8 Disember 2023, 15:32

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Dunia pada zaman yang serba-serbi pantas ini mempengaruhi setiap tindak-tanduk manusia, sama ada secara langsung atau tidak langsung, termasuklah dari aspek komunikasi. Masyarakat, terutamanya golongan remaja, memilih untuk menghantar maklumat secara pantas tanpa mengambil kira aspek bahasa yang betul.

Buktinya, kebanyakan pengguna bahasa kerap menggunakan bahasa rojak, bahasa singkatan, dan bahasa slanga, selain melakukan pelbagai kesalahan bahasa di media sosial masing-masing. Situasi ini memberikan cabaran yang besar kepada guru Bahasa Melayu di sekolah.

Hal ini dikatakan demikian kerana pelajar terbawa-bawa kebiasaan tersebut dalam jawapan kertas peperiksaan masing-masing. Natijahnya, banyak pelajar gagal mata pelajaran tersebut pada peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan pelajar sekolah di Malaysia masih belum mencapai tahap yang membanggakan sedangkan bahasa tersebut merupakan bahasa kebangsaan dan diajar sejak darjah 1 di sekolah rendah. Walaupun mempelajari mata pelajaran Bahasa Melayu selama sebelas tahun, terdapat pelajar, termasuklah pelajar Melayu yang masih gagal menguasai bahasa ini sehingga gagal dalam peperiksaan SPM.

Terdapat pelbagai faktor yang menyebabkan perkara ini berlaku. Antaranya termasuklah sikap pelajar, persekitaran pelajar, serta globalisasi dan media massa.

Kegagalan pelajar menguasai bahasa Melayu kebanyakannya berpunca daripada sikap pelajar itu sendiri. Pelajar, terutamanya pelajar Melayu sering beranggapan bahawa Bahasa Melayu merupakan mata pelajaran yang mudah. Hal ini dikatakan demikian kerana bahasa Melayu merupakan bahasa ibunda dan digunakan untuk berkomunikasi pada setiap hari. Pelajar jarang-jarang memperuntukkan masa untuk mengulang kaji mata pelajaran tersebut sebagaimana mata pelajaran lain, seperti Sains dan Matematik.

Kebanyakan pelajar juga tidak pergi ke kelas tambahan atau tuisyen bagi mata pelajaran Bahasa Melayu kerana beranggapan bahawa pembelajarannya di dalam bilik darjah sudah memadai. Segelintir pelajar Melayu juga beranggapan bahawa bahasa ini telah dikuasai dengan baiknya kerana mampu bertutur dalam bahasa tersebut dengan baiknya.

Penerima Anugerah Penulis Asia Tenggara (SEA Write Award) dan pejuang bahasa, Dr. Lim Swee Tin menyatakan bahawa terdapat segolongan pelajar yang mengambil mudah dan tidak mempedulikan kepentingan menguasai mata pelajaran Bahasa Melayu sehingga tidak kisah, sama ada lulus atau tidak.

Bagi pelajar bukan Melayu menurut Zamri Mahamod dan Mohd Embi dalam makalah “Sikap Pelajar Cina terhadap Pembelajaran Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kedua”, sikap negatif terhadap bahasa Melayu mempengaruhi tahap penguasaan bahasa ini dalam kalangan pelajar Cina. Sikap negatif ini dikaitkan dengan kurangnya pendedahan terhadap bahasa Melayu dari aspek membaca buku berbahasa Melayu, menonton rancangan televisyen dalam bahasa Melayu, dan berkomunikasi dalam bahasa Melayu.

Abdul Rasid Jamian dalam makalah “Permasalahan Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Melayu dalam Kalangan Murid Cina” pula menyatakan bahawa pelajar Cina hanya mempelajari bahasa Melayu kerana diwajibkan dan perlu lulus dalam SPM. Hal ini bermakna, jika bahasa Melayu tidak diwajibkan, ada kebarangkalian bahawa pelajar Cina tidak mahu belajar bahasa tersebut.

Persekitaran pelajar juga merupakan antara faktor segelintir pelajar, terutamanya pelajar bukan Melayu, gagal menguasai bahasa Melayu. Penganalisis bidang sosiopolitik, iaitu Khoo Kay Pheng menyatakan bahawa kurangnya pendedahan bahasa Melayu secara terbuka menyebabkan pelajar bukan Melayu gagal menguasai bahasa tersebut. Hal ini dikatakan demikian kerana pelajar ini hanya mempelajari mata pelajaran Bahasa Melayu di sekolah dan menggunakan bahasa lain ketika berinteraksi dengan ahli keluarga dan rakan.

