7 Disember 2023, 15:31

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Prakarsa pragmatik untuk menyebarluaskan penggunaan bahasa berseni dalam pengucapan awam, pidato umum, ucapan, dan dalam perbahasan senantiasa dititikberatkan oleh pelbagai pihak, khususnya oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), yang prihatin tentang peri pentingnya keindahan, kehalusan serta kebestarian bahasa Melayu sebagai wahana komunikasi yang terampil dan cekap terus dinikmati oleh semua lapisan masyarakat.

Langkah bijak DBP menyumbangkan buku Kurik Kundi Merah Saga kepada Parlimen Malaysia seharusnya dipuji kerana prakarsa tersebut bukan sahaja memperlihatkan kesungguhan DBP untuk memperkukuh fungsi bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi, terutamanya dalam kalangan Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Negara, walau bagaimanapun menunjukkan bahawa Parlimen Malaysia sebagai kuasa tertinggi di negara ini juga sentiasa bersedia untuk memastikan Perkara 152 dalam Perlembagaan Persekutuan tetap diberikan perhatian dan keutamaan.

Sesungguhnya, sejauh yang berkaitan dengan fungsi bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dalam perbahasan di Parlimen, setiap pihak yang berkenaan semestinya peduli akan prinsip dan etika berbahasa serta berbahas yang cantik, tertib, persis dan mantap. Seseorang Ahli Parlimen atau pembahas bukan sahaja petah berkata-kata dan pintar berhujah, tetapi juga harus peka akan kepersisan, kegramatisan dan keindahan bahasa yang diungkapkan oleh mereka ketika berbahas.

Kepersisan bahasa, ketertiban dan gaya bahasa itu sangat utama dalam perbahasan di institusi yang teramat penting seperti Parlimen, sekali gus sejajar dengan pandangan umum bahawa para Ahli Yang Berhormat itu ialah suri teladan kepada masyarakat, terutamanya dari aspek ketertiban, kebijaksanaan serta kecerdasan berbahas dan berhujah.

Dalam konteks ini, sekurang-kurangnya terdapat 10 aspek utama yang berkaitan dengan bahasa dan gaya bahasa dalam berbahas yang perlu diketahui dan dikuasai oleh setiap pembahas, iaitu bahasa yang ringkas dan padat, yang jelas, yang tepat, yang menarik dari segi pola ayat dan pemilihan kata, serta aspek seni bahasa, gaya sendiri, sesuai dengan khalayak, dan sesuai dengan mauduk perbahasan.

Kesepuluh-sepuluh aspek tersebut jika dikuasai akan memperlihatkan bahawa seseorang pembahas itu, dan dalam konteks ini, seseorang Ahli Yang Berhormat sememangnya terampil, cekap, persis, hemat dan cerdas dalam penggunaan bahasa sebagai wahana penyampaian hujah dan pengungkapan idea bernas.

Penggunaan bahasa yang indah dan bijak seperti pantun dalam pidato, perbahasan, dan bahkan dalam tulisan merupakan satu daripada gaya bahasa yang cantik dan menarik. Pantun ialah genre puisi Melayu tradisional yang menggambarkan jiwa dan keperibadian maha wangsa Melayu, serta suku bangsa Melayu yang lain.

Buku Kurik Kundi Merah Saga ialah Kumpulan Pantun Lisan Melayu yang menghimpunkan 5653 rangkap pantun yang diungkapkan oleh bangsa Melayu di kawasan Selatan yang terdiri daripada negeri Johor dan Melaka, kawasan Tengah yang meliputi negeri Selangor dan Negeri Sembilan, kawasan Utara yang merangkumi negeri Perak, Kedah dan Perlis, kawasan Timur yang mencakupi negeri Kelantan, Terengganu dan Pahang, kawasan Sarawak dan kawasan Sabah.

