Oleh Nasir Hamid
9 November 2023, 16:58

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuching – Arkib Negara Malaysia (ANM) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sarawak telah melaksanakan program yang membicarakan bahasa kolokial, iaitu bahasa percakapan atau bahasa basahan dalam pertuturan seharian masyarakat. Program Bicara Bahasa Kolokial: Melestarikan Keberdayaan Bahasa Komuniti yang bertemakan  “Rindok Ati Kelaka Sarawak” merupakan program kali keempat yang telah dilaksanakan.

Sebelum ini, ANM pernah menganjurkan program seumpama ini di Kuantan, Pahang, yang bertemakan “Menghilir Sungai Pahang” pada 13 Julai 2023; di Kota Kinabalu, Sabah, yang bertemakan “Telusuri Bayu Nabalu” pada 21 September 2023 dan di Ipoh, Perak, yang bertemakan “Moh Labun Loghat Perak” pada 26 Oktober 2023.

“Rindok Ati Kelaka Sarawak” atau “Seronoknya Bercakap Sarawak” merupakan tema yang sesuai diketengahkan dalam memberikan pendedahan kepada masyarakat umum tentang keunikan bahasa pertuturan masyarakat Sarawak.

Program yang menampilkan tiga orang pembicara pada sesi pembentangan sebelah pagi terdiri daripada Pensyarah Kanan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), iaitu YBrs. Prof. Madya Dr. Fatimah Haji Subet, YBrs. Dr. Haji Santrol Abdullah dan Pensyarah Institut Pendidikan Guru Tun Abdul Razak, YBrs. Dr. Ratna Wismawati Muhibah Yahya Sawek, manakala moderator ialah YBrs. Encik Ali Rashid.

Pada sebelah petang pula, program ini menampilkan tiga orang pembicara yang terdiri daripada YBrs. Encik Mohd Ali Salim, YBrs. Puan Coretta Herliana Kura dan YBrs.Encik Yahya Bakeri. Sesi tersebut dikendalikan oleh YBrs. Puan Dayang Norazan Kartini Pengiran Haji Zain.

Untuk rekod, Sarawak dihuni oleh 28 etnik, dengan etnik terbanyak ialah Iban dan diikuti oleh Cina, Melayu, Bidayuh, Melanau dan Orang Ulu.

Bumi Kenyalang juga diduduki oleh lebih daripada 40 kumpulan subetnik yang masing-masing mengamalkan budaya, gaya hidup dan menggunakan bahasa yang tersendiri.

Orang Ulu mempunyai lebih 20 etnik minoriti seperti Kenyah, Kayan, Kelabit, Lahanan, Kejaman dan Ukit. Selain itu, terdapat juga subetnik lain, iaitu Bisaya, Brunei, Bukitan, Kedayan, Klemantan, Lun Bawang, Penan, Punan, Sa’ba dan Selako.

Terdahulu, dalam program tersebut, Menteri Perpaduan Negara, iaitu YBhg. Dato Sri Aaron Ago Dagang berkata bahawa bahasa hubungan etnik yang harmonis juga menjadi penyumbang utama kepada pembentukan negara bangsa dan jati diri masyarakatnya. Hal ini jelas menunjukkan bahawa wujudnya sifat saling menerima dan menghormati dalam kalangan etnik dan subetnik yang pelbagai di Sarawak.

Menurut beliau, Sarawak boleh dianggap sebagai contoh terbaik tentang perpaduan dalam kepelbagaian. Begitu juga dengan cogan kata “Segulai Sejalai” yang bertepatan dengan wawasan Kerajaan Perpaduan untuk mengukuhkan keharmonian rakyat pelbagai kaum dan agama.

Beliau berkata demikian dalam majlis perasmian program bicara tersebut melalui teks ucapannya yang dibaca oleh Timbalan Ketua Setiausaha, Kementerian Perpaduan Negara, iaitu YBrs. Encik Mohamad Mat Daud di Hotel Pullman, Kuching, Sarawak.

Yang turut hadir dalam program tersebut ialah Ketua Pengarah Arkib Negara Malaysia, iaitu YBhg. Dato’ Ja’afar Sidek Haji Abdul Rahman, Pengarah DBP Cawangan Sarawak,  iaitu YBrs. Encik Abang Haliman Haji Abang Julai, Pengarah ANM Negeri Sarawak, iaitu YBrs. Encik Ladoh Anak Mejus, dan ketua-ketua kaum dan masyarakat sekitar Kuching.

Para tetamu kehormat melawat Pameran tentang Za’ba.
Pengarah DBP Cawangan Sarawak menyampaikan cenderamata kepada tetamu kehormat.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.