15 November 2023, 09:48

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Pada dasarnya, perkataan audit dari segi bahasa didefinisikan sebagai pemeriksaan dan pengesahan kira-kira, manakala definisi pengauditan pula merupakan pemeriksaan dan pengesahan kira-kira (akaun) menurut Kamus Dewan Edisi Keempat. Oleh itu, definisi perkataan audit dalam dunia audit bahasa dan pengauditan bahasa pula merupakan aktiviti pemeriksaan dan penggunaan bahasa dalam kalangan kakitangan kerajaan dan sektor awam. 

Hasilnya, perkara yang paling konvensional yang menjadi perhatian untuk diaudit oleh pasukan khas lantikan kerajaan berkaitan dengan aspek pengurusan kewangan yang menekankan integriti, kepemimpinan dan akauntabiliti sektor awam di Malaysia. Demikianlah menurut Muhammad Nizam dalam artikelnya yang bertajuk  “Audit Bahasa Bangsa”.

Senario Penggunaan Bahasa Kebangsaan dalam Sektor Perkhidmatan Awam

Secara umumnya, dalam mengukur sejauh manakah sesebuah agensi kerajaan mematuhi sesuatu prosedur kewangan, kewujudan akta, pekeliling dan bentuk punca kuasa akan dijadikan sumber rujukan dalam sebarang program pengauditan.

Demikian juga dengan senario pengauditan kewangan yang sentiasa menjadi penilaian orang ramai dan para pembayar cukai kepada negara. Namun demikian, apakah pula yang berlaku dalam senario penggunaan bahasa kebangsaan dalam sektor awam?

Oleh itu, langkah meningkatkan mutu penggunaan bahasa Melayu yang mencerminkan kredibiliti sektor perkhidmatan awam memerlukan komitmen kerajaan dalam meneruskan keberkesanan Program Audit Bahasa Melayu (ABM).

Oleh itu, jelaslah bahawa komitmen kerajaan bersama-sama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) melaksanakan Program ABM merupakan pendekatan untuk mengukuhkan tahap kesedaran penggunaan bahasa kebangsaan dan mutu penggunaan bahasa Melayu dalam sektor kerajaan (Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 1 Tahun 2020: Pemerkasaan Penggunaan Bahasa Kebangsaan dalam Perkhidmatan Awam, 2020: 1).

Menurut Nik Safiah Karim dalam buku Bahasa Melayu STPM Kertas 1 dan Kertas 2,  kedudukan dan keunggulan bahasa Melayu di Malaysia merupakan medium rasmi komunikasi kerajaan sejak Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957, dan penubuhan negara Malaysia pada 16 September 1963.

Selain itu, keunggulan nilai ekonomi bahasa Melayu terbukti dalam bidang pemerintahan, pentadbiran, pendidikan, perundangan, perdagangan, selain digunakan dalam urusan rasmi kerajaan di peringkat negara.

Kenyataan beliau turut disokong oleh Muhammad Nizam menerusi ruangan Minda, Harian Metro. Tegasnya, kedudukan dan keunggulan bahasa Melayu dalam sektor awam terserlah menerusi kepentingan dan kedudukan bahasa Melayu dalam penguatkuasaan syarat wajib memperoleh gred cemerlang dan kepujian bagi mata pelajaran Bahasa Melayu dalam peperiksaan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) untuk permohonan sebarang jawatan dalam sektor awam.

Mutu penggunaan bahasa Melayu dalam kalangan penjawat awam juga masih perlu diperbaik. Sehubungan dengan itu, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mengeluarkan Pekeliling Bilangan 9 Tahun 2011 yang bertajuk Panduan Penggunaan Bahasa Kebangsaan dalam Perkhidmatan Awam (2011) atas kesedaran untuk memartabatkan bahasa Melayu dalam sektor awam.

