memperkenal dan memperluas kegunaan bahasa kebangsaan.

Para seniman serta pertubuhan yang bergerak dalam industri kreatif juga berpotensi untuk menganjurkan pelbagai program seperti pameran seni dan pertunjukan teater berbahasa kebangsaan. Dengan melibatkan industri kreatif dalam sambutan DBK dan DMK akan memperkaya pengalaman seni dan kebudayaan serta membina jalinan kebangsaan yang erat antara masyarakat. Hal ini bukan sekadar menyuarakan penghasilan seni sahaja bahkan dapat mengetengahkan kearifan tempatan dan mencipta satu identiti kebangsaan yang mengagumkan di pentas dunia.

Melalui sektor pendidikan, kerjasama rapat antara guru dengan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) menjadi landasan utama dalam menjalankan program bahasa Melayu yang efektif. Pemupukan kemahiran bahasa kebangsaan bukan sekadar cita-cita atau angan-angan tetapi suatu keperluan penting untuk membentuk generasi yang mahir dan kreatif.

Dalam pelaksanaan DBK dan DMK, kita tidak hanya memperkukuh asas bahasa tetapi juga membina warganegara yang memahami serta menghargai kekayaan bahasa ibunda. Dalam era globalisasi ini, pemahaman mendalam tentang bahasa dan identiti kebangsaan adalah modal penting untuk memastikan keharmonian negara.

Sementara itu, pembangunan infrastruktur bahasa Melayu seperti perpustakaan, pusat sumber dan pusat pembelajaran bahasa kebangsaan di sekolah dan di universiti merupakan langkah penting untuk memperkukuh identiti kebangsaan melalui DBK dan DMK. Infrastruktur ini tidak hanya mencerminkan kemajuan sosial bahkan menjadi pilar keunggulan intelektual dan budaya. Dengan menyediakan akses yang pantas dan sumber ilmu pengetahuan, infrastruktur ini dapat memperkaya pemahaman masyarakat dan memupuk kecintaan terhadap bahasa kebangsaan.

Sementara itu, peranan pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) sangat penting dalam menjayakan program DBK dan DMK. Pertubuhan ini tidak seharusnya berasa terpinggir daripada usaha ini, sebaliknya mereka boleh menjadi peneraju dengan menganjurkan pelbagai aktiviti seperti ceramah, debat, dan bengkel dalam bahasa Melayu.

Melalui ceramah kebangsaan dan debat, pertubuhan ini berpotensi untuk mengangkat isu-isu kontemporari yang berkaitan dengan bahasa kebangsaan dan meningkatkan kepedulian masyarakat tentang kepentingan memelihara bahasa kebangsaan.

Sementara itu, melalui bengkel kreatif dan bengkel pengucapan awam dalam bahasa Melayu yang diadakan oleh NGO juga akan dapat memberikan peluang kepada masyarakat untuk mengasah kemahiran berkomunikasi dan mengekspresikan kreativiti mereka. Kerjasama yang kukuh dengan komuniti tempatan juga penting dalam merangsang penggunaan bahasa Melayu, sekali gus menyokong penghasilan bahan pendidikan berkualiti.

Pemerkasaan penyelidikan bahasa Melayu melalui anugerah dan geran penyelidikan kepada individu atau kumpulan juga merupakan strategi yang penting dalam memperkukuh identiti kebangsaan. Sokongan kewangan kepada penyelidik yang mengkhususkan kajian dalam bidang linguistik dan sastera Melayu dapat mendorong aktiviti intelektual yang bukan hanya menyokong pemeliharaan dan perkembangan bahasa kebangsaan bahkan dapat membina kepakaran dan pengetahuan mendalam tentang bahasa Melayu.

Penyelidikan ini mungkin sahaja mencakupi evolusi bahasa Melayu dalam konteks globalisasi teknologi, manakala bidang penyelidikan sastera memungkinkan penulisan karya yang mencerminkan nilai-nilai kebangsaan. Integrasi antara kedua-dua bidang ini untuk memastikan bahasa kebangsaan terus relevan dan memupuk keprihatinan terhadap identiti kebangsaan dalam kalangan masyarakat secara holistik.

Oleh itu, dengan memadukan DBK dan DMK sebagai satu sambutan wajib, kita bukan hanya merangsang kesedaran masyarakat bahkan memperkukuh asas identiti kebangsaan. Dengan tekad dan kerjasama yang berterusan antara DBP dengan NGO, institusi pendidikan, industri kreatif, dan komuniti tempatan akan dapat membina sebuah negara yang teguh dan berwawasan, iaitu bahasa kebangsaan bukan sekadar menjadi suatu alat komunikasi tetapi landasan kukuh untuk membangunkan bahasa Melayu dan kecemerlangan bangsa Malaysia.

 

 

Profesor Madya Dr. Salmah Jan Noor Muhammad − Pensyarah Kanan, Jabatan Bahasa Melayu, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia, yang juga Ahli Lembaga Amanah Yayasan Karyawan.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.