14 Disember 2023, 11:22

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Idea pembakuan sebutan bahasa Melayu mula diketengahkan dalam Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu Ketiga di Singapura dan Johor Bahru pada tahun 1956. Selepas itu, penekanan terhadap ejaan dan bunyi sebutan juga jelas tercatat dalam Ordinan Dewan Bahasa dan Pustaka (pindaan 1972). Kemudian, beberapa penyelidikan telah dijalankan tentang sebutan baku melalui bengkel dan seminar sejak awal Rancangan Malaysia Keempat pada tahun 1981.

Tahun 1984 menjadi titik tolak yang bersejarah dalam usaha pembakuan bahasa Melayu. Menteri Penerangan Malaysia pada masa itu telah mengumumkan bahawa siaran Radio Televisyen Malaysia (RTM) dijadikan sebagai media rasmi untuk melaksanakan penggunaan sebutan baku bahasa Melayu. Namun begitu, pengumuman tersebut telah mengundang perasaan kurang senang sesetengah pihak dan akhirnya idea tersebut terhenti begitu sahaja.

Pada tahun 1988, penggunaan sebutan baku dalam bidang pendidikan mula dilaksanakan melalui Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM). Menteri Pendidikan pada ketika itu menyatakan bahawa pembakuan bahasa Melayu adalah wajar kerana bahasa Melayu ialah bahasa rasmi, bahasa ilmu dan bahasa komunikasi di Malaysia.

Penggunaan bahasa Melayu yang betul bukan sahaja merangkumi aspek tatabahasa, malah aspek sebutan yang juga perlu diutamakan. Ahli bahasa sependapat dari segi dasar sebutan baku bahasa Melayu, iaitu sebutan bagi kata bahasa Melayu mestilah berdasarkan sebutan fonemik atau sebutan berdasarkan ejaan.

Pelaksanaan sebutan baku di institusi pendidikan, khususnya di sekolah di seluruh negara berjalan serentak dengan KBSM pada tahun 1988. Sebutan baku yang dirumuskan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah diintegrasikan dalam sukatan pelajaran baharu bagi mata pelajaran Bahasa Melayu.

Pada 30 September 1993, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah mengarahkan semua sekolah di Malaysia untuk menggunakan sebutan baku melalui Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 2/1993: Tarikh Penyempurnaan Pelaksanaan Bahasa Melayu Sebutan Baku.

Surat pekeliling tersebut dikeluarkan untuk memaklumkan bahawa KPM telah memutuskan bahawa bahasa Melayu sebutan baku diwajibkan dalam Ujian Lisan Bahasa Melayu Tahun 6 bagi SK/SRK yang dikendalikan sepenuhnya oleh sekolah, Ujian Lisan Bahasa Melayu Tingkatan 3, yang dikendalikan sepenuhnya oleh sekolah dan Ujian Lisan Bahasa Melayu Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), yang dikendalikan sepenuhnya oleh Lembaga Peperiksaan. Arahan tersebut berkuat kuasa mulai tahun 1994.

Selain itu, surat pekeliling tersebut turut menyatakan bahawa semua aktiviti pengajaran dan pembelajaran, aktiviti kokurikulum dan upacara rasmi lain, seperti pertandingan perbahasan, syarahan dan seminar mestilah dilaksanakan dengan menggunakan bahasa Melayu sebutan baku untuk memantapkan penguasaan bahasa Melayu sebutan baku.

Hal ini membuktikan bahawa kerajaan sangat serius dan komited untuk melaksanakan sebutan baku bahasa Melayu. Setelah surat pekeliling tersebut dikeluarkan, sekolah di seluruh Malaysia mula menggunakan sebutan baku dalam sesi pengajaran dan pembelajaran bagi mata pelajaran Bahasa Melayu dan mata pelajaran yang menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar, seperti Pendidikan Seni, Sains dan Pendidikan Moral.

Bukan itu sahaja, beberapa rangkaian televisyen juga mula menggunakan sebutan baku dalam rancangan bual bicara, berita dan penyampaian maklumat kepada penonton.

