17 November 2023, 15:31

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Jurufoto: Mohamad Adib Zulkifli

Cyberjaya  – “Peradaban adalah masyarakat manusia yang sopan dan halus perilaku dan penggunaan bahasa. Munculnya peradaban yang seperti ini mengambil masa yang lama melalui dua peringkat peradaban oleh Ibnu Khaldun yang dinamakan “umran” dan “tamaddun”. Kedua-dua peringkat itu dikaji bagi peradaban Melayu dengan menggunakan data yang jelas yang diperoleh daripada penyelidikan suku kaum yang baru keluar dari kehidupan sebagai pemburupengembara.”

Demikian antara inti pati syarahan yang disampaikan oleh YBhg. Prof. Emeritus Dato’ Dr. Hajah Asmah Haji Omar, tokoh linguistik, pakar nahu bahasa Melayu dan tokoh terkenal dalam bidang perancangan bahasa yang bertajuk “Peradaban dan Perkembangan Bahasa Melayu: Pendekatan Linguistik Sejarah” dalam siri Syarahan Raja Ali Haji (SRAH) kali ke-22.

Tambah beliau, data jenis kedua ialah sejarah Alam Melayu yang bermula dari abad ketujuh (Kerajaan Sriwijaya) hingga ke zaman JohorRiau. Penerapannya itu disebabkan adanya kesusasteraan klasik, dengan keindahan bahasanya, dan genre ini di antara teks Melayu yang paling awal yang diberi bentuk tulisan Jawi yang datang bersama dengan datangnya Islam ke Alam Melayu.

Sebagai contoh, tokoh yang mengutamakan kehalusan budi pekerti, seperti yang terdapat dalam semua karangannya ialah Raja Ali Haji. Bahasa Melayu tinggi dapat dilihat dalam karya Raja Ali Haji yang semuanya mengajak setiap pembaca mengambil akhlak yang baik dengan tutur kata yang halus.

Jelas beliau, bahasa Melayu tinggi bukan semata-mata bahasa saintifik. Dalam kemajuan yang dicapai dalam sistem pendidikan dan pencapaian tokoh-tokoh akademik negara hingga ke peringkat antarabangsa, perlu dipastikan bahawa bahasa tinggi ialah bahasa Melayu yang penuh adab dan sopan santun.

Janganlah kerana hendak ikut serta dalam kemajuan yang ada pada orang lain dalam hal bahasa, kita juga hendak jadikan bahasa kita seperti bahasa mereka, sedangkan dialek-dialek kita mempunyai keindahan yang tersendiri.

Siri SRAH kali ke-22 ini telah diadakan di Dewan Serbaguna Masjid Raja Haji Fi Sabilillah, Cyberjaya, Selangor pada pagi tadi. Majlis ini dirasmikan oleh YB Datuk Hajah Aiman Athirah Sabu, iaitu Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Terdahulu, YBhg. Prof. Dr. Nor Hashimah Jalaluddin, iaitu Presiden Persatuan Linguistik Malaysia, selaku moderator majlis telah menyampaikan ucapan alu-aluan. Menurut beliau, syarahan ini diadakan untuk menimbulkan kesedaran tentang persoalan semasa dalam bidang persuratan Melayu. Selain itu, SRAH juga diharapkan dapat memberikan manfaat demi memastikan bahasa Melayu tetap utuh sebagai bahasa ilmu di negara ini.

Siri syarahan ini juga memberikan penghormatan kepada tokoh semasa dalam bidang bahasa dan persuratan Melayu untuk membentangkan buah fikiran, gagasan dan wawasan mereka dalam rangka memartabatkan bahasa dan persuratan Melayu. Hingga kini, sebanyak 22 orang tokoh dari dalam negara dan luar negara telah diundang untuk menyampaikan syarahan ilmiah. Isi syarahan tersebut bersifat serius dan dibukukan untuk sebaran kepada umum.

SRAH merupakan siri syarahan tahunan anjuran bersama Persatuan Linguistik Malaysia (PLM) dengan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan pertama kali diadakan pada tahun 1991. Pada tahun ini, SRAH turut mendapat kerjasama penganjuran daripada Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, dan Masjid Raja Haji Fi Sabilillah, Cyberjaya.

Yang turut hadir ialah YBrs. Dr. Hazami Jahari, iaitu Ketua Pengarah DBP, YB Senator Datuk Seri Profesor Emeritus Dr. Awang Sariyan, iaitu Ahli Dewan Negara yang juga mantan Pengerusi Lembaga Pengelola DBP,  ketua-ketua jabatan dan ketua-ketua bahagian DBP, para tetamu kehormat, para pejuang bahasa, pencinta dan peminat bahasa, para penyelidik bahasa dan persuratan Melayu, para pensyarah dan para pelajar, serta tetamu undangan lain serta karyawan DBP.

YBhg. Prof. Emeritus Dato’ Dr. Hajah Asmah Haji Omar menyampaikan syarahannya di samping moderator, iaitu YBhg. Prof. Dr. Nor Hashimah Jalaluddin.
YB Datuk Hajah Aiman Athirah Sabu, iaitu Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat ketika merasmikan majlis.
Raja Ali Haji merupakan tokoh pengarang yang agung pada zaman pertengahan abad ke-19 dan dianggap sebagai pemikir besar dalam dunia persuratan Melayu, terutamanya dalam bidang agama, sejarah, bahasa dan kesusasteraan.
Kebanyakan karya sastera Raja Ali Haji terutamanya syair menghuraikan hal keagamaan termasuklah Syair Gurindam Dua Belas.
Tetamu kehormat dan para hadirin bergambar kenangan.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.