Seyogianya, pantun cukup luas pengaruhnya dalam masyarakat Melayu tradisional khususnya kerana pantun telah menjadi wahana untuk mendidik, meluahkan pelbagai perasaan, melahirkan penghargaan, menyatakan perihal adat istiadat, mengiaskan berbagai-bagai sindiran, mengungkapkan pemikiran dan falsafah, dan untuk saling menghiburkan antara penuturnya.

Hatta, terdapat beberapa alat sokongan yang boleh dimanfaatkan sebaik-baik mungkin oleh seseorang pemidato atau pembahas. Alat-alat sokongan itu diaplikasikan untuk memperkembang idea, memperjelas idea, menjadikan ucapan lebih menarik, membantu khalayak mengingat idea dan sebagai bukti.

Dalam konteks komunikasi bersemuka seperti dalam perbahasan di Parlimen khususnya, penggunaan pantun, dan ungkapan puitis yang lain seperti peribahasa, gurindam serta seloka ialah suatu alat sokongan untuk memperjelas idea dan menjadikan ucapan itu menarik.

Penyerahan buku Kurik Kundi Merah Saga oleh DBP kepada pihak Parlimen bolehlah dianggap sebagai suatu simbolik bahawa puisi tradisional, terutamanya pantun, perlu dilestarikan, sekali gus dijadikan wahana untuk memperindah inti pati perbahasan, dan mempertingkatkan seni berbahasa yang santun dalam kalangan Ahli Parlimen, termasuklah Ahli Dewan Negara.

Kurik Kundi Merah Saga mengumpul sejumlah 5653 rangkap pantun yang menjadi saksi kepada ketulenan dan keaslian lidah orang Melayu.

Syahadan, pantun-pantun lisan yang termuat dalam buku itu bukan sahaja berupa pendokumentasian tentang kearifan suku bangsa Melayu di seluruh pelosok tanah air, walau bagaimanapun, juga merupakan rakaman ketinggian pemikiran dan falsafah hidup, kehalusan akal budi, dan keluhuran hati nurani bangsa Melayu yang perlu dipelihara sebaik-baik mungkin.

Pantun-pantun lisan yang dimuatkan dalam buku tersebut sememangnya menyuratkan dan menyirat pelbagai nilai murni serta pemikiran yang tinggi yang sangat perlu untuk dihayati, dan sekali gus dijadikan panduan hidup yang sangat berguna kepada masyarakat seperti yang diungkapkan dalam dua rangkap pantun yang berikut:

Kalau tuan pergi ke Kelang,

Berikan saya semangkuk rojak;

Jangan diturut resmi kiambang,

Sungguhpun hijau akar tak jejak.

 

Gertak-gertak perahu Cina,

Singgah bermalam di Tanjung Jati;

Panah rusa gajah yang kena,

Rusa dilihat pelanduk yang mati.

 

Selain itu, buku tersebut boleh dimanfaatkan oleh Ahli Yang Berhormat dan pihak yang berkaitan sebagai rujukan, dan untuk mengenali serta mengakrabi pantun-pantun lisan yang diciptakan serta dituturkan oleh suku bangsa Melayu di kawasan masing-masing. Prakarsa murni sebegini tentunya akan diteruskan dan diperluas oleh DBP kepada Dewan Undangan Negeri, serta merangkumi pelbagai genre buku bahasa dan sastera yang lain.

Buku Kurik Kundi Merah Saga itu tentunya sedikit banyak dapat mempertingkatkan kepekaan dan kepedulian dalam kalangan masyarakat penggubal dasar negara khususnya tentang peri pentingnya memelihara dan menyebarluaskan pantun sebagai warisan bangsa yang ternilai harganya, sekali gus untuk senantiasa sehati sejiwa dan seiring sejalan dengan DBP dalam mengikhlaskan kecintaan kepada bahasa kebangsaan, serta memurnikan keprihatinan terhadap kesusasteraan kebangsaan.

 

 

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.