Oleh Aminudin Mansor
23 November 2023, 16:23

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Masyarakat Melayu pada zaman atau era klasik menggunakan bahasa Melayu klasik sebagai alat komunikasi dan juga bahasa sastera yang membangunkan akal budi bangsa. Bahasa sangat penting bagi mereka, malah menjadi lingua franca dalam hubungan komunikasi di Alam Melayu. Tanpa bahasa, mereka tidak boleh berhubung dan berkomunikasi dengan baik dan lancar.

Masyarakat Melayu pada era klasik juga sudah boleh menulis dan membaca. Bahan bacaan dalam bahasa Melayu klasik sangat penting ke arah perkembangan ilmu dan keintelektualan bangsa. Di samping itu, bahan bacaan daripada hikayat, cerita dongeng dan cerita binatang menjadi hiburan penting dalam mengisi masa lapang pada waktu senggang setelah penat bekerja di sawah dan ladang.

Oleh sebab itu, bahasa Melayu klasik memainkan peranan yang penting dalam urusan pentadbiran, perniagaan, undang-undang, kesusasteraan, penyebaran agama, politik, ekonomi dan perdagangan. Meskipun bahasa Melayu klasik tidak seperti bahasa Melayu moden seperti sekarang, namun dalam kehidupan masyarakat pada masa itu mereka berkomunikasi dengan baik, harmoni dan penuh adab serta bersopan santun tanpa peranti canggih seperti telefon pintar.

Bahasa Melayu klasik juga mempunyai pengaruh dan peminjaman kata daripada bahasa Sanskrit, Arab, Parsi, India, Cina dan Siam. Oleh sebab itu, tidak hairanlah jika dalam cerita-cerita hikayat terdapat kata asing yang bukan kata asal daripada bahasa Melayu. Pengaruh ini disebabkan oleh kedatangan pedagang asing yang datang berdagang ke negara ini pada suatu masa dahulu.

Menurut Asmah Haji Omar dalam Ensklopedia Bahasa Melayu, kajian menunjukkan bahawa bahasa Melayu sentiasa berkembang dalam kehidupan masyarakat. Kajian turut menunjukkan bahawa bahasa Melayu tergolong dalam subkeluarga bahasa Melayu-Polinesia  dan terletak di bawah rumpun besar Austronesia.

Dalam keanggotaannya dalam rumpun Austronesia, bahasa Melayu bukan sahaja mempunyai perkaitan kekeluargaan dengan bahasa yang berdekatan dengannya, malah mempunyai perkaitan dengan bahasa-bahasa di Lautan Pasifik seperti bahasa Hawaii, Samoa, Fiji, Maori, bahasa Malagasi di Madagaskar, dan bahasa di kawasan pergunungan di Taiwan.

Kajian juga menunjukkan bahawa abad ke-12 dan ke-13 merupakan zaman peralihan daripada pengaruh agama Hindu kepada pengaruh agama Islam di seluruh Kepulauan Melayu. Dari segi perkembangan, bahasa abad ini amat penting yang merupakan zaman peralihan daripada bahasa Melayu kuno kepada bahasa Melayu klasik.

Zaman peralihan ini berlaku akibat kedatangan pengaruh Islam yang dikaitkan dengan pelbagai teori yang berkaitan dengan tarikhnya. Ada yang mengatakan bahawa Islam dibawa dari India atau Arab oleh pedagang yang telah berdagang di sini pada tahun 1292 Masihi apabila Marco Polo melawat Sumatera Utara. Dari situ, Islam mula bertapak dan meluas ke Melaka dan daerah lain.

Bahasa Melayu juga melalui empat peringkat perkembangan, iaitu bahasa Melayu purba, bahasa Melayu kuno, bahasa Melayu klasik, dan bahasa Melayu moden. Justeru, bahasa Melayu klasik memang wujud dan telah memainkan peranannya dalam persuratan dan budaya Melayu, serta perkembangan dan penyebaran agama Islam. Hal ini dapat dilihat dan dibuktikan melalui karya sastera klasik yang telah dihasilkan.

Zaman bahasa Melayu klasik bermula pada abad ke-13 hingga akhir abad ke-18 Masihi. Oleh itu, peranan  dan pendedahan bahasa Melayu klasik dalam sukatan pelajaran sastera di sekolah-sekolah sangat penting dan relevan sebagai pengenalan sejarah, peranannya dan identiti bahasa Melayu.

Dalam mata pelajaran Bahasa Melayu, komponen sastera (KOMSAS) mempunyai pengajaran dan pembelajaran yang berkaitan dengan bahasa Melayu klasik dan disoal dalam subjek Bahasa Melayu peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

Selain itu, bahasa Melayu klasik juga mempunyai ciri-ciri tertentu dan antaranya termasuklah sistem tulisan dan ejaan, kosa kata dan tatabahasa.

Pengaruh dan peranan bahasa Melayu klasik dalam masyarakat Melayu dahulu sangat penting bagi kesinambungan perkembangan bahasa Melayu hingga kini, iaitu bahasa Melayu moden. Tambahan pula, ada perkataan klasik yang masih digunakan seperti di bawah ini:

  1. Perkataan klasik abdi, ertinya hamba dan dalam bahasa Melayu moden, abdi.
  2. Perkataan klasik atma, ertinya jiwa dan dalam bahasa Melayu moden, atma.
  3. Perkataan klasik barut, ertinya kain pembalut dan dalam bahasa Melayu moden, barut.
  4. Perkataan klasik mercu, ertinya puncak kejayaan dan dalam bahasa Melayu moden, mercu.
  5. Perkataan klasik sayembara, ertinya pertandingan dan dalam bahasa Melayu moden, sayembara.

