Oleh Kho Thong Eng
20 Disember 2023, 09:34

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Pada umumnya, setiap kata sememangnya mempunyai makna atau fungsi tatabahasa yang tersendiri. Namun demikian, ada juga kata pelbagai fungsi yang hadir dalam struktur frasa atau ayat yang berbeza-beza. Sila lihat contoh yang berikut:

1a.  Hasil yang ditanamnya menjadi.

1b.  Dia menjadi kaya.

1c.  Dia menjadi guru.

Dalam ayat 1a, kata menjadi ialah kata kerja tak transitif tanpa pelengkap. Dalam ayat 1b, kata menjadi ialah kata kerja tak transitif yang harus diikuti kata adjektif pelengkap seperti kaya. Dalam ayat 1c pula, kata menjadi ialah kata kerja tak transitif yang perlu diikuti kata nama pelengkap seperti guru.

 

2a.  Dia memang berada.

2b.  Dia berada di kampung.

Dalam ayat 2a, kata berada ialah kata kerja tak transitif tanpa pelengkap. Dalam ayat 2b, kata berada ialah kata kerja tak transitif yang wajib diikuti frasa sendi nama pelengkap seperti di kampung.

 

3a.  Berita semasa sedang disiarkan.

3b.  Semasa di kampung, dia menjenguk neneknya.

Dalam ayat 3a, kata semasa ialah penerang kepada inti frasa nama berita. Dalam ayat 3b, kata semasa ialah kata hubung keterangan waktu yang berada pada pangkal klausa keterangan waktu semasa (dia) di kampung.

 

4a.  Ada ketikanya dia cuai.

4b.  Ketika marah, dia bercakap sesuka hati.

Dalam ayat 4a, kata ketika ialah kata nama. Dalam ayat 4b pula, kata ketika ialah kata hubung keterangan waktu yang berada pada pangkal klausa keterangan waktu ketika (dia) marah.

 

5a.  Dia percaya bahawa hantu ada.

5b.  Dia ada banyak masalah.

5c.  Bukunya ada pada kawannya.

Dalam ayat 5a, kata ada ialah kata kerja tak transitif tanpa pelengkap. Dalam ayat 5b, kata ada ialah kata kerja tak transitif yang harus diikuti frasa nama pelengkap seperti banyak masalah. Dalam ayat 5c pula, kata ada ialah kata kerja tak transitif yang harus diikuti frasa sendi nama pelengkap seperti pada kawannya.

 

6a.  Dia tinggal di luar negara.

6b.  Dia tinggal miskin.

Dalam ayat 6a, kata tinggal ialah kata kerja tak transitif yang harus diikuti frasa sendi nama pelengkap seperti di luar negara. Dalam ayat 6b, kata tinggal ialah kata kerja tak transitif yang harus diikuti kata adjektif pelengkap seperti miskin.

 

7a.  Bangunan itu tinggi.

7b.  Burung helang itu terbang tinggi.

Dalam ayat 7a, kata tinggi ialah kata adjektif yang menghuraikan frasa nama bangunan itu. Dalam ayat 7b, kata tinggi ialah kata adverba yang menerangkan kata kerja terbang.

 

8a.  Kasutnya berkilat.

8b.  Kasutnya hitam berkilat.

Dalam ayat 8a, kata berkilat ialah kata kerja yang menjadi predikat ayat. Dalam ayat 8b, kata berkilat ialah kata adverba yang menerangkan kata adjektif hitam.

 

9a.  Tolong lipat baju itu.

9b.  Minta tolong saya.

Dalam ayat 9a, kata tolong ialah kata perintah jenis permintaan. Dalam ayat 9b pula, kata tolong ialah kata kerja transitif yang telah digugurkan awalan meN-.

 

10a.  Dia merotan anaknya.

10b.  Dia merotan untuk membuat perabot.

Dalam ayat 10a, kata merotan ialah kata kerja transitif yang harus diikuti objek seperti anaknya. Dalam ayat 10b, kata merotan ialah kata kerja tak transitif.

