Oleh Kho Thong Eng
1 November 2023, 08:31

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Homonim ialah dua atau lebih kata yang mempunyai ejaan dan sebutan yang sama, tetapi maksudnya berbeza. Hal ini berlaku disebabkan sumber bagi kumpulan kata itu berbeza-beza. Homonim mungkin meliputi pelbagai golongan kata, seperti kata nama, kata kerja, kata adjektif dan kata tugas.

Dalam hal ini, keupayaan seseorang untuk mengenal pasti kehadiran homonim dalam ayat dapat menambah pengetahuan kosa katanya dan mengelakkan kekeliruan untuk menentukan makna sesuatu kata. Sila lihat contoh yang berikut:

1a.  Saya suka makan ketam.

1b.  Padi sudah saya ketam.

1c.  Kayu sudah saya ketam.

1d.  Mulut murid itu ketam.

Dalam kelompok ayat 1, terdapat homonim ketam. Dalam ayat 1a, kata ketam ialah kata nama yang bermaksud “sejenis binatang yang kulit luarnya keras, berkaki sepuluh dan bersepit”. Dalam ayat 1b, kata ketam ialah kata kerja yang bererti “potong atau tuai padi dengan ani-ani, dll”. Dalam ayat 1c, kata ketam ialah kata kerja yang bermaksud “licinkan kayu dengan ketam”. Dalam 1d pula, kata ketam ialah kata kerja yang bererti “tertutup rapat-rapat atau kuat-kuat”.

 

2a.  Buku saya di dalam laci.

2b.  Sungai itu dalam.

2c.  Baginda menggunakan bahasa dalam.

Dalam kelompok ayat 2, terdapat kata dalam. Dalam ayat 2a, kata dalam ialah kata arah yang bererti “lawan luar”. Dalam ayat 2b, kata dalam ialah kata adjektif yang bererti “jauh ke bawah dari permukaan air”. Dalam ayat 2c, kata dalam ialah kata nama yang bermaksud “istana”.

 

3a.  Dia terkena bisa ular.

3b.  Dia bisa melakukan kerja yang sukar itu.

Dalam kelompok ayat 3, terdapat homonim bisa. Dalam ayat 3a, kata nama bisa bererti “bahan beracun”, manakala dalam ayat 3b, kata bantu ragam bisa bererti “berupaya”.

 

4a.  Buku jarinya sakit.

4b.  Buku itu tebal.

Dalam kelompok ayat 4, terdapat homonim buku. Dalam ayat 4a, kata nama buku bererti “sendi”, manakala dalam ayat 4b, kata nama buku bererti “helaian kertas yang berjilid”.

 

5a.  Hubungan antara mereka genting.

5b.  Genting rumah itu masih elok lagi.

Dalam kelompok ayat 5, terdapat homonim genting. Dalam ayat 5a, kata adjektif genting bererti “tegang”, manakala dalam ayat 5b, kata nama genting bererti “kepingan yang leper atau melengkung untuk mengatapi rumah”.

 

6a.  Dia amat haus.

6b.  Tapak kasutnya haus.

Dalam kelompok ayat 6, terdapat homonim haus. Dalam ayat 6a, kata kerja haus bererti “berasa kering tekak”, manakala dalam ayat 6b, kata kerja haus bererti “berkurangan besarnya atau tebalnya”.

 

7a.  Dia cuba membuang daki pada badannya.

7b.  Gunung tinggi itu akan saya daki.

Dalam kelompok ayat 7, terdapat homonim daki. Dalam ayat 7a, kata nama daki bererti “kotoran”, manakala dalam ayat 7b, kata kerja daki bererti “panjat”.

 

8a.  Hubungan antara mereka rapat.

8b.  Rapat itu mendapat sambutan hangat.

Dalam kelompok ayat 8, terdapat homonim rapat. Dalam ayat 8a, kata adjektif rapat bererti “erat”, manakala dalam ayat 8b, kata nama rapat bererti “perkumpulan manusia”.

 

9a.  Dia mencantum papan dengan paku.

9b.  Dia suka makan pucuk paku yang digoreng dengan belacan.

Dalam kelompok ayat 9, terdapat homonim paku. Dalam ayat 9a, kata nama paku bererti “benda tajam biasanya daripada besi untuk melekatkan papan”, manakala dalam ayat 9b, kata nama paku bererti “sejenis tumbuhan yang tidak berbunga”.

 

10a.  Dia telah balik ke kampung.

10b.  Nasibnya tidak dapat saya telah.

Dalam kelompok ayat 10, terdapat homonim telah. Dalam ayat 10a, kata bantu aspek telah bererti “sudah”, manakala dalam ayat 10b, kata kerja telah bererti “ramalkan”.

 

11a.  Dua kali empat (jadi) lapan.

11b . Air kali itu jernih.

Dalam kelompok ayat 11, terdapat homonim kali. Dalam ayat 11a, kata kerja kali bererti “darab”, manakala dalam ayat 11b, kata nama kali bererti “sungai”.

 

12a.  Pohon itu tinggi.

12b.  Petunjuk daripada Tuhan selalu saya pohon.

Dalam kelompok ayat 12, terdapat homonim pohon. Dalam ayat 12a, kata nama pohon bererti “pokok”, manakala dalam ayat 12b, kata kerja pohon bererti “minta dengan halusnya”.

 

13a.  Bala bantuan sudah tiba.

13b.  Banjir merupakan bala yang menyusahkan penduduk di kampung itu.

Dalam kelompok ayat 13, terdapat homonim bala. Dalam ayat 13a, kata nama bala bererti “pasukan (biasanya pasukan tentera)”, manakala dalam ayat 13b, kata nama bala bererti “bencana”.

Ada kalanya terdapat kata yang struktur binaannya berbeza tetapi kelihatan seperti homonim. Sila lihat contoh yang berikut:

14a.  Minuman itu sudah saya gulai.

14b.  Dia suka makan gulai ayam.

Dalam ayat 14a, kata kerja gulai yang bererti “jadikan bergula” terbina daripada kata dasar gula yang ditambah akhiran i, iaitu gula + i. Dalam ayat 14b pula, kata nama gulai merupakan kata tunggal yang bererti “masakan yang berkuah”.  Oleh itu, kata gulai dalam ayat 14a dan 14b bukan homonim.

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.