Masyarakat Melayu pada zaman klasik bekerja sebagai pencari hasil hutan petani, nelayan dan pelaut. Pengaruh dan penggunaan bahasa klasik dalam penjualan hasil hutan digunakan dengan meluas seperti kata-kata gaharu, cendana, kayu manis, rempah-ratus, buah keras, damar, kapur barus, dan kemenyan yang dijual dan pertukaran barangan kepada peraih dan pedagang dari luar negara.

Di samping itu, masyarakat Melayu dahulu, iaitu pada zaman klasik turut mengusahakan pertanian. Penggunaan bahasa klasik yang berkaitan dengan pertanian digunakan dengan meluas seperti padi, beras, emping, kekalu, lesung, lada hitam, pulut, tuai, kuku kambing, tajak, tenggala, bakul, sangai, tangkin, tikar, nyiru, kelompen, sumpit dan terendak digunakan dalam bahasa seharian.

Masyarakat nelayan dan pelaut juga sering menggunakan kata jong, sampan, perahukolek, kapal, nakhoda, pengayuhsekoci, juak-juak, juru mudi, sauh, layar dan muara. Kata-kata ini sering digunakan pada zaman kerajaan maritim yang terletak di kawasan pantai dan laut. Kegiatan perdagangan merupakan kegiatan yang penting bagi masyarakat kerajaan maritim.

Masyarakat Melayu juga menjadi ketua masyarakat dalam kehidupan dan memegang jawatan seperti penggunaan kata klasik dengan gelaran sebagai pembesar, hulubalanglaksamana, biduandabendahara, tuanku, baginda, sida-sida, syahbandar, penghulu bendahari dan temenggung. Kata-kata ini telah memperkaya perbendaharaan kata dalam bahasa Melayu.

Pada zaman klasik, terdapat konsep daulat. Menurut catatan Sejarah Melayu, karya Tun Seri Lanang, hubungan antara raja dengan rakyat diumpamakan seperti yang berikut:

Rakyat itu seperti akar, raja itu umpama pohonnya, jika tiada akar, nescaya pohon tidak akan dapat berdiri.”

Bahasa klasik juga kaya dengan permulaan kata yang indah dan sopan seperti maka, sebermulaarakian, alkisah, tersebutlah, syahadan, sekali peristiwa, adapun, laksana dan nescaya. Dalam kehidupan masyarakat juga tanda pengiktirafan diberikan dengan mengurniakan barang-barang seperti payung kuning, cap mohor dan sepersalinan, iaitu perkataan yang digunakan dalam bahasa klasik.

Pengaruh ini jelas dalam budaya masyarakat Melayu dahulu yang mementingkan kesopanan dan kesusilaan ketika berkata-kata dan berbicara. Hasil penulisan juga sopan dan indah serta tiada maki hamun dan bahasa kasar dalam bahasa Melayu klasik. Orang Melayu dahulu amat bersopan santun dan berbudi bahasa ketika berkata-kata dalam lisan dan tulisan.

Antara hasil tempatan yang diperdagangkan oleh masyarakat tempatan daripada Kerajaan Melayu Tua kepada pedagang luar ialah emas, suasa, batu permata, bijih timah, lada hitam,damar, rotan, tanduk dan gading yang sangat terkenal pada masa itu. Barangan ini juga menggunakan kata bahasa Melayu klasik. Hal ini terdapat dalam Hikayat Merong Mahawangsa dan Al-Tarikh Salasilah Negeri Kedah.

Begitu juga pedagang asing telah memanggil Kedah dengan pelbagai nama. Pedagang China memanggil Kedah dengan perkataan Che-Cha, pedagang India memanggil Kedah dengan perkataan Kataha, Kalagam, atau Kadaram. Pedagang Arab memanggil Kedah dengan perkataan Kalah atau Kalah Bar. Pedagang Siam pula memanggil Kedah dengan perkataan Sai. Semua ini tercatat dalam dua buah hikayat yang disebutkan di atas.

Sejarah turut mencatatkan dengan bukti wujudnya Kerajaan Kedah Tua dengan penemuan batu bersurat di Bukit Choras dan Bukit Meriam pada abad ke-5. Kebanyakan inskripsi, iaitu kata, ungkapan dan lambang berkaitan dengan doa dan amalan dalam agama Buddha. Penggunaan kata dan gaya bahasa klasik juga jelas dalam doa tersebut.

Peranan dan pengaruh bahasa Melayu klasik dalam masyarakat Melayu dahulu berjaya mengangkat bidang persuratan Melayu dan sastera Melayu melalui pantun, syair dan peribahasa. Banyak penggunaan kata Melayu klasik digunakan dalam bidang sastera khususnya puisi dan cerita hikayat.

Masyarakat Melayu dahulu menggunakan pantun, syair dan peribahasa sebagai pendidikan dan pengajaran kepada generasi muda bagi membangunkan akal budi. Komunikasi lisan juga sering menggunakan pantun, syair dan gurindam, serta dilagukan mengikut gaya dan kehendak setempat. Terdapat banyak kata-kata Melayu klasik digunakan dalam karya sastera pada zaman itu.

Kesimpulannya, melalui bahasa Melayu klasik persuratan di Alam Melayu berkembang sejajar dengan wujudnya sistem tulisan. Peranan dan pengaruh bahasa Melayu klasik telah membangunkan tamadun bangsa melalui tulisan. Keintelektualan masyarakat Melayu telah berkembang dengan kemajuan dan kegiatan persuratan Melayu. Hal ini membuktikan wujudnya kegiatan persuratan di Alam Melayu dalam era perkembangan bahasa Melayu klasik sebagai bahasa pentadbiran, bahasa ilmu, bahasa undang-undang dan persuratan Melayu.

 

***Penulis ialah pengkaji dan penyelidik bahasa Melayu.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.