11 November 2023, 11:58

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Jurufoto: Mohd Farid Janudin

Kuala Lumpur Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada pagi ini dipenuhi dengan para tetamu untuk sesi bicara ilmu oleh lima orang tokoh yang dipertemukan dalam Sesi I: Silang Budaya Rukun Harmoni menerusi Seminar Bahasa Tonggak Perpaduan “Bahasa Jiwa Bangsa”.

Sesi ini dikendalikan oleh Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami Jahari selaku moderator, serta menampilkan empat orang ahli panel, iaitu Ahli Parlimen Ipoh Timur, Perak, YB Howard Lee Chuan How; Ahli Parlimen Pasir Mas, Kelantan, YB Ahmad Fadhli Shaari; Pengerusi Yayasan Khayr Ummah Antarabangsa, YBhg. Dato’ Dr. Fathul Bari Mat Jahya; dan Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, YBhg. SN Dato’ Dr. Mohd. Anuar Rethwan.

Sesi I: Silang Budaya Rukun Harmoni menerusi Seminar Bahasa Tonggak Perpaduan “Bahasa Jiwa Bangsa” yang diadakan di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma DBP dikendalikan oleh Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami Jahari (kiri) selaku moderator.
YB Howard Lee Chuan How, Ahli Parlimen Ipoh Timur, Perak.

Dengan menggunakan analogi bahan yang pelbagai untuk menghasilkan masakan yang lazat adalah sama keadaannya dalam mewujudkan bangsa Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum dan etnik yang diharmonikan oleh bahasa kebangsaan merupakan mukadimah yang disampaikan oleh YB Howard Lee Chuan How dalam program itu amat menarik untuk difahami dan dihayati.

Beliau turut menyatakan bahawa harmoni itu ialah satu penggembelengan faktor yang berasingan dan dihimpunkan untuk menjadi lebih elok ke arah kesempurnaan. Hal ini melambangkan etnik yang pelbagai diharmonikan dan dipadukan oleh bahasa kebangsaan.

YB Ahmad Fadhli Shaari, Ahli Parlimen Pasir Mas, Kelantan.

Sementara itu, YB Ahmad Fadhli Shaari turut senada dalam pendiriannya yang berkaitan dengan bahasa dan menekankan bahawa rakyat Malaysia mestilah memiliki sikap untuk menerima kepelbagaian yang terdapat di negara ini sebagai satu kekuatan.

DBP telah berjaya melaksanakan fungsinya dalam mempromosikan bahasa dan sastera, khususnya menerusi medium digital dan media sosial. Misalnya, pantun yang dikongsikan walaupun nampak mudah, namun memberikan kesan yang besar terhadap kesedaran dan kecintaan terhadap bahasa.

Pengerusi Yayasan Khayr Ummah Antarabangsa, YBhg. Dato’ Dr. Fathul Bari Mat Jahya.

Seterusnya, YBhg. Dato’ Dr. Fathul Bari Mat Jahya pula menyatakan harapannya agar semua pihak haruslah memberikan sokongan dalam merealisasikan bahasa sebagai bahasa perpaduan rakyat di negara ini dengan memahami dan menghayati prinsip sesebuah negara yang memiliki kemajmukan dan kepelbagaian.

Beliau berpandangan bahawa rakyat di negara ini tidak seharusnya bertindak terhadap sesuatu perkara seperti seolah-olah tidak menerima prinsip Rukun Negara termasuklah dalam menghormati bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Dalam konteks ini, prinsip meraikan kepelbagaian dalam sesebuah negara itu mengandungi hikmah dalam silang budaya yang membentuk suasana harmoni dan tolenrasi.

Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, YBhg. Dato’ Dr. Mohd. Anuar Rethwan.

Pada sesi akhir program tersebut, YBhg. Dato’ Dr. Mohd. Anuar Rethwan mendedahkan bahawa elemen keharmonian perpaduan di negara ini banyak dirakam dalam karya sastera tempatan, misalnya karya Interlok oleh Sasterawan Negara, Abdullah Hussain.

Beliau juga berkongsikan pengamatan oleh Sasterawan Negara, Profesor Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh tentang sastera yang merupakan suatu ucapan penting bagi manusia yang tumbuh daripada bahasa dan keperluan untuk menyampaikan maknanya kepada khalayak.

Keharmonian yang terakam dalam karya seseorang penulis itu akan terus hidup dan mengukuhkan keharmonian dalam meraikan silang budaya.

Beliau juga yakin bahawa penggubalan Akta DBP bakal menemukan kejayaan dengan mendapat sokongan daripada semua pihak yang bersemangat dalam memartabatkan bahasa kebangsaan.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.