Oleh Kho Thong Eng
23 November 2023, 12:26

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Bidang morfologi mengkaji struktur, bentuk dan golongan kata, manakala bidang sintaksis mengkaji struktur, bentuk dan binaan frasa, klausa dan ayat. Kedua-dua bidang ini kelihatan berbeza, namun terdapat hubung kait antara kedua-duanya. Hal ini sering mengelirukan pengguna bahasa Melayu.

Jika kita mengkaji kata nama dari sudut morfologi, kita melihat struktur kata dari segi struktur suku katanya yang terbina daripada susunan bunyi vokal, konsonan dan diftong. Dari segi bentuk kata, kita mengkaji aspek kata tunggal, kata terbitan, kata majmuk dan kata ganda. Dari segi golongan kata pula, kita mengkajinya dari sudut kata nama, kata kerja, kata adjektif dan kata tugas.

Biasanya pengguna tahu tentang perbezaan antara struktur kata dengan bentuk dan golongan kata, tetapi kurang pasti tentang perbezaan antara bentuk dengan golongan kata. Sebagi contoh, kata duduk merupakan kata tunggal dari segi bentuk kata dan kata kerja dari segi golongan kata sekali gus. Oleh itu, kata duduk ialah kata kerja tunggal. Contoh lain ialah kata pertahanan. Kata tersebut ialah kata terbitan (berimbuhan) dari segi bentuk dan kata nama dari segi golongannya. Oleh itu, kata pertahanan ialah kata nama terbitan.

Jika kita meletakkan kata nama dalam konteks frasa, klausa dan ayat, iaitu bidang sintaksis, keadaannya menjadi lebih rumit lagi. Hal ini berlaku demikian kerana wujudnya pelbagai istilah yang seolah-olah sama atau berbeza tentang sesuatu kata nama. Sila lihat contoh yang berikut:

1a.  Buku itu tebal.

1b.  Buku Sejarah itu tebal.

1c.  Laporan separuh penggal itu sudah siap.

Dalam ayat 1a, dari segi morfologi, kata buku ialah kata nama am tunggal, manakala kata itu ialah kata ganti nama tunjuk. Namun begitu, dari sudut sintaksis, rangkai kata buku itu ialah subjek ayat, kata buku ialah inti frasa nama, dan kata itu ialah penerang atau penentu belakang frasa nama.

Dalam ayat 1b, rangkai kata buku Sejarah itu ialah subjek ayat, manakala kata buku ialah inti frasa nama buku Sejarah, kata Sejarah ialah penerang frasa nama buku Sejarah, frasa nama buku Sejarah ialah inti frasa nama buku Sejarah itu dan kata itu ialah penerang atau penentu belakang frasa nama buku Sejarah itu.

Dalam ayat 1c, rangkai kata laporan separuh penggal itu ialah subjek ayat, kata laporan ialah inti frasa nama bagi kata majmuk (morfologi) atau frasa nama (sintaksis) laporan separuh penggal itu, kata separuh penggal ialah kata majmuk (morfologi) atau frasa nama (sintaksis) yang menjadi penerang 1 bagi frasa nama laporan separuh penggal itu, dan kata itu ialah penerang 2 atau penentu belakang.  Hal ini dapat dipaparkan seperti yang berikut:

Ayat 1a

Contoh Morfologi Sintaksis
buku itu dua kata tunggal subjek ayat
buku kata nama am tunggal inti frasa nama
itu kata ganti nama tunjuk tunggal penerang/penentu belakang

 

Ayat 1b

Contoh Morfologi Sintaksis
buku Sejarah itu kata majmuk + kata tunggal subjek ayat
buku kata nama tunggal inti frasa nama “buku Sejarah”
Sejarah kata nama tunggal penerang frasa nama ‘buku Sejarah’
buku Sejarah kata nama majmuk inti frasa nama “buku Sejarah itu”
itu kata ganti nama tunjuk tunggal penerang / penentu belakang

 

Ayat 1c

Contoh Morfologi Sintaksis
laporan separuh penggal itu kata majmuk + kata tunggal subjek ayat
laporan kata nama terbitan inti frasa nama “laporan separuh penggal itu”
separuh kata bilangan pecahan penerang/penentu hadapan frasa nama “separuh penggal”
penggal kata nama am tunggal inti frasa nama “separuh penggal”
separuh penggal kata nama majmuk penerang 1 frasa nama ‘laporan separuh penggal itu’
itu kata ganti nama tunjuk tunggal penerang 2/penentu belakang frasa nama “laporan separuh penggal itu”

Sekali imbas, analisis sedemikian mungkin mengelirukan sesetengah pengguna bahasa Melayu. Namun begitu, jika kita sedar bahawa istilah yang digunakan berbeza disebabkan bentuk, jenis dan fungsi kata yang berlainan dalam bidang morfologi dan sintaksis, kita mungkin dapat memahaminya. Jika dianalogikan, seseorang manusia mungkin juga dinamai dengan nama yang pelbagai berdasarkan fungsinya yang rencam, misalnya sebagai guru (jawatan), ayah, anak atau abang (keluarga), pemain hoki (hobi), ahli persatuan pengakap (persatuan), sukarelawan (persatuan sukarela), dan sebagainya.

 

Marilah kita mengkaji contoh yang lain:

2a.  Dia membaca buku.

2b.  Dia menjadi pegawai polis.

2c.  Orang itu siapa?

2d.  Dia bermain muzik.

2e.  Dia berseluar jean.

2f.   Dia datang esok.

 

Analisis kata nama dalam ayat kelompok 2 adalah seperti yang berikut:

Ayat 2a

Contoh Morfologi Sintaksis
buku kata nama am tunggal objek kepada kata kerja transitif ‘membaca’

 

Ayat 2b

Contoh Morfologi Sintaksis
pegawai polis kata nama majmuk pelengkap kepada kata kerja tak transitif “menjadi”

 

Ayat 2c

Contoh Morfologi Sintaksis
siapa kata ganti nama diri tanya tunggal predikat ayat

 

Ayat 2d

Contoh Morfologi Sintaksis
muzik kata nama am tunggal kata keterangan kepada kata kerja tak transitif “bermain”

 

Ayat 2e

Contoh Morfologi Sintaksis
jean kata nama am tunggal penerang kepada kata dasar dalam kata kerja tak transitif “berseluar”

 

Ayat 2f

 

Contoh Morfologi Sintaksis
esok kata nama am tunggal kata adverba yang menghuraikan kata kerja “datang”

Analisis di atas pasti membingungkan mereka yang kurang mendalami aspek morfologi dan sintaksis bahasa Melayu. Namun demikian, jika kita tekun berusaha, lama-kelamaan hubung kait antara aspek morfologi dan sintaksis akan menjadi semakin jelas dalam minda masing-masing.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.