Keadaan ini berterusan hingga tahun 2000 apabila KPM mengeluarkan surat pekeliling baharu yang membatalkan pekeliling yang bertarikh 30 september 1993. Surat pekeliling baharu yang dimaksudkan ialah Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 3/2000: Pelaksanaan Sebutan Baku dalam Pengajaran dan Pembelajaran Mata Pelajaran Bahasa Melayu di Sekolah yang bertarikh 16 Februari 2000. Melalui surat pekeliling tersebut, pelaksanaan penggunaan sebutan baku bahasa Melayu dibatalkan.

Antara perkara penting yang ditegaskan dalam surat pekeliling tersebut termasuklah mesyuarat Jemaah Menteri telah memutuskan bahawa sebutan baku yang terus dilaksanakan di sekolah adalah untuk tujuan pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran Bahasa Melayu sahaja.

Walau bagaimanapun, untuk ujian lisan dalam peperiksaan awam, sebutan baku atau sebutan biasa boleh digunakan. Bagi pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran selain Bahasa Melayu dan urusan lain di sekolah, sebutan biasa digunakan.

Kerajaan Malaysia telah membuat keputusan untuk memansuhkan sebutan baku bahasa Melayu pada tahun 2000. Berdasarkan laporan Utusan Malaysia bertarikh 26 Januari 2000, pihak kerajaan bersetuju untuk mengekalkan keputusan memansuhkan penggunaan sebutan baku bahasa Melayu yang diperkenalkan pada tahun 1988 di semua stesen televisyen dan radio milik kerajaan dan swasta selepas membuat pertimbangan yang teliti.

Susulan daripada tindakan itu, KPM juga memansuhkan penggunaan sebutan bahasa Melayu baku di sekolah selaras dengan keputusan kerajaan untuk menghentikan penggunaannya dalam bidang penyiaran. Menteri Pendidikan pada ketika itu, iaitu Tan Sri Musa Mohammad menyatakan bahawa arahan kepada sekolah untuk memansuhkan bahasa baku hanya melibatkan aspek sebutan. Dari segi istilah dan ejaan, penggunaan bahasa baku masih diteruskan.

Terdapat pelbagai sebab yang menyebabkan kerajaan Malaysia membuat keputusan untuk memansuhkan sebutan baku bahasa Melayu pada tahun 2000. Timbalan Perdana Menteri pada masa itu menyatakan bahawa kerajaan memahami bahawa rakyat Malaysia tidak dapat menerima penggunaan sebutan baku bahasa Melayu secara menyeluruh walaupun telah dilaksanakan selama 11 tahun.

Menurut beliau lagi, kajian semula penggunaan sebutan baku bahasa Melayu telah dibangkitkan dalam mesyuarat kabinet setelah kerajaan mendapati bahawa sebutan itu masih tidak diterima, sebaliknya sebutan yang popular dan disenangi ialah sebutan biasa dan mirip sebutan Johor–Riau.

Arahan untuk memansuhkan penggunaan sebutan baku bahasa Melayu di semua stesen televisyen dan radio kerajaan dan swasta pula diputuskan oleh kabinet kerana penggunaannya tidak menggambarkan realiti berbahasa rakyat Malaysia.

Selain itu, kabinet juga berpendapat bahawa penggunaan sebutan bahasa baku perlu dihentikan penggunaannya di televisyen dan radio kerana sebutan baku berbeza daripada sebutan yang sering digunakan oleh rakyat di negara ini.

Keputusan kabinet itu kemudiannya diikuti oleh KPM dengan alasan bahawa sebutan bahasa baku berbeza daripada bahasa biasa. Tambahan pula, Menteri Pendidikan pada ketika itu, iaitu Tan Sri Musa Mohammad mengakui bahawa sememangnya terdapat segelintir guru yang tidak menggunakan bahasa baku dalam proses pengajaran dan pembelajaran.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.