Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangAyat pasif merupakan ayat transformasi yang terbit daripada ayat aktif yang mengalami proses penyusunan semula. Terdapat tiga jenis ayat pasif, iaitu ayat pasif yang mengandungi imbuhan kata kerja pasif, kata pasif semu bagi pelaku kata ganti nama diri orang pertama dan pelaku kata ganti nama diri orang kedua, dan ayat pasif dengan kata kena.
Umum mengetahui bahawa imbuhan kata kerja pasif meliputi awalan di-, teR-, beR- dan apitan ke-…-an. Namun demikian, imbuhan kata pasif sebenarnya bukan setakat empat imbuhan tersebut.
Awalan di- ditambah pada kata kerja dalam ayat pasif yang melibatkan kata ganti nama diri orang ketiga atau perkara selain kata ganti nama diri pertama dan kedua. Sila lihat contoh yang berikut:
1a. Rumah itu telah dicat oleh Ali
1b. Gulai dimasak olehnya.
1c. Tanah tebing dihakis oleh arus sungai.
2a. Rumah itu telah dicat Ali.
2b. Rumah itu telah dicat.
Dalam kelompok ayat 1, terdapat awalan pasif di- pada kata kerja pasif dicat, dimasak dan dihakis. Dalam ayat 2a, kata sendi nama oleh dalam ayat 1a digugurkan, dan dalam ayat 2b, kata sendi nama oleh dan pelaku Ali dalam ayat 1a digugurkan. Pengguguran oleh atau oleh +Ali tidak mengubah ayat 2a dan 2b berbanding dengan ayat 1a.
3a. Batu yang besar itu terangkat olehnya.
3b. *Batu yang besar itu terangkatnya.
3c. *Batu yang besar itu terangkat.
4a. Makanan terhidang olehnya.
4b. Makanan terhidang.
Dalam kelompok ayat 3 dan 4, terdapat awalan pasif teR- pada kata kerja terangkat dan terhidang. Bagi kata kerja pasif terangkat dalam kelompok ayat 3, kata sendi nama oleh atau sendi nama oleh dengan pelaku seperti -nya tidak boleh digugurkan. Ayat 3b tidak logik, manakala maksud ayat 3c tergantung. Bagi kata kerja pasif terhidang dalam kelompok ayat 4 pula, kata sendi nama oleh dan pelaku seperti -nya biasanya digugurkan, tanpa menjejaskan maksud ayat yang berkenaan.
5a. Pintu bilik belum berkunci olehnya.
5b. Pintu rumah belum berkunci.
Dalam kelompok ayat 5, terdapat awalan pasif beR- pada kata kerja pasif berkunci. Dalam hal ini, biasanya kata sendi nama oleh dan pelaku seperti -nya digugurkan.
6a. Dia kesejukan oleh hujan.
6b. Dia kesejukan.
7a. Rumahnya kecurian oleh orang jahat.
7b. Rumahnya kecurian.
9a. Dia kehilangan banyak wang.
9b. *Dia kehilangan.
Dalam ayat 6a, apitan pasif ke-…-an terdapat pada kata kerja pasif kesejukan. Biasanya kata sendi nama oleh dan faktor penyebab seperti hujan digugurkan. Dalam ayat 7a, apitan pasif ke-…-an terdapat pada kata kerja pasif kecurian. Maksud kata kecurian ialah “dilanda pencerobohan atau kecurian”. Biasanya kata sendi nama oleh dan pelaku seperti orang jahat digugurkan. Dalam ayat 8, apitan pasif ke-…-an terdapat pada kata kerja pasif kehujanan. Dalam hal ini, faktor penyebab hujan sudah dinyatakan dalam kata kerja pasif tersebut. Dalam ayat 9a, apitan pasif ke-…-an terdapat pada kata kerja pasif kehilangan. Dalam hal ini, kata nama atau frasa nama pelengkap seperti banyak wang harus dinyatakan. Kalau tidak, ayat yang terbina tidak lengkap maksudnya (lihat ayat 9b).
Selain imbuhan pasif di-, teR-, beR- dan ke-…-an, sebenarnya terdapat sejumlah imbuhan pasif yang lain. Sila lihat contoh yang berikut:
10a. Dia diperalat oleh sindiket itu.
10b. Rumahnya diperbesar olehnya.
10d. Banyak keuntungan diperoleh oleh syarikat itu.
Dalam kelompok ayat 10, terdapat awalan pasif dipeR- pada kata kerja pasif diperalat, terperbesar dan diperoleh. Dalam hal ini, kata dasar alat ialah kata nama, kata dasar besar ialah kata adjektif, dan kata dasar oleh ialah kata tugas. Dalam ayat 11, terdapat awalan pasif terpeR– pada kata kerja pasif terperdaya.
12a. Kesilapan itu telah dibetulkan.
12b. Semua syaratnya telah dipenuhi.
Dalam ayat 12a, terdapat apitan pasif di-…-kan pada kata kerja pasif dibetulkan. Dalam ayat 12b, terdapat awalan pasif di-…-i pada kata kerja pasif dipenuhi. Bagi kelompok ayat 12, kata sendi nama oleh dan pelaku bersifat opsyenal.
13a. Penyelesaian bagi masalahnya tidak terbayangkan olehnya
13b. Masalah itu tidak teratasi olehnya.
Dalam ayat 13a, terdapat apitan pasif teR-…-kan pada kata kerja pasif terbayangkan. Dalam ayat 13b, terdapat awalan pasif teR-…-i pada kata kerja pasif teratasi.
14a. Ali diperisterikan dengan kekasih lamanya.
14b. Anggota keselamatan perlu dipersenjatai selengkapnya.
Dalam ayat 14a, terdapat apitan pasif dipeR-…-kan pada kata kerja pasif diperisterikan. Dalam ayat 14b, terdapat awalan pasif dipeR-…-i pada kata kerja pasif dipersenjatai. Bagi kelompok ayat 14, kata sendi nama oleh dan pelaku bersifat opsyenal.
Sebagai kesimpulannya, terdapat 12 imbuhan pasif, seperti yang berikut:
Imbuhan | Jenis Imbuhan | Jenis Morfem Terikat (MT) | |||
Awalan | Apitan | MT Satuan | MT Terbahagi | MT Kompleks | |
di- | √ | √ | |||
teR- | √ | √ | |||
beR- | √ | √ | |||
dipeR- | √ | √ | |||
terpeR- | √ | √ | |||
ke-…-an | √ | √ | |||
di-…-kan | √ | √ | |||
di-…-i | √ | √ | |||
teR-…-kan | √ | √ | |||
teR-…-i | √ | √ | |||
dipeR-…-kan | √ | √ | |||
dipeR-…-i | √ | √ |