 

11a.  Dia menggalakkan anaknya bersukan.

11b.  Persembahannya mendapat sambutan yang sangat menggalakkan.

Dalam ayat 11a, kata menggalakkan ialah kata kerja transitif yang harus diikuti oleh objek seperti anaknya dan pelengkap seperti bersukan. Dalam ayat 11b pula, kata menggalakkan ialah kata kerja transitif sifatan yang berfungsi seperti kata adjektif.

 

12a.  Dia memotong sayur dengan pisau.

12b.  Dia memotong sayur dengan menggunakan pisau.

Dalam ayat 12a, kata dengan ialah kata sendi nama yang diikuti kata nama pisau. Dalam ayat 12b, kata dengan ialah kata hubung keterangan cara yang berada pada pangkal klausa keterangan cara dengan menggunakan pisau.

 

13a.  Hadiah ini untuk ibunya.

13b.  Untuk dia berjaya adalah sukar.

13c.  Dia belajar untuk lulus.

Dalam ayat 13a, kata untuk ialah kata sendi nama yang diikuti kata nama ibunya. Dalam ayat 13b, kata untuk ialah kata hubung komplemen yang berada pada pangkal klausa komplemen untuk dia berjaya. Dalam ayat 13c, kata untuk ialah kata hubung keterangan tujuan yang berada pada pangkal klausa keterangan tujuan untuk (dia) lulus.

 

14a.  Dia cantik seperti bidadari.

14b.  Dia bingung seperti rusa masuk ke kampung.

Dalam ayat 14a, kata seperti ialah kata sendi nama yang diikuti kata nama bidadari. Dalam ayat 14b, kata seperti ialah kata hubung keterangan perbandingan yang berada pada pangkal klausa keterangan perbandingan seperti rusa masuk ke kampung.

 

15a.  Bajunya berwarna kuning.

15b.  Dia suka makan kuning telur.

Dalam ayat 15a, kata kuning ialah kata adjektif yang berfungsi sebagai penerang kepada kata nama dasar warna. Dalam ayat 15b, kata kuning berfungsi sebagai kata nama yang menjadi inti frasa nama kuning telur.

 

16a.  Itu makanan segera.

16b.  Dia balik segera.

Dalam ayat 16a, kata segera ialah kata adjektif penerang kepada inti frasa nama makanan. Dalam ayat 16b, kata segera ialah kata adverba yang menerangkan kata kerja balik.

 

17a.  Dia mengikut/menurut peraturan.

17b.  Mengikut/Menurut pendapatnya, adiknya tidak bersalah.

 

18a.  Tembakannya mengenai sasaran.

18b.  Dia bercakap mengenai sejarah tanah air kita.

 

19a.  Dia melalui jalan itu.

19b.  Jarum menerusi kain.

19c.  Mereka berhubung melalui/menerusi internet.

 

Dalam ayat 17a, kata mengikut dan menurut ialah kata kerja transitif. Dalam ayat 17b pula, kata mengikut dan menurut berfungsi seperti sendi nama pada.  Dalam ayat 18a, kata mengenai ialah kata kerja transitif.

Dalam ayat 18b pula, kata mengenai berfungsi seperti sendi nama tentang.

Dalam ayat 19a dan 19b, kata melalui dan menerusi ialah kata kerja transitif. Dalam ayat 19c pula, kata melalui dan menerusi berfungsi seperti sendi nama dengan.

 

20a.  Dia merupakan diri sebagai polis dalam drama itu.

20b.  Beliau merupakan jurulatih sukan.

Dalam ayat 20a, kata merupakan ialah kata kerja transitif. Dalam ayat 20b pula, kata merupakan berfungsi seperti kata pemeri ialah.

Kesimpulannya, kita perlu mengenal fungsi khusus pada kata pelbagai fungsi supaya dapat menggunakannya dengan tepatnya dalam ayat.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.