28 November 2023, 14:44

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Ferdinand de Saussure (1857 – 1913) dilahirkan di Jenewa, Switzerland pada 26 November 1857. Beliau pernah mendapat pendidikan tinggi di Universiti Geneva, Universiti Berlin, dan akhirnya menamatkan pengajian pada peringkat doktor falsafah di Universiti Leipzig pada tahun 1880. Beliau ahli linguistik Switzerland yang berpengaruh pada era pemodenan linguistik. Oleh hal yang demikian, Ferdinand de Saussure juga dikenali sebagai Bapa Linguistik Moden.

Karya utama beliau, Course in General Linguistics telah diterbitkan pada tahun 1916 oleh dua orang bekas muridnya, iaitu Besarlah Bally and Albert Sechehaye berdasarkan catatan mereka dalam kuliah Ferdinand de Saussure di Universiti Geneva. Penerbitan karya tersebut selepas kematian Ferdinand de Saussure dianggap sebagai titik permulaan linguistik struktural, iaitu pendekatan linguistik yang berkembang di Eropah dan Amerika Syarikat pada abad ke-20.

Tuntasnya, teori linguistik yang diketengahkan oleh Ferdinand de Saussure membawa perkembangan yang ketara dalam bidang linguistik, khususnya linguistik struktural. Teori yang dikemukakan oleh beliau terus dikembangkan oleh ahli linguistik lain, seperti Leonard Bloomfield, Kenneth Lee Pike dan Noam Chomsky.

Teori linguistik yang diketengahkan oleh Ferdinand de Saussure dapat diringkaskan dalam bentuk dikotomi, iaitu kajian secara sinkronik dan diakronik, langue (bahasa) dan parole (ujaran), signifiant (kata) dan signifie (makna), serta hubungan sintagmatik dan paradigmatik.

Linguistik sinkronik (statik) merupakan kajian peristiwa bahasa pada masa yang sama, iaitu pada titik waktu tertentu. Linguistik diakronik (evolusi) pula merupakan kajian peristiwa bahasa pada suatu jangka masa tertentu. Oleh itu, linguistik sinkronik juga dikenali sebagai linguistik deskriptif, manakala linguistik diakronik dikenali sebagai linguistik sejarawi.

Merujuk teori linguistik yang dikemukakan oleh Ferdinand de Saussure, langue merupakan sistem abstrak atau mujarad yang tersimpan dalam akal budi seseorang yang berperanan sebagai alat komunikasi.

Secara khususnya, langue merupakan kata yang diperoleh secara pasif yang diajarkan dalam masyarakat bahasa, yang memungkinkan penutur saling memahami dan menghasilkan unsur yang difahami oleh penutur dan masyarakat.

Parole pula merupakan pertuturan seseorang individu dengan menggunakan kod linguistik yang dipelajari. Parole bersifat konkrit jika dibandingkan dengan langue.

Menurut Ferdinand de Saussure lagi, setiap tanda linguistik terdiri daripada dua komponen, iaitu signifiant dan signifie. Dalam hal ini, signifiant bermaksud citra bunyi atau kesan psikologi bunyi dalam minda, manakala signifie bermaksud pengertian atau kesan makna dalam minda.

Hubungan antara signifiant dengan signifie bersifat arbitrari. Contohnya, apabila seseorang individu menyebut kata [basikal], pendengar mendengar rentetan bunyi /b,a,s,i,k,a,l/, iaitu kesan psikologi dalam minda yang dikenali sebagai signifiant. Setelah mendengar kata [basikal], pendengar membayangkan suatu kenderaan beroda dua yang ditunggang dengan mengayuh pedalnya, iaitu kesan makna dalam minda yang dikenali sebagai signifie.

Ferdinand de Saussure mewujudkan konsep hubungan sintagmatik dan paradigmatik dalam kajian bahasa. Hubungan sintagmatik merupakan hubungan unsur yang terdapat dalam suatu pertuturan atau ayat yang tersusun secara berurutan dan bersifat linear.

Hubungan sintagmatik dapat dilihat pada urutan fonem sesuatu kata yang tidak dapat diubah kerana akan menjejaskan makna kata itu. Contohnya, jika kata [kita] diubah urutannya, maknanya akan berubah atau kata itu menjadi tidak bermakna.

Hubungan paradigmatik pula merupakan hubungan unsur yang terdapat dalam suatu pertuturan atau ayat yang tersusun secara menegak. Contohnya, fonem /r/ dalam kata [rata] mempunyai hubungan paradigmatik dengan fonem yang dapat bertukar ganti dengannya, seperti fonem /k/ dalam kata [kata], fonem /b/ dalam kata [bata], fonem /m/ dalam kata [mata] dan fonem /d/ dalam kata [data].

Teori yang dipelopori oleh Ferdinand de Saussure dapat diaplikasikan dalam pengajaran bahasa Melayu, khususnya untuk membantu pelajar menganalisis unit dalam bahasa. Unit bahasa yang dimaksudkan ialah unit bunyi, unit morfem, unit kata, unit frasa, unit klausa dan unit ayat. Hal ini dikatakan demikian kerana setiap unit tersebut mempunyai unsur yang mempunyai hubungan sintagmatik dan paradigmatik.

Hubungan sintagmatik membentuk struktur dalam bahasa Melayu. Contohnya, kata cawan terdiri daripada dua suku kata, iaitu “ca” + “wan”. Oleh itu, struktur kata cawan jika dilihat dari aspek suku kata ialah S1 + S2. Jika dilihat dari aspek fonem atau satuan bunyi yang membentuk kata cawan, strukturnya ialah KV + KVK, iaitu K sebagai konsonan dan V sebagai vokal.

Selain itu, prinsip yang sama juga boleh diaplikasikan untuk menganalisis frasa dan ayat. Contohnya, buku tebal terdiri daripada KN + KA, iaitu KN sebagai kata nama dan KA sebagai kata adjektif. Ayat Dia hendak tidur pula terdiri daripada KN + KB + KK. Dalam ayat ini, KN ialah kata nama, KB ialah kata bantu dan KK ialah kata kerja.

Hubungan secara sintagmatik dalam frasa dan ayat sememangnya dapat menjelaskan binaan frasa dan ayat bahasa Melayu dengan mudah dan jelas, sekali gus meningkatkan kefahaman pelajar.

Di samping itu, ketika menganalisis struktur unit bahasa dengan menggunakan teori linguistik yang diketengahkan oleh Ferdinand de Saussure ini, binaan frasa juga dapat dikenal pasti. Contohnya, buku tebal terdiri daripada binaan inti + penerang, iaitu buku sebagai inti dan tebal sebagai penerang. Bagi ayat Dia hendak tidur pula, dia mempunyai fungsi sebagai pelaku atau subjek, manakala hendak tidur berfungsi sebagai perbuatan atau predikat. Dengan ini, wujudlah struktur pelaku + perbuatan atau subjek + predikat.

Tegasnya, penerapan teori linguistik yang diperkenalkan oleh Ferdinand de Saussure dalam pengajaran bahasa Melayu membolehkan pengguna bahasa memahami aspek morfologi dan sintaksis dengan mudahnya. Kesannya, penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan pengguna bahasa dapat ditingkatkan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.