Oleh Salman Sulaiman
24 November 2023, 11:43

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Darma Mohammad, penyair senior Kelantan yang telah setengah abad menekuni puisi kini muncul dengan buku sajak terbaharunya yang bertajuk Langit Membuka Lipatan (DBP, 2020). Kumpulan sajaknya pada kali ini menarik dan berbeza daripada sajak-sajak yang ditulisnya sebelum ini, malah membawakan kelainan dan berbeza daripada karya para penyair kita yang ada.

Hal ini kerana bentuk dan struktur kesemua 151 sajak yang ada dalam buku ini rata-ratanya sama, iaitu terdiri daripada dua rangkap yang ringkas. Rangkap pertama kebanyakannya terdiri daripada empat baris, manakala rangkap kedua pula cuma dua baris. Cuma kadang-kadang ada rangkap pertama yang sekadar dibangunkan dengan tiga baris sahaja.

Hampir keseluruhan sajak dalam buku ini memiliki cuma enam baris keseluruhan. Jarang-jarang sajak ada yang lima baris dan ada kadang-kadang yang terdiri daripada tujuh baris. Sangat jarang-jarang muncul yang lapan baris dan sebelas baris. Begitulah struktur semua sajak dalam buku ini yang cukup ringkas, namun padat dengan pemikiran dan nasihat teladan.

Nada Islam dan nafas-nafas kerohanian agak ketara dalam sajak-sajak Darma yang dimuatkan dalam buku ini. Perhatikan Darma menyulam kata-katanya dalam Cahaya Hati:

Sinar rembulan

berkeping-keping di halaman.

Cantumkan cahaya itu

menjadi pakaian.

 

Cahaya alam berpunca daripada Dia

kebenaran sumbu pelita hati engkau.

 

Yang mahu Darma sampaikan ada di dalam dua baris akhir sajaknya ini kerana di situlah dia menegaskan perihal cahaya kepada hati manusia ialah kebenaran. Walaupun pada awalnya dia bermadah tentang cahaya bulan, namun kemudiannya dia tetap menyimpulkan bahawa sumber cahaya ialah daripada-Nya yang Maha Berkuasa dan yang memiliki segalanya.

Dalam Perangkap, lebih tajam tikaman bahasa Darma apabila dia membandingkan pujian dengan berlian. Katanya, berlian akan makin berkilau apabila dicanai oleh batu, namun manusia sebenarnya akan makin kusam apabila dipuji kerana pujian itu hanyalah perangkap bagi manusia kerana yang menjadikan manusia hebat ialah ujian, bukan pujian. Teliti sajak yang tersebut:

Berkilau berlian

dicanai batu.

Kusam engkau

dibedaki pujian.

 

Engkau tidak hebat tanpa ujian Dia

pujian orang perangkap bagi engkau.

 

Ada rahsia yang sangat dalam dan perlu dirungkaikan pada alam indah ciptaan Tuhan yang luas terbentang. Itulah antara hal yang ingin disampaikan Darma dalam sajak yang berjudul Rahsia ini. Setiap benih yang tumbuh di bumi diasuh oleh matahari kerana keperluan tumbuhan dan pohon-pohon kepada cahayanya. Pohon-pohon itu kemudiannya semakin membesar dan menjadi keras batangnya. Itu semua ada dan termaktub dalam ilmu Allah, hanya diperlukan akal manusia untuk bertafakur menekuni keagungan ciptaan Tuhan Yang Maha Kuasa. Hayati sahaja sajak yang tersebut:

Matahari mengasuh benih

sinarnya sampai walau jauh.

Akhirnya engkau akui

kerasnya otot-otot pohon.

 

Rahsia alam rangkuman ilmu Dia

tafakur mencanai akliah engkau.

 

Setiap kata-kata yang dilafaz tidak mempunyai rupa paras dan bentuk fizikal seperti kita manusia. Namun begitu, yang sangat penting untuk diingatkan ialah setiap kata-kata itu, kitalah yang akan dipertanggungjawabkan di mahsyar nanti kerana setiap lafaz yang dituturkan itu disimpan rapi dalam catatan dan pengetahuan Dia yang Maha Besar, yang sengaja disebut oleh penyair sebagai satu tempat khusus yang dinamakan “dalam sebuah rumah besar”. Hal ini diungkapkan Darma dalam Rumah Kata:

Engkau tidak nampak rupa paras

kata-kata engkau.

Diisi dalam sebuah rumah besar

akan engkau dipikul di mahsyar.

 

Kebesaran Dia tidak terhitung akal engkau

setiap ucapan engkau dalam catatan Dia.

 

Kita ini asalnya dari bawah dan lemah. Namun begitu, yang pastinya mengangkat kita ialah Allah. Kita bukannya naik dan mendaki dengan kekuatan kaki sendiri melainkan semua itu dengan kudrat pertolongan Allah jua. Daripada kehinaan, Dialah yang mengangkat kita ke darjat yang lebih tinggi. Diumpamakan kita ini seperti anggerik hutan yang dialih serta diangkat darjat ke jambangan.