Namun begitu, menurut Nik Safiah Karim, satu surat pekeliling am telah diedarkan pada tahun 2006 kepada semua jabatan kerajaan agar membentuk langkah untuk memartabatkan bahasa Melayu dalam sektor awam. Tegasnya, kedua-dua pekeliling tersebut telah meletakkan DBP sebagai rujukan tertinggi berhubung dengan ketepatan mutu penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Terdapat banyak elemen bahasa yang perlu ditambah baik dalam sektor awam. Hal ini demikian jelas terbukti berdasarkan penulisan surat rasmi yang menunjukkan segelintir pegawai yang keliru dalam penggunaan istilah, frasa tertentu dan penggunaan kata panggilan hormat yang sesuai digunakan kepada pegawai kanan di gred tertentu yang digelar sebagai “Datuk” dan “Dato” (Muhammad Nizam). Hakikatnya, inilah realiti dan cabaran dalam menjadikan peranan dan kepentingan bahasa Melayu sebagai bahasa komunikasi rasmi dalam sektor awam.

Penggunaan bahasa rojak dalam sesi mesyuarat juga merupakan fenomena biasa dalam kalangan penjawat awam, selain menimbulkan situasi seorang pegawai menterjemahkan sesuatu istilah, frasa, perkataan, ayat dan laporan dalam bahasa Inggeris ke bahasa Melayu.

Akhirnya, situasi ini merosakkan penggunaan bahasa Melayu dalam sektor awam. Jelaslah bahawa peranan DBP sememangnya memiliki punca kuasa dan menjadi pusat rujukan utama dalam aspek bahasa dan kebahasaan.

Dalam buku Tatabahasa Dewan, Nik Safiah Karim turut mengatakan bahawa peranan DBP dalam penggubalan istilah yang digunakan dalam sektor awam telah berjaya menerbitkan pelbagai buku glosari dalam pelbagai disiplin ilmu yang menjadi rujukan rakyat Malaysia dan penjawat sektor awam.

Namun begitu, disebabkan segelintir rakyat Malaysia tidak menggunakan bahasa Melayu dengan tepat, maka penerbitan pelbagai kamus dan glosari menjadi perhiasan rak buku di perpustakaan atau di kedai buku.

Pelaksanaan Program Audit Bahasa Melayu

Pada asasnya, format dan skop pengauditan bahasa di jabatan kerajaan telah bermula di beberapa bahagian di Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) pada pertengahan tahun 2012 sebagai perintis Program Audit Bahasa Melayu (ABM).

Selain itu, pelaksanaan ini bermula pada tahun 2012 telah dilaksanakan dalam bentuk situasi menang-menang atau win-win situation melibatkan DBP sebagai pihak pengaudit dan pihak auditee, iaitu jabatan kerajaan telah menerima manfaat menerusi hasil pelaksanaan audit bahasa.

Kementerian dan jabatan kerajaan telah mempunyai pengalaman mengendalikan program pemeriksaan sistem penarafan bintang dan penarafan audit kewangan sebagai mekanisme pengurusan jabatan kerajaan yang lebih efisien.

Oleh itu, pelaksanaan pelbagai instrumen audit bahasa tidak akan bertindih dengan pelbagai jenis program pengauditan yang sudah berlangsung. Hasilnya, projek perintis audit bahasa yang dilaksanakan di JPA telah menjadi medan percubaan untuk diperluas ke semua kementerian dan jabatan lain dalam sektor awam.

Penempatan Pegawai Perancang Bahasa

Langkah menempatkan seorang Pegawai Perancang Bahasa yang memiliki sekurang-kurangnya gred S41 di setiap kementerian merupakan langkah proaktif kerajaan ke arah memantapkan penggunaan bahasa kebangsaan.

Hasilnya kini, para pegawai tersebut telah ditempatkan di DBP. Oleh itu, kedudukan dan kredibiliti pegawai tersebut sebagai golongan penjawat awam yang berkepakaran luas dalam bidang bahasa seharusnya diperkembang di luar DBP.

Penempatan pegawai tersebut di setiap jabatan dalam sektor awam dan swasta diharapkan memberikan kesan terbaik dalam usaha memartabatkan bahasa kebangsaan dalam sektor awam.

Secara keseluruhannya, langkah memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa jiwa bangsa menerusi Program ABM untuk seluruh warga sektor awam selama 11 tahun telah mencipta satu sejarah penting dalam sejarah dunia bahasa Melayu di Malaysia.

OIeh itu, harapan yang tinggi terus dizahirkan agar misi audit bahasa terus dilaksanakan ketika era Malaysia MADANI kini sebagai satu landasan untuk memperkenalkan cara penggunaan bahasa Melayu yang betul demi mendaulatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan di Malaysia.

 

 

 

 

 

 

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.