Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangJurufoto: Mohd Hanafi
Shah Alam – Debat bukan semata-mata bergantung pada kelancaran dan kepetahan berhujah, tetapi yang lebih utama ialah keupayaan mengartikulasikan idea, wawasan dan wacana. Di samping itu, debat juga menyuburkan budaya ilmu dan budaya wacana idea. Oleh itu, debat ialah suatu aktiviti yang wajar dan mesti dibudayakan dalam masyarakat Malaysia ke arah melahirkan generasi yang kreatif dan seimbang daripada dimensi ilmu dan akhlak.
Demikianlah antara inti pati ucapan alu-aluan oleh YB Senator Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abdul Kadir, Menteri Pendidikan Tinggi Malaysia pada Majlis Pertandingan Akhir Debat Diraja 2023 yang berlangsung pada pagi ini.
Tambah beliau, dalam dunia sebenar, debat ialah wacana mengenai sesuatu topik yang melibatkan interaksi dan dialog antara pihak yang berbeza pendapat yang menyampaikan hujah masing-masing dengan tujuan untuk meyakinkan audiens yang menyaksikannya.
Arena ini amat signifikan dalam melahirkan pelajar cemerlang dari segi akademik, sahsiah dan keterampilan. Inilah kualiti mahasiswa yang kita mahu lahirkan, bukan sahaja kerana bijak dan petah berkata-kata, malah yang lebih penting, mengolah situasi dengan fakta yang mantap.
Menurutnya lagi, sebagai suatu wahana untuk meyakinkan khalayak, debat amat terkait rapat dengan ilmu retorika, iaitu mencipta kreativiti dan menyerlahkan etika si pembicara (etos), menyuburkan aspek emosi dan psikologi dalam kalangan audiens (patos) dan yang paling utama ialah pola penghujahan dan artikulasi idea (logos).
Majlis Pertandingan Akhir Debat Diraja 2023 pada pagi ini yang dianjurkan oleh Universiti Teknologi MARA (UiTM) dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Tinggi, Majlis Debat Universiti Malaysia, dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah diadakan di Dewan Agung Tuanku Canselor, UiTM Shah Alam, Selangor, dan disempurnakan perasmiannya oleh Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Hajah Norashikin Abdul Rahman.
Pertandingan Akhir Debat Diraja 2023 ini menyaksikan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berjaya ke peringkat akhir bagi Kategori Bahasa Melayu Utama. UKM diumumkan sebagai johan, seterusnya membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM5,000.00, piala pusingan, piala iringan dan piala individu, serta buku terbitan DBP. Sebagai naib johan, UIAM membawa pulang wang tunai berjumlah RM3,000.00, piala iringan dan buku terbitan DBP.
Yang turut hadir dalam majlis ini ialah YBhg. Dato’ Dr. Haji Megat Sany Megat Ahmad Supian, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPPT; YBhg. Profesor Dr. Azlinda Azman, Ketua Pengarah KPPT; YBhg. Profesor Emeritus Datuk Dr. Raduan Che Rose, Pengerusi Lembaga Pengarah UiTM; YBhg. Datuk Profesor Ts. Dr. Shahrin Sahib @ Sahibuddin, Naib Canselor UiTM; pensyarah dan pelajar universiti, serta tetamu undangan yang lain.