Bagi pelajar bukan Melayu di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) pula, jumlah pelajar bukan Melayu yang lebih ramai menyebabkan penggunaan bahasa Melayu bertambah terhad. Tambahan pula, bahasa Melayu tidak digunakan sebagai bahasa pengantar dalam sesi pelajaran dan pembelajaran (PdP) di SJK.

Ibu bapa merupakan ejen sosialisasi yang paling penting bagi pelajar sebelum dipengaruhi oleh ejen sosialisasi lain, seperti rakan sebaya atau pihak sekolah. Tambahan pula, tempoh masa pelajar berada di rumah lebih lama daripada berada di sekolah. Zaleha Sulaiman dalam makalah “Pengurusan Pencapaian Akademik Pelajar Sekolah Menengah di Luar Bandar: Kes Empat Buah Sekolah Menengah di Negeri Kedah Darul Aman” menyatakan bahawa ibu bapa merupakan individu yang bertanggungjawab dalam pembentukan konsep diri pelajar. Ibu bapa pada zaman ini terutamanya yang menetap di bandar besar sering menggunakan bahasa Inggeris ketika berkomunikasi di rumah.

Kebanyakan ibu bapa juga gemar menyajikan buku dalam bahasa Inggeris berbanding dengan bahasa Melayu kepada anak masing-masing. Hal ini jelas membimbangkan kerana menyebabkan pelajar pada zaman ini kurang mahir dalam bahasa Melayu.

Ketua Eksekutif Liitle Sun Sdn. Bhd., Leon Ang Kok Leong yang merupakan penerbit buku turut menyatakan bahawa permintaan buku bahasa Inggeris, terutamanya cerita klasik kanak-kanak, seperti Cinderella mempunyai permintaan yang lebih tinggi berbanding dengan buku bahasa Melayu, terutamanya di kawasan bandar.

Pelajar sekolah juga gagal menguasai bahasa Melayu disebabkan oleh faktor globalisasi dan media massa. Bahasa Inggeris digunakan dengan meluasnya dalam perdagangan global dan dianggap sebagai bahasa elit, termasuklah di Malaysia. Hal ini menyebabkan kerajaan mahu rakyatnya berjaya menguasai bahasa tersebut. Keinginan ini diserlahkan menerusi pelaksanaan program Dwibahasa atau Dual Language Programme (DLP) di sekolah secara rintis.

Masyarakat juga beranggapan bahawa bahasa Inggeris ialah kayu ukur kebijaksanaan manusia. Bukan itu sahaja, pasaran pekerjaan di Malaysia juga mensyaratkan penguasaan bahasa Inggeris sebagai syarat untuk bekerja. Hal ini menyebabkan pelajar lebih menumpukan perhatian untuk menguasai bahasa Inggeris sehingga mengabaikan penguasaan bahasa Melayu.

Penguasaan bahasa Melayu yang semakin lemah boleh mencetuskan kepupusan bahasa Melayu. Media massa yang digunakan secara meluas juga menambahkan lagi faktor kegagalan pelajar sekolah dari aspek penguasaan bahasa Melayu.

Penggunaan media massa yang meluas dalam kehidupan pelajar telah mempengaruhi tahap penguasaan bahasa Melayu di sekolah, terutamanya bahasa singkatan dan bahasa rojak. Pelajar sering terbawa-bawa kebiasaan tersebut sehingga terkeliru dengan penggunaan ejaan dan tatabahasa yang betul ketika menjawab soalan peperiksaan.

Globalisasi yang melanda dunia mampu menyebabkan kepupusan bahasa dengan kadar yang lebih pantas. Menurut Teo Kok Seong dalam makalah “Bahasa Melayu dan Komunikasi dalam Dunia Globalisasi: Persoalan Keupayaan Bahasa Melayu, Keutuhan Jati Diri Bangsa Melayu dan Ketakatan Budaya Melayu”,  bahasa yang mengalami kemusnahan boleh pupus dalam tempoh 25 hingga 50 tahun sahaja berbanding dengan tempoh 50 hingga 100 tahun tanpa globalisasi.

Tambahan pula, sikap bangsa sendiri yang terikut-ikut akan rentak globalisasi dunia yang terlalu mengagung-agungkan bahasa Inggeris juga telah menyebabkan mereka masih gagal menguasai bahasa kebangsaan negara Malaysia, iaitu bahasa Melayu. Oleh itu, penguasaan bahasa Melayu yang semakin kurang dalam kalangan pelajar Malaysia wajar diberi perhatian oleh pelbagai pihak kerana mampu menjadi faktor kepupusan bahasa tersebut.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.