Oleh Kho Thong Eng
11 Disember 2023, 08:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kata kerja dengan imbuhan meN- meliputi kata kerja transitif dan tak transitif. Penambahan imbuhan meN- menerbitkan pelbagai makna pada kata kerja. Antara lain, maknanya termasuk “melakukan sesuatu”. Contoh katanya ialah menangis, mendukung dan menggoreng. Sila lihat contoh yang berikut:

1a.  Budak perempuan itu sedang menangis.

1b.  Dia mendukung anaknya.

1c.  Dia menggoreng ikan.

 

Ada imbuhan meN- yang membawa maksud “menjadi seperti”. Contoh katanya ialah menghujan, membukit dan mengabdi. Sila lihat contoh yang berikut:

2a.  Panah musuh menghujan datangnya.

2b.  Sampah sarap itu membukit tingginya.

2c.  Dia mengabdi kepada tuannya.

 

Ada imbuhan meN- yang bermaksud “menjadi”. Contoh katanya ialah mengecut, membesar, mendua dan memerah. Sila lihat contoh yang berikut:

3a.  Belon itu mengecut apabila angin dilepaskan.

3b.  Anaknya semakin membesar.

3c.  Dengan tidak mendua fikirannya, dia menyatakan kesetiaannya.

3d.  Mukanya memerah kerana dia kemalu-maluan.

 

Ada imbuhan meN- yang bererti “mengeluarkan bunyi”. Contoh katanya ialah mengaduh, mengaum, dan menguak. Sila lihat contoh yang berikut:

4a.  Dia mengaduh kerana sakit.

4b.  Harimau itu mengaum.

4c.  Kerbau itu menguak.

 

Ada imbuhan meN- yang bererti “menuju” atau “pergi ke”. Contoh katanya ialah mendarat, meminggir dan menyeberang. Sila lihat contoh yang berikut:

5a.  Kapal terbang itu sudah mendarat.

5b.  Dia meminggir supaya tidak dilanggar kereta.

5c.  Dia menyeberang untuk ke pekan.

 

Ada imbuhan meN- yang bermaksud “mengenakan sesuatu pada”. Contohnya seperti mendenda, mencukai, mencelak dan mengaising. Sila lihat contoh yang berikut:

6a.  Hakim mendenda pesalah itu.

6b.  Kerajaan mencukai barangan import.

6c.  Gadis itu mencelak matanya.

6d.  Dia mengaising keknya.

 

Ada imbuhan meN- yang mendukung makna “mencari” atau “mengumpulkan”. Contoh katanya ialah mendamar dan merotan. Sila lihat contoh yang berikut:

7a.  Dia mendamar di hutan.

7b.  Dia merotan di hutan.

 

Ada imbuhan meN- yang bererti “membuang”. Contoh katanya ialah merumput. Sila lihat contoh yang berikut:

  1.  Dia sedang merumput di kebunnya.

 

Ada imbuhan meN- yang bermakna “memberikan”. Contoh katanya ialah menggaji, mengupah dan menyirih. Sila lihat contoh yang berikut:

9a.  Dia mengupah tukang jahit untuk membuat gaunnya.

9b.  Kerajaan menggaji guru untuk mendidik generasi muda.

9c.  Dia menyirih kepada semua tetamu.

 

Ada imbuhan meN- yang bererti “menjadikan sesuatu sebagai”. Contoh katanya ialah menggulai dan menjeruk. Sila lihat contoh yang berikut:

10a.  Dia sedang menggulai ikan.

10b.  Dia menjeruk buah itu.

 

Ada imbuhan meN- yang bererti “menggunakan sesuatu sebagai alat”. Contoh katanya ialah menjala, menelefon dan menjerat. Sila lihat contoh yang berikut:

11a.  Dia sedang menjala ikan.

11b.  Dia menelefon ibunya.

11c.  Dia gemar menjerat burung.

 

Ada imbuhan meN- yang ditambah pada kata bilangan tiga, tujuh dan seratus untuk menghitung hari kematian.  Contohnya ialah kata meniga, menujuh dan menyeratus.  Sila lihat contoh berikut:

  1.  Kematiannya sudah meniga/menujuh/menyeratus hari.

 

Ada imbuhan meN- yang ditambah pada kata ganti nama diri orang pertama aku dan bermakna “mengeyakan”. Sila lihat contoh yang berikut:

  1.  Dia mengaku bahawa dia bersalah.

 

Ada imbuhan meN- yang bererti “membuat sesuatu”. Contoh katanya ialah menyambal. Sila lihat contoh yang berikut:

  1.  Dia sedang menyambaldi dapur.

 

Ada imbuhan meN- yang menampakkan kiasan melompat dari segi maksudnya. Sila lihat contoh berikut:

15a.  Dia menjahit baju.

15b.  Dia menumbuk sambal.

15c.  Dia memerah santan.

 

Dalam ayat 14a, menjahit baju sebenarnya bermaksud “menjahit kain untuk dijadikan baju”. Dalam ayat 14b, menumbuk sambal sebenarnya bermaksud “menumbuk pelbagai ramuan untuk dijadikan sambal”. Dalam ayat 14c, memerah santan sebenarnya bermaksud “memerah kelapa parut untuk mendapat santan”.

Ada imbuhan meN- yang bererti “menghisap atau minum sesuatu”. Contoh katanya ialah menyusu. Sila lihat contoh yang berikut:

  1.  Bayi itu sedang menyusu.

 

Ada imbuhan meN- yang bererti “menyampaikan sesuatu kepada seseorang”. Contoh katanya ialah memberi. Dalam hal ini, kata kerja memberi perlu diikuti oleh dua objek, iaitu objek tepat dan objek sipi. Sila lihat contoh yang berikut:

  1.  Dia memberi kawannya hadiah.

 

Ada imbuhan meN- yang bererti “melalui”. Contoh katanya ialah mendesa. Sila lihat contoh yang berikut:

  1.  Beliau berjalan mendesa untuk menemui para penyokong.

 

Ada imbuhan meN- yang bermaksud “mengeluarkan”. Contoh katanya ialah membusa dan membuih. Sila lihat contoh yang berikut:

19a.  Syampu membusa pada rambutnya.

19b.  Sabun itu membuih apabila dicampurkan dengan air.

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.