10 November 2023, 08:47

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Bangi – Kajian korpus komunikasi perantaraan komputer (CMC) amat penting kerana media sosial seperti Telegram, WhatsApp, Facebook, Twitter dan Instagram telah mendominasi komunikasi dalam kalangan penutur masa ini.

Demikian antara inti pati ucapan Pensyarah Kuliyyah Bahasa dan Pengurusan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), YBrs. Prof. Madya Dr. Faridah Nadzir ketika memulakan sesi Wacana MAAL Siri 1, dengan membentangkan kajian beliau yang bertajuk “Kajian Korpus Bahasa Melayu Komunikasi Perantaraan Komputer”.

Tambahnya lagi, kajian korpus tentang bentuk penggunaan CMC ini amat diperlukan sebagai rujukan atau untuk mengelak penggunaan bahasa yang tidak tepat.

Dapatan korpus bahasa CMC yang dijalankan mendapati bahawa adanya campur kod, alih kod, akronim, slanga, singkatan dan perkataan yang menyerupai sebutan lisan, ejaan yang dicipta khusus untuk CMC dan unsur paralinguistik.

Menurut beliau, berdasarkan kajian ini, hanya lapan daripada 13 ciri bahasa yang terdapat di dalam kumpulan Telegram, iaitu campur kod, alih kod, akronim, slanga, lisan dan ejaan yang dicipta khusus untuk CMC, dan unsur paralinguistik, iaitu isyarat mimik muka yang dilambangkan oleh emoji.

Selain beliau, tiga orang pensyarah lain turut membentangkan hasil kajian mereka dalam wacana yang bersiaran langsung secara dalam talian melalui aplikasi Zoom dengan YBrs. Dr. Nurul Jamilah Rosly dari Kuliyyah Bahasa dan Pengurusan, UIAM, yang bertindak selaku moderator.

Pembentangan kajian yang seterusnya ialah daripada pensyarah Fakulti Bahasa dan Budaya Asia, Universiti Pengajian Asing Guangdong, iaitu YBrs. Prof. Madya Dr. Li Wanjun yang bertajuk “Kajian Projek CATP NSSFC Bahasa-bahasa Asia Tenggara di China”.

Beliau memulakan pembentangannya dengan menjelaskan definisi National Social Science Fund of China (NSSFC), iaitu dana akademik tertinggi pada peringkat negara yang diakui umum oleh ahli-ahli sains sosial di China.

Menurut beliau, kelulusan sesebuah projek NSSFC dalam kerjaya akademik seseorang sarjana China bererti satu peluang promosi dan peluang untuk memegang jawatan akademik jangka panjang seperti profesor madya atau profesor.

Menurut beliau, CATP ialah kategori NSSFC yang berkembang paling pesat yang pada mulanya buku-buku hanya diterjemahkan kepada bahasa popular sahaja. Antaranya termasuklah bahasa Inggeris, Arab, Perancis dan Sepanyol.

“Walau bagaimanapun, perubahan mula berlaku pada tahun 2020 apabila projek-projek CATP bahasa-bahasa Asia Tenggara diwujudkan dengan 10 permohonan telah diluluskan,” jelasnya.

Katanya, biar pun begitu, projek-projek tersebut masih kecil dan hanya ada satu projek projek CATP dalam bahasa Melayu.

Pensyarah Jabatan Bahasa dan Pendidikan Literasi, Universiti Malaya, iaitu YBrs. Dr. Simah Mamat pula menyambung sesi wacana dengan membentangkan kajiannya bersama dengan pensyarah Institut Pendidikan Guru Kampus Tengku Ampuan Afzan, Kuala Lipis, Pahang, iaitu YBrs. Dr. Nor Asiah Ismail yang bertajuk “Penggunaan Korpus dalam Aspek Pembentukan Makna Simpulan Bahasa ‘Kepala’”.

Beliau berkata, kajian tersebut penting sebagai strategi baharu menganalisis peribahasa, panduan pembentukan simpulan bahasa dan melestarikan penggunaaan simpulan bahasa dalam komunikasi menggunakan korpus.