Indah perumpamaan yang digunakan Darma bagi menggambarkan lemahnya manusia saat asal kejadiannya hinggalah Allah mengangkat manusia itu ke tahap dan kedudukan yang lebih tinggi. Hal itulah yang menjadi inti sajak Kelemahan di bawah:

Engkau anggerik hutan

diangkat ke jambangan.

Engkau tidak mendaki

dengan kaki engkau.

 

Maha Kuat dan Maha Tinggi hanya Dia

daripada kumuhan Dia mengangkat engkau.

 

Hidup kita ini diibaratkan seperti sebuah kelongsong. Di dalam kelongsong itulah tersimpannya butir-butir usia manusia. Kelongsong ini akan dibuka semula dan dihisab di hadapan-Nya di hari akhirat. Di situlah nanti akan dihitung usia tersebut yang digunakan untuk hal yang bermanfaat atau ke arah perkara yang sia-sia. Inilah falsafah yang dikemukakan dalam Kelongsong:

Kelongsong hidup

menyimpan butir-butir usia engkau

akan dibuka di hari pembalasan.

 

Bernas atau hampa butir-butir usia engkau

dihisab di hadapan Maha Adil Dia.

 

Nafsu amarah yang membelenggu hati manusia pula diumpamakan sebagai serigala yang berkeliaran dalam dada. Selagi nafsu amarah masih membelenggu manusia, selagi itulah kita menjadi orang yang tidak sabar, iaitu bersifat menerkam dan mencakar seperti serigala. Hal itu yang menjadi perbandingan Darma dalam Belenggu:

 

Selagi serigala berkeliaran

dalam dada

selama itu engkau

menerkam dan mencakar.

 

Bebaskan nafsu amarah daripada hati engkau

hanya kesucian amalan mendapat keredaan Dia.

 

Satu pedoman dan ingatan yang menarik disampaikan penyair dalam Patuh. Susah atau senang ujian hidup yang kita lalui, insan yang sedar diri sebagai hamba Tuhan tetap perlu patuh dan taat kepada perintah Dia. Dek kerana itulah penyair mengatakan bahawa ribut yang mematahkan rabung rumah pun adalah satu musibah yang bertujuan untuk memberikan peringatan kepada manusia agar terus patuh kepada-Nya sama ada ketika susah mahupun senang. Hayati sajak tersebut:

 

Ribut mematahkan rabung rumah

bukan kerana nafsunya

tetapi hendak mematahkan nafsu engkau.

 

Dengan izin Dia susah senang hidup engkau

musibah datang membisikkan peringatan Dia.

 

Darma Mohammad dalam Langit Membuka Lipatan kelihatannya hampir secara keseluruhan tidak menghiraukan langsung hal ritma dan rima, sama ada rima tengah atau rima hujung pada setiap baris. Namun begitu, yang lebih diutamakan ialah pemikiran dalam hampir semua sajak yang dicipta.

Sajak-sajaknya memuatkan pemikiran yang dipadatkan ke dalam beberapa baris sahaja. Tanpa permainan kata kerana sajak dalam buku ini semacam serangkai kata-kata hikmah atau sebuah madah sahaja. Maka itu, gagasan pemikiran memerlukan taakulan dan renunganlah yang menjadi keutamaan.

Walau begitu, sajak yang langsung tidak memiliki ritma dan rima yang sengaja dicari-cari dan dicipta oleh penulisnya ini pun merupakan sejenis keindahan juga. Sajak-sajak ini indah sebagai madah dan kata-kata hikmah. Boleh juga kita katakan sebagai rangkaian hikmah dan madah penuh falsafah yang disampaikan dalam bentuk sajak. Nilai pemikiran berfalsafah itulah yang menjadikan sajak-sajak dalam buku ini indah. Hal ini ditambah lagi kepadatan ungkapan yang dibina dalam dua rangkap sahaja untuk setiap sajak.

Jika kita perhatikan sebelum ini, kelihatan seperti hanya penulis muda dan penyair pemula sahaja yang seronok bereksperimen melalui karya yang dicipta dengan berbagai struktur dan bentuk. Namun begitu, kumpulan sajak Darma Mohammad ini membuktikan bahawa pengarang lama sepertinya juga bereksperimen untuk mendapatkan kelainan dan keluar daripada kejumudan biasa serta keterikatan bentuk karya sedia ada.

Rangkaian dua rangkap ungkapan kata indah yang mengandungi analogi dan perbandingan pada rangkap pertama bersama inti pedomannya pada rangkap kedua yang juga rangkap akhir, menjadi identiti kepada keseluruhan karya dalam kumpulan sajak terbaharunya ini.

Sebagai penyair senior yang sudah lebih 50 tahun mengarang, Darma mengajak kita berfikir dan merenungi setiap nikmat dan apa-apa sahaja ujian yang dilalui dalam hidup ini melalui 151 buah sajak yang digarap dengan padat dan sekali gus indah bersama-sama identiti penyampaiannya yang unik dan tersendiri.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.