Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangPagoh − Usaha untuk mengkomersialkan ekolinguistik giat dijalankan terutamanya dari aspek herba dan bahasa. Sejajar dengan usaha tersebut, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Nasuha Herbs menjalinkan kerjasama bagi merealisasikan usaha tersebut.
Sebanyak 12 orang pelajar jurusan Bahasa Melayu untuk Komunikasi Antarabangsa bersama-sama dua orang pensyarah menjalankan kajian untuk mengkomersialkan elemen ekolinguistik herba melalui pendokumentasian. Selain itu, jalinan kerjasama ini juga untuk mengetengahkan aspek ekolinguistik dari sudut penggunaan herba dan alam Melayu.
Menurut Encik Hariz Nasuha, jalinan kerjasama antara universiti dengan industri penting bagi mewujudkan perkongsian ilmu dan kesejahteraan masyarakat dapat diteruskan.
Menurut beliau lagi,
Hubungan bahasa dan budaya terhadap penggunaan herba dalam kehidupan amat rapat terutamanya dalam perubatan Melayu. Justeru, aspek ekolinguistik dilihat memberikan pengaruh kepada penggunaan herba dalam kehidupan.
Di Nasuha Herbs pula, terdapat lebih daripada enam ribu herba yang diperoleh sama ada dari dalam atau luar negara. Antaranya termasuklah Gora, All Spices, Cinnamon dan Garcinia.
Herba yang diimport perlulah menjalani proses penyesuaian iklim agar herba yang ditanam dapat beradaptasi dengan iklim di sini. Herba yang diimport juga mempunyai risiko yang tinggi jika tidak diberi penjagaan yang betul dan air yang cukup.
Tambah Encik Hariz Nasuha, Nasuha Herbs juga menghasilkan pelbagai produk tersendiri seperti rempah ratus Mak Siti, produk kecantikan dan kesihatan Nasuha Herbs, makanan dan minuman dan minyak pati.
Minyak pati yang dihasilkan di Nasuha Herbs mempunyai permintaan yang tinggi sama ada dari dalam atau luar negara. Produk yang dihasilkan melalui minyak pati ini adalah seperti minyak wangi, alatan kosmetik dan peresap.
Selain itu, Nasuha Herbs juga menyediakan perkhidmatan touring, pusat latihan, kem bina diri, inap desa dan chalet. Dengan aktiviti yang disediakan, elemen ekolinguistik dapat diterapkan terutamanya dalam menghayati unsur ekologi dan linguistik yang terdapat di Nasuha Herbs.
Penggunaan unsur ekologi dalam bidang linguistik seperti penggunaan herba dalam peribahasa, pantun, pantang larang dan tabu dilihat mempunyai peranannya yang tersendiri dalam masyarakat.
Sebagai contoh, pantun seperti “Sudah gaharu cendana pula, Sudah tahu bertanya pula”. Jika diperhatikan melalui pantun ini, dapat dijelaskan penggunaan herba dalam pantun tersebut yang sangat berkait rapat dengan ekologi yang seperti diketahui menjadi sumber utama masyarakat Melayu.