1 Disember 2023, 08:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Bahasa Melayu sebagai satu daripada bahasa utama di rantau Asia Tenggara sudah tentu tidak terlepas daripada mengalami transformasi yang signifikan seiring dengan kemajuan teknologi terutama dalam bidang kecerdasan buatan (AI). Satu daripada cabang yang penting dalam kecerdasan buatan ialah pembelajaran mesin, iaitu suatu kapasiti yang membolehkan mesin untuk “menggali ilmu” dan mencapai tingkat kecerdasan yang lebih tinggi.

Teknologi AI merupakan satu daripada cabang sains yang berusaha memberikan sifat kebijaksanaan kepada suatu entiti sebagaimana yang dimiliki oleh manusia. Namun begitu, perlu difahami bahawa teknologi kecerdasan buatan bukanlah suatu hal yang menyebabkan kebergantungan daya fikir manusia kepada entiti ini secara muktamad tetapi hanyalah berperanan sebagai pemudah cara atau pembantu untuk menyelesaikan sesuatu masalah.

Kemajuan teknologi ini yang menjadi “fenomena global” telah memainkan peranan yang penting dalam mempercepatkan transformasi bahasa di seluruh dunia ke era digital. Dalam konteks bahasa Melayu, penerapan AI tidak hanya berfokus pada pencapaian hasil inovasi tetapi juga bertujuan untuk mendapatkan tempat agar bahasa kebangsaan tetap dinamik dan relevan.

Justeru dalam hal ini, kehadiran teknologi AI bukanlah untuk diraikan semata-mata, melainkan untuk mendapatkan kemaslahatan aplikasi yang diperkenalkan demi mengangkat bahasa kebangsaan dan dengan cara akomodasi bersaing cemerlang di persada global.

Penggunaan mesin penterjemah AI seperti Google Translate, tidak hanya memperluas jaringan hubungan antarabangsa bahkan menjadi teras untuk mencipta kesedaran dan pemahaman global terhadap bahasa Melayu. Kemampuan untuk mengakses dan memahami bahasa Melayu melalui platform ini mewajarkan berlakunya pertukaran maklumat dan gagasan tanpa mengurangkan esensi dan keaslian bahasa tersebut.

Hal ini tidak hanya merangsang keanekaragaman bahasa bahkan menggalakkan pemindahan ilmu pengetahuan linguistik tanpa sempadan. Penterjemah AI dapat membuka ruang kepada peminat bahasa untuk merasai sendiri pengalaman meneroka kekayaan dan keintelektualan yang terdapat dalam bahasa Melayu itu sendiri. Situasi ini juga dapat dilihat sebagai satu usaha yang sejajar dengan inisiatif negara untuk memperkukuh dan memperkasakan kedudukan bahasa Melayu.

Sementara itu, ada kalanya kehadiran chatbox dalam AI digunakan oleh pengguna sebagai saluran untuk meluah rasa fikir mereka. Walaupun AI ialah entiti mesin, namun sifat efisiennya yang dapat menjawab setiap pertanyaan tidak dapat dinafikan mampu menimbulkan rasa minat pengguna untuk terus menggunakannya. Justeru itu, “keghairahan” ini perlu dioptimumkan dengan memahami konteks dan nuansa bahasa.

Kelebihan chatbox yang sentiasa bertindak secara responsif aktif dan memberikan jawapan yang relevan dapat membantu pengguna meningkatkan kefahaman dan penggunaan bahasa Melayu dengan lebih tepat. Sementelah, penggunaan bahasa yang mudah dan bersifat mesra menjadikan chatbox menjadi medium pilihan pembelajaran tambahan yang menyenangkan, terutamanya bagi pengguna yang ingin meningkatkan kemahiran berbahasa Melayu dan sekali gus mewujudkan percaya diri apabila berinteraksi dengan orang lain.

Dengan keupayaan mesin untuk mengenal pasti pertuturan, peranannya tidak terhad kepada penterjemahan semata-mata, bahkan memainkan peranan yang utama dalam mengukuhkan bahasa Melayu sebagai medium komunikasi yang efektif. Melalui penjana suara sintetik atau penjana suara AI dengan teknologi text-to-speech (TTS), iaitu menukar teks bertulis kepada audio yang dituturkan dilihat mampu menghidupkan bahasa Melayu dengan cara yang lebih dinamik.

