Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangJohor – Permasalahan utama murid di kelas pemulihan adalah disebabkan oleh kurangnya motivasi belajar. Hal ini demikian kerana mereka masih tidak mengenal huruf dan mempunyai masalah tegar kehadiran ke sekolah.
Menurut Cikgu Nurlailey Mohd Aroff, guru kelas pemulihan, perbezaan tahap penguasaan kemahiran membaca menyebabkan mereka dipinggirkan kerana mengganggu PdPc. Oleh itu, pelbagai usaha perlu dilakukan supaya mereka tidak ketinggalan di dalam kelas arus perdana seperti mempelajari mata pelajaran Pendidikan Islam, supaya mereka boleh menghafal surah al-Fatihah, tahu pergerakan dalam solat, boleh mengira dan menulis.
Bagi memastikan hak mereka untuk terus belajar tidak terhalang, kolaborasi antara Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Kampus Pagoh, dengan Sekolah Kebangsaan Pekan Pagoh, Johor, ibu bapa dan Syarikat Ikhlas Travel Com Sdn. Bhd. telah mengadakan program Ayuh Gilap Membaca.
Sebanyak 33 orang pelajar Usrah in Action bersama dengan pensyarahnya, iaitu Dr. Nora’Azian Nahar dan Dr. Nurhanis Shiddan telah “turun padang” menemui murid-murid di kelas pemulihan, guru-guru Bahasa Melayu dan ibu bapa untuk mendapatkan maklumat.
Objektif program ini adalah untuk menterjemahkan pengetahuan dan kefahaman pembangunan lestari kepada latihan praktikal di lapangan. Melalui usaha fardu kifayah ini, para pelajar akan bersedia untuk belajar kemahiran hidup bersama-sama masyarakat, di samping mempersiapkan diri untuk menjadi graduan yang seimbang, memikul peranan sebagai khalifah dan menyumbang bakti kepada masyarakat serta mewujudkan semangat Rahmatan Lil ‘alamin.