16 November 2023, 10:19

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Nilai – Tulisan Jawi yang merupakan khazanah dan warisan orang Melayu dilihat semakin terpinggir dalam kehidupan masyarakat pada zaman ini. Dalam usaha untuk terus tidak membiarkan tulisan ini hilang dan pupus, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Wilayah Tengah dan Perpustakaan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), telah bekerjasama menganjurkan Forum “Jawi: Alif Ya Mim…Buaya” di Pentas Ruknu Arabi, Lobi Perpustakaan, USIM semalam.

Forum yang berlangsung selama lebih kurang dua jam tersebut menampilkan dua orang ahli panel, iaitu Pensyarah Universiti Putra Malaysia (UPM), iaitu  YBrs. Prof. Madya Dr. Amini Amir Abdullah dan Pensyarah USIM, YBrs. Dr. Mashitah Sulaiman. Sementara itu, Penolong Pendaftaran USIM, YBrs. Tuan Mohd Zaini Othman pula bertindak selaku moderator forum.

Menurut YBrs. Prof. Madya Dr. Amini Amir Abdullah, orang Melayu kini telah melupakan satu daripada warisan dan tradisi penting yang berada dalam tamadun Melayu, iaitu tulisan Jawi. P. Ramlee sendiri telah memfokuskan kepentingan mempelajari tulisan Jawi dalam satu daripada adegan filem arahannya, iaitu Pendekar Bujang Lapok.

Sebenarnya tulisan Jawi boleh dikuasai sekiranya seseorang itu mengaji al-Quran kerana huruf-huruf dalam tulisan tersebut hanya ditambah enam huruf lain dan selebihnya adalah sama sebagaimana yang terdapat dalam al-Quran.

Beliau menjelaskan bahawa penjajah pada zaman dahulu mempelajari dan menggunakan elemen tulisan Jawi dalam sistem pemerintahan sebagai usaha mereka untuk mendekati para pembesar Melayu.

Selepas kemerdekaan, tulisan ini tidak diberi tumpuan dan perhatian sehingga boleh dikatakan kadar celik Jawi di negara kita adalah rendah dengan 85 peratus daripadanya tidak celik Jawi.

Katanya, dalam usaha untuk memperkasakan dan mendaulatkan tulisan ini, sewajarnya perlu ada political will daripada pihak pemerintah selain beberapa inisiatif seperti turut mendefinisikan kadar buta huruf Malaysia bukan sekadar tidak tahu membaca tulisan Rumi, bahkan tulisan Jawi.

Para ibu bapa juga perlu mengambil inisiatif dengan menyediakan bahan bacaan Jawi dan pihak kerajaan boleh menekankan penggunaan tulisan Jawi dalam papan-papan iklan sebagai contohnya.

Tambahnya, usaha beberapa kerajaan negeri seperti Kelantan, Terengganu dan Pahang yang menguatkuasakan peraturan wajib meletakkan tulisan Jawi pada papan tanda boleh dicontohi oleh negeri lain.

Selain itu, semua peringkat peperiksaan perlu mempunyai peperiksaan yang berkaitan dengan tulisan Jawi kerana secara tidak langsung para pelajar akan cuba belajar untuk menguasainya walaupun sekadar untuk lulus semata-mata. Tulisan Jawi juga boleh dijadikan sebagai subjek elektif pada peringkat universiti.

Menurut beliau, mempelajari dan menguasai tulisan Jawi penting kerana banyak manuskrip Melayu lama yang berada di Eropah Barat, contohnya dalam tulisan Jawi.

Katanya, orang luar berminat untuk mempelajari dan mendalami tulisan Jawi kerana banyak ilmu yang terkandung dalam manuskrip Melayu lama yang berada di seluruh dunia tetapi kita sendiri tidak pernah mempertahankan dan mendaulatkan sistem tulisan identiti kita sendiri.

Sementara itu, menurut Pensyarah USIM, YBrs. Dr. Mashitah Sulaiman, apabila ibu bapa mengajar anak-anak mereka al-Quran, secara tidak langsung mereka mengenal huruf-huruf hijaiyah yang ada dalam tulisan Jawi yang seterusnya membantu memudahkan anak-anak mempelajari tulisan Jawi.

Pendidikan Jawi bermula dari rumah dengan ibu bapa menyediakan bahan bacaan Jawi kepada anak masing-masing sebagaimana mereka berlumba-lumba untuk memahirkan kemahiran anak-anak mereka berbahasa Inggeris.

Menurut beliau, kemerosotan dalam penguasaan tulisan Jawi selepas termaktubnya Akta Bahasa Kebangsaan 1967 menyebabkan segala buku teks menggunakan tulisan Rumi.

Katanya, ibu bapa boleh menjadi pengajar Jawi kepada anak-anak dan jika tidak mampu, mereka boleh menjadi penggalak kepada anak masing-masing dengan membeli banyak bahan bacaan bertulisan Jawi.

Terdapat banyak manuskrip Melayu lama di seluruh dunia terutamanya di Eropah Barat yang bertulisan Jawi yang perlu dikaji dan diterokai oleh kita tetapi sayangnya kebanyakan kita tidak berminat untuk menggalakkan anak masing-masing menguasai tulisan ini kerana tulisan Jawi dikatakan tiada nilai komersial.

Tambahnya lagi, usaha untuk terus mendaulatkan tulisan Jawi seperti Kempen Hari Jumaat Hari Jawi yang bermula pada tahun 2020 perlu diteruskan dan disemarakkan dari semasa ke semasa.

Kedua-dua ahli panel tersebut turut berpendapat bahawa usaha mempertahankan dan memperkasakan tulisan Jawi memerlukan komitmen semua pihak terutamanya political will daripada parti yang memerintah.

Demikianlah perbincangan dan penjelasan yang berkaitan dengan isu seputar tulisan Jawi di Malaysia melalui forum yang turut disiarkan secara dalam talian melalui Facebook DBP, portal JendelaDBP dan USIMTV.

Barisan ahli panel bersama-sama moderator ketika forum berlangsung pagi semalam.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.