Kajian tersebut menggunakan data korpus daripada dua sumber, iaitu pengkalan data Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Malay Concordane Project (MCP) yang dirasakan wajar kerana cakupannya yang meluas dan menyediakan sejumlah data yang relevan.

Menurut beliau, kajian juga mendapati bahawa pola pemikiran kompleks orang Melayu dalam simpulan bahasa “Kepala angin” berdasarkan korpus ialah ciri perubahan gerakan angin sama dengan sifat bodoh manusia sementara kepala batu pula merujuk sifat fizikal batu seperti sifat degil manusia.

Kesimpulan yang boleh didapati daripada kajian tersebut ialah pengkaji bahasa mempunyai alternatif baharu kajian pelbagai makna yang menyeluruh berdasarkan korpus dan masyarakat pula akan menghargai nilai atau budaya pemikiran bangsa Melayu berpandukan korpus linguistik serta prinsip pembentukan simpulan bahasa dapat dihasilkan berpandukan kosa kata dalam korpus linguistik.

Pembentangan terakhir dalam wacana tersebut ialah daripada pensyarah Jabatan Pengajian Melayu, Universiti Nasional Singapura, YBrs. Dr. Azhar Ibrahim Alwee dengan tajuk kajiannya, “Bahasa Agama dan Pemberdayaan Fikiran: Menjenguk Bahasan Komaruddin Hidayat & Dorothee Soelle”.

Menurut beliau, Komaruddin Hidayat membutirkan tiga ragam bahasa agama yang juga mengarah kepada tiga jenis wacana yang terbangun, iaitu bahasa metafis tentang Tuhan, bahasa kitab suci dan bahasa ritual keagamaan.

Tambahnya, sebagai ilmuwan Islam dalam bidang tafsiran dan penilaian korpus agama, Komaruddin Hidayat dengan tegasnya berkata, “Dalam bahasa agama, kita tidak boleh taklid, iaitu menerima kebenaran tanpa sikap kritis.”

Sementara itu, katanya, Dorothee Soelle, seorang teolog– aktivis perempuan yang giat melawan pembelengguan dan bersungguh merungkaikan ideologi yang menjerat cara berfikir serta bertindak termasuklah berbahasa.

Tambah beliau, bagi Soelle, bahasa agama juga tidak terlepas daripada cengkaman isme-isme yang mendominasi yang akan menyebabkan roh, nilai dan anjuran agama tidak akan terangkat dan tersempurna apabila bahasa tersebut turut terpengaruh.

Beliau merumuskan bahawa bahasa agama bukan sahaja boleh mewarnai dan memperkaya korpus bahasa bahkan menambah baik fikiran, iman dan kewujudan kita.

Pada pukul 11.00 pagi semalam, Persatuan Linguistik Gunaan Malaysia atau Malaysian Association of Applied Linguistics (MAAL) telah menganjurkan Wacana MAAL Siri 1 yang bertemakan “Kajian Korpus dan Praktis Sosiolinguistik Melayu”. Wacana ini merupakan satu daripada usaha MAAL untuk mengembangkan bakat terpendam para pensyarah dan pengkaji bahasa.

Wacana MAAL Siri 1 bertemakan “Kajian Korpus dan Praktis Sosiolinguistik Melayu” berlangsung semalam menerusi aplikasi Zoom.
Pensyarah dari Fakulti Bahasa dan Budaya Asia, Universiti Pengajian Asing Guangdong, YBrs. Prof. Madya Dr. Li Wanjun sedang membentangkan kajian beliau yang bertajuk “Kajian Projek CATP NSSFC Bahasa-bahasa Asia Tenggara di China”.
Pensyarah Jabatan Pengajian Melayu, Universiti Nasional Singapura, YBrs. Dr. Azhar Ibrahim Alwee semasa membentangkan tajuk kajiannya, “Bahasa Agama dan Pemberdayaan Fikiran: Menjenguk Bahasan Komaruddin Hidayat & Dorothee Soelle”.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.