16 November 2023, 14:59

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Sejak belakangan ini, di sekitar Kuala Kangsar yang merangkumi bangunan restoran terkemuka, papan tanda dan nama jalan telah dihiasi dengan tulisan Jawi sebagai langkah membudayakan semula tulisan tradisi berkenaan. Majlis Perbandaran Kuala Kangsar (MPKK) sebagai pihak yang terbabit dilihat semakin mengorak langkah bagi menjayakan pembudayaan tulisan Jawi, khususnya di pusat bandar.

Terdapat banyak maklum balas positif daripada pengendali premis komersial di daerah ini berhubung dengan langkah yang diambil oleh MPKK. Walau bagaimanapun, tiada paksaan atau tindakan penguatkuasaan dikenakan terhadap mereka yang tidak mahu kerana setakat ini MPKK hanya menggalakkan pelaksanaan ke arah itu.

Yang Dipertua MPKK, Encik Zulqarnain Mohamad memberitahu bahawa pihaknya menerima banyak maklum balas positif daripada pengendali premis komersial di daerah ini berhubung dengan langkah diambil oleh pihaknya. MPKK, jelas Zulqurnain, lebih kepada menggalakkan serta mengadakan perbincangan dengan pemilik premis tertentu dan mendapat sambutan baik.

“Telah banyak nama jalan di Kuala Kangsar yang MPKK ketengahkan menggunakan tulisan Jawi, malah ada sebilangan premis yang terkemuka akan turut menggunakan tulisan berkenaan,” tambah Zulqarnain.

Menurut beliau, pembudayaan semula tulisan Jawi bukanlah sesuatu yang aneh kerana tulisan tersebut diguna pakai oleh kolonial British untuk menulis surat rasmi kepada Raja-Raja Melayu pada suatu ketika dahulu.

“Taraf Kuala Kangsar sebagai Bandar Diraja Perak yang umum dikenali dengan tradisi budaya serta warisan tersendiri sudah tentu amat layak membudayakan semula tulisan terbabit,” ujar Zulqarnain.

Tulisan Jawi, tegas beliau, tidak aneh walaupun ada beberapa pihak mengaitkannya dengan unsur keagamaan. Memang tiada paksaan dalam agama, malah di negara lain seperti Lubnan misalnya, gereja penganut Kristian pun menggunakan tulisan Arab.

Antara premis yang turut menyahut seruan MPKK dalam pemartabatan tulisan Jawi ini termasuklah Kampung Warisan Budaya (KWB) yang terletak di Karai, kira-kira lapan kilometer dari Bandar Diraja Kuala Kangsar, melalui Jalan Persekutuan menghala ke Ipoh.

KWB tersergam menarik berhampiran dengan Sungai Perak, dan Jambatan Victoria, Enggor, Kuala Kangsar. “Perkampungan ciptaan” ini terhasil daripada kerjasama antara syarikat anak jati Karai, iaitu MZH Development Sdn. Bhd. sebagai pemaju dengan Persatuan Pencinta Seni Bina Melayu (PPSBM) sebagai pengguna dan D’Village pula seabagai operatornya. MZH ialah singkatan bagi nama pemilik syarikat pemaju tersebut, iaitu Tuan Haji Mior Zawari Hassan, seorang mantan jurutera bertauliah.

Antara tujuan pembinaan KWB termasuklah untuk menambah produk pelancongan di Karai, serta mengambil peluang atas pertambahan jumlah pelancong yang datang melawat Jambatan Victoria, selain membantu meningkatkan taraf sosio ekonomi penduduk setempat.

KWB merupakan sebuah kompleks warisan seni bina yang menempatkan 11 buah replika rumah tradisional Melayu yang terdapat di Semenanjung Tanah Melayu pada suatu ketika dahulu. Justeru, tiada replika rumah tradisional Kuala Lumpur kerana masih belum wujud ketika itu.

Oleh itu, warisan yang begitu unik dan mengagumkan ini perlu ditonjolkan agar generasi baharu dapat memahaminya dan supaya kelestarian berkenaan kekal di sepanjang zaman.

Dalam menyahut seruan MPKK untuk memartabatkan tulisan Jawi, MZH Development Sdn. Bhd. turut menyertakan ejaan nama setiap negeri dalam tulisan tersebut walaupun lebih kecil berbanding tulisan Rumi. Yang penting, ada sambutan, serta sokongan dan minat yang wajar disanjung serta dihargai kerana menunjukkan keprihatinan, dan semangat melestarikannya.

Walau bagaimanapun, semoga pihak pemaju KWB dapat menyertakan juga tulisan Jawi di bahagian hadapan premis berkenaan beriring dengan paparan Kampung Warisan Budaya dalam tulisan Rumi. Ada pengunjung yang turut berpendapat bahawa tulisan Jawi untuk nama setiap negeri pada rumah tradisional bersaiz besar, jika pun tidak dapat lebih besar.

KWB menerusi PPSBM juga mempunyai Galeri Warisan yang menempatkan bahan-bahan rujukan, serta maklumat tentang seni bina rumah tradisional Melayu, termasuklah model, peralatan, buku dan rencana.

Selain Galeri Warisan yang dibuka pada setiap hari dari pukul 9.00 pagi hingga pukul 5.00 petang, terdapat dua buah ruang yang boleh disewa oleh pihak swasta dan kerajaan, iaitu Anjung Budaya (berukuran 20 meter x 8 meter), dan Balai Nusantara (12 meter X 6.5 meter).

Kadar sewa Anjung Budaya untuk pihak swasta ialah RM800/8 jam sehari, sementara bagi pihak kerajaan pula RM400/8 jam sehari. Kadar sewa Balai Nusantara bagi pihak swasta ialah RM300/8 jam sehari, dan untuk pihak kerajaan pula RM250/8 jam sehari.

Kadar yuran dan tiket masuk bagi seorang pelawat KWB dan Galeri Warisan ialah RM3.00 bagi yang berumur tujuh tahun hingga 12 tahun, RM5.00 bagi yang berumur 13 tahun-18 tahun, RM10.00 untuk dewasa, serta percuma bagi mereka yang berusia tujuh tahun dan lebih 70 tahun, serta orang kelainan upaya (sila tunjuk MyKad, dan pemandu pelancong yang membawa kumpulan pelancong melebihi 10 orang). Bagi pelancong luar negara pula, kanak-kanak dikenakan bayaran RM10 seorang, dan dewasa RM20 seorang.

Kadar bayaran untuk satu malam menginap di replika rumah tradisional pula ialah RM800.00, iaitu rumah Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Melaka, Johor, Pahang, Kelantan dan Terengganu, manakala RM900.00 untuk rumah Negeri Sembilan kerana lebih besar.

Kampung Warisan Budaya mula dibuka kepada orang ramai pada 3 November lalu.

 

Kampung Warisan Budaya di Karai terletak berhampiran Jambatan Victoria, dan Sungai Perak.

 

Replika rumah tradisional negeri Perlis.
Replika rumah tradisional negeri Pulau Pinang.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.