Dalam bidang pendidikan, penjana suara AI dapat menggalakkan perkembangan kemahiran lisan. Para pengguna dapat mendengar, melakukan latihan komunikasi dan memahami bahasa Melayu secara autentik selain merangsang penglibatan aktif dalam pencarian maklumat dan memperoleh pembelajaran yang holistik.

Pemantapan sokongan teknologi kecerdasan buatan dalam bahasa Melayu menandakan suatu petunjuk yang positif dan membawa kevariasian faedah yang mencorakkan kehidupan masyarakat dan juga kemajuan negara. Antara yang dapat dikongsikan termasuklah perkembangan industri teknologi tempatan dilihat dapat merangsang pertumbuhan ekosistem digital.

Impaknya, masyarakat akan dapat menikmati pembangunan dengan pelbagai aplikasi, perisian, dan produk AI berbahasa Melayu yang dihasilkan, ibarat cendawan tumbuh selepas hujan. Ekosistem digital yang berkembang ini tidak hanya mencerminkan kemajuan teknologi bahkan menjadi titik penting kepada kedudukan bahasa Melayu dalam konteks teknologi dan sumbangan signifikannya terhadap penggayaan kosa kata.

Selain itu, AI juga berpotensi digunakan dalam pelbagai sektor termasuklah sektor pendidikan, kesihatan, dan pentadbiran. Misalnya dalam bidang pendidikan, penggunaan AI dalam pembelajaran bahasa Melayu membolehkan berlakunya penyesuaian aplikasi oleh guru terhadap bahan pengajaran. Para pelajar juga dapat memberikan maklum balas secara langsung yang dapat membantu pelajar menguasai bahasa Melayu dengan lebih efektif khususnya dari aspek sebutan, tatabahasa, dan kosa kata.

Keadaan ini tidak hanya memberikan peluang kepada pihak sekolah untuk merekayasa kurikulum yang disesuaikan dengan keperluan pelajar bahkan memastikan bahawa pelajar mencapai tingkat kecekapan berbahasa secara optimum dan membentuk persekitaran pembelajaran yang lebih fleksibel dan komprehensif.

Bagi memastikan kesinambungan manfaat teknologi AI dalam perkembangan bahasa Melayu dapat dinikmati, adalah penting untuk memulakan usaha menyeluruh dengan meningkatkan pemahaman literasi digital dalam kalangan masyarakat. Inisiatif daripada pihak swasta dan kerajaan dengan mengadakan kursus, seminar, dan bengkel literasi digital akan menjadi pemangkin utama untuk menggerakkan kesedaran ini.

Sementara itu, dalam konteks globalisasi, usaha memperkukuh kedudukan bahasa Melayu dalam teknologi juga perlu melibatkan kerjasama dengan pihak berkepentingan antarabangsa.

Transisi pengetahuan dan kerjasama dengan negara yang mempunyai kemahiran dan kepakaran dalam perkembangan teknologi bahasa akan memberikan manfaat dalam jangka panjang kepada kemajuan bahasa Melayu.

Penyelidikan lanjutan dalam bidang penggunaan teknologi kecerdasan buatan juga perlu diberi perhatian untuk memperkaya dan melestarikan bahasa Melayu agar menarik minat masyarakat tempatan dan membolehkan bahasa Melayu terus berkembang dalam era digital.

Penggunaan teknologi AI bukanlah seperti seekor cicak yang baru merasa gula dalam sesaat, iaitu digunakan dalam masa yang singkat, hanya mengikut gelombang arus perdana dan hilang ditelan masa.

Kita perlu membuka mata seluas-luasnya dan mencubit pipi sendiri bahawa teknologi ini suatu daya pemula atau  langkah yang mampu diangkat sebagai prospek masa depan yang signifikan untuk perkembangan dan kemajuan dalam bahasa Melayu. Berjuanglah demi memartabatkan bahasa Melayu! Hilang bahasa, lenyaplah bangsa.

Tiup api embun berderai,

Galah patah haluan perahu;

Niat hati tak nak bercerai,

Kuasa Allah siapa tahu.

 

 

Profesor Madya Dr. Salmah Jan Noor Muhammad − Pensyarah Kanan, Jabatan Bahasa Melayu, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia, yang juga Ahli Lembaga Amanah Yayasan Karyawan.

 